Sunday, June 19, 2011

Bintang Batu berkepala batu


KUMPULAN Bintang Batu. Dari kiri, Roland, BX, Farhunt, Yop dan BF.


MEREKA tidak pernah merancang untuk menghasilkan album penuh seperti sepantas ini.

Kumpulan muzik indie, Bintang Batu membuat keputusan drastik itu setelah melihat keupayaan mereka selepas berjaya menghasilkan klip video berjudul Romansa Bidadari pada awal tahun lalu.

Bagi anak muda yang terdiri daripada Farhunt sebagai vokalis, Yop (basis), BZ (pemain drum), BF (gitar pertama) dan Roland (gitar kedua), semangat ‘kepala batu’ tiba-tiba meresapi mereka apabila melihat hasil video klip tersebut.

“Kami menghasilkan video klip Romansa Bidadari dengan usaha sendiri. Hasilnya cukup memuaskan kami.

“Kesedaran mulai timbul mengenai kekuatan yang kami ada untuk tidak sahaja bergerak melalui gig (persembahan) sebaliknya dengan menghasilkan album sendiri,” kata Farhunt selaku pengurus band itu.

Bintang Batu pada asalnya ditubuhkan pada 2008 oleh tiga rakan karib iaitu Farhunt, BF dan Roland sebelum Yop dan BZ menyertai mereka awal tahun lalu.

Band ini pernah menghasilkan album EP yang mengandungi tiga buah lagu pada 2008 yang berjudul Epik No. 1.

Setelah membuat keputusan untuk menanggung risiko menerbitkan album sendiri, Bintang Batu melalui dua single yang telah dikeluarkan berjudul Seloka Belalang dan Romansa Bidadari bakal memasarkan album mereka pada penghujung Ogos ini.

Album yang dihasilkan oleh Bintang Batu bakal mempertaruhkan tujuh buah lagu termasuk dua buah single tersebut.

“Kami menjadikan irama rock sebagai konsep utama tetapi turut diolah kepada pelbagai elemen muzik seperti jazz dan keroncong.

“Kesemua lagu dalam album yang diberi judul Duologi ini dihasilkan oleh Bintang Batu sendiri. Proses penghasilan album sehingga pengurusan band ini kami lakukan sendiri,” kata mereka yang lebih selesa untuk bergerak sendiri.

Bakal mengadakan persembahan mereka di Senyap The Hub, Extreme Park, Shah Alam pada 16 Julai nanti, band ini boleh dihubungi melalui Facebook dengan kata carian ‘bintangbatu’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: