MUTAKHIR, banyak benar syarikat yang menawarkan produk membuat wasiat kepada orang Islam. Alhamdulillah, semuanya atas kesedaran masyarakat Islam akan soal kebajikan dan kelangsungan hidup orang tersayang sekiranya berlaku kematian.
Keprihatinan ini menjadi satu indikator bahawa umat Islam di negara kita sudah semakin terbuka apabila berbicara soal kematian. Tidak seperti dahulu, persoalan mati adalah sesuatu yang sensitif dan jarang dibangkitkan, lebih-lebih lagi yang melibatkan soal harta.
Sedangkan hakikatnya, persoalan berkaitan kematian terlalu banyak disebutkan di dalam al-Quran. Ini membuktikan bahawa sesungguhnya Allah SWT telah berulang mengingatkan kita akan kepastian ini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (ali-'Imran: 185)
Seharusnya, apabila insurans, wasiat serta instrumen-instrumen lain yang berkait rapat dengan persoalan pembahagian harta sudah semakin diterima dan dibincang secara terbuka, maka sewajarnya proses pengurusan jenazah kita sudah jauh ke hadapan dan lebih bersistematik.
Hairannya, masih lagi kedengaran dan berlaku di mana jenazah si polan tidak dapat diuruskan dengan segera atau kesukaran mencari kubur-kubur waris disebabkan petak kubur yang tidak teratur. Malahan ada 1001 alasan yang diberikan.
Kesemua ini bukan sahaja menyusahkan ahli keluarga si mati tetapi secara tidak langsung, menyiksa si arwah. Yang seharusnya menjadi tanggungjawab mereka yang masih hidup ini untuk menyegerakan urusan jenazah.
Abu Hurairah r.a: Diriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya: Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) daripada leher-leher kamu (daripada tanggungjawab kamu). (riwayat Muslim)
Menyedari kepentingan itu, sebuah syarikat bumiputera, Dunia Kifayah telah membangunkan dan mengkomersialkan Kit Lengkap Pengurusan Jenazah Kifayah yang bertujuan memudahkan umat Islam dalam menguruskan jenazah dengan lebih seragam, tertib dan sistematik.
Pengurus Besarnya, Jasri Jamil, 33, berkata, pengenalan produk keluaran syarikatnya itu diharap dapat membantu umat Islam memenuhi keperluan dan penyeragaman pengurusan jenazah sebagai satu tuntutan fardu kifayah.
"Bagi mereka yang belum pernah mengalami kematian waima ahli keluarga terdekat atau saudara mara, mereka mungkin tidak pernah berhadapan dengan insiden kelambatan pengurusan jenazah. Namun, saya tidak mahu kelambatan urusan jenazah sewaktu kematian datuk umpama pisang berbuah dua kali.
"Yang menjadi lambatnya kerana peralatan tidak lengkap dan terpaksa menangguhkan selama tiga empat jam," kata Jasri insiden itu telah mencetuskan idea kepadanya sebelum dipanjangkan kepada rakan kongsi, Mohd. Rais Jaafar, 36.
Jasri yang berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia Rabu lalu bersama Pengurus Produksi, Mohamad Fadlee Mohamad Akhir, 26, berkata, sebaik dipersetujui penyelidikan dan pembangunan (R&D) bermula, kira-kira dua tahun lalu.
"Kami bertemu dengan beberapa individu pengendali jenazah yang berpengalaman lebih 15 tahun. Hasilnya, kita berjaya mengumpulkan banyak input dan dalam tempoh lebih kurang enam bulan, kami peroleh lebih kurang 40 item dalam keperluan peralatan dan bahan asas untuk tujuan pengurusan jenazah.
"Namun, apabila memikirkan untuk menjadikan kit ini satu yang universal, kami senarai pendek dan memilih hanya 21 item utama," jelasnya kit ini telah berada di pasaran sejak Mac 2010.
Ia merangkumi tiga helai kain kapan (2.5 meter lerang 60 inci), sehelai kain kemban, sehelai serban/tudung, sehelai baju/gamis, kain murung (enam set), sarung bantal/sarung tangan kain (empat helai), tali (lima helai), kapas dua gulung, air mawar, akar sintok, putik kapas (15 batang), celak, kapur barus, minyak atar, sabun, serbuk cendana/pacai, apron plastik, plastik sampah, sarung tangan getah (dua set), topeng muka (satu set) dan Panduan Pengurusan Jenazah.
Menjelaskan kaedah tradisional yang dibuat sebelum ini ujar Jasri, apabila berlaku sahaja kematian, pengendali jenazah akan membahagikan kain berukuran 10 meter (m) mengikut keperluan.
Namun, dalam Kit Lengkap Pengurusan Jenazah Kifayah, pihaknya memastikan ia betul-betul lengkap demi mempercepatkan masa persediaan alat kelengkapan.
Tegas Jasri lagi, produk ini diperkenalkan bukan untuk mengaut keuntungan tetapi lebih kepada memenuhi tuntutan fardu kifayah. Apatah lagi aspek pengurusan jenazah sebelum ini sering dipandang ringan oleh masyarakat Islam.
Di samping itu, produk ini juga dikeluarkan agar dapat memupuk kesedaran khususnya di kalangan generasi muda akan kepentingan penglibatan langsung mereka.
Sekali gus membuang persepsi yang yang mengatakan ilmu pengurusan jenazah adalah kerja golongan berusia.
"Selagi kita menganggap pengurusan jenazah sebagai satu bentuk jenaka, maka sampai bila-bila pun bidang ini tidak akan maju, statik atau kekal ditakuk itu," kata Jasri.
Berkongsi cabaran yang dihadapi, terang Jasri salah satu daripadanya adalah untuk meluaskan pasaran serta mencari pengedar yang bukan bermatlamat meraih keuntungan.
"Mencari para pengedar yang betul-betul serius dengan benda ini, itulah cabaran kami. Ada yang beria-ia tetapi hilang begitu sahaja.
"Kita bersyukur sebenarnya, malah tanpa kita sedari dan sesuatu yang mengejutkan bahawa produk ini bukan sahaja diambil oleh pengendali jenazah tetapi kini sesetengah universiti turut mengambil kit ini kerana ia menjadi satu medium pembelajaran. Malah tidak terkecuali, sekolah dan kementerian.
"Jadi cabaran untuk pemasaran bukanlah sesuatu yang susah sangat seperti anggapan kami pada peringkat awal dahulu. Ini kerana setelah berada dalam bidang ini, barulah kami sedar bahawa pasarannya adalah lebih luas," jelasnya.
Harapan Jasri, kit ini diterima oleh umat Islam dan kemuncaknya setiap rumah memiliki sekotak, mungkin bukan untuk kegunaan sendiri tetapi tidak mustahil ia boleh diberikan sama ada kepada jiran tetangga atau sanak saudara atau sahabat handai yang rapat.
"Umpama setiap rumah tidak boleh tidak, mesti ada sebotol kicap di rumah mereka," katanya dibalas gelak kecil penulis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: