Friday, June 17, 2011

Bengkel Riang Ria Raya meriah


Chef Ismail (kiri) dan Chef Azli (dua dari kanan) mengendalikan sesi demonstrasi membuat biskut raya.


TEKNIK memasak yang betul dengan resipi bermutu dan kreatif adalah kunci kepada kejayaan seseorang tukang masak.

Chef selebriti, Datuk Ismail Ahmad atau lebih mesra disapa Chef Ismail berkata, teknik adakalanya lebih penting daripada rasa masakan tersebut.

"Saya percaya hampir semua orang boleh memasak. Tapi jika tidak kena tekniknya, agak sukar untuk maju dalam bidang ini," katanya semasa mengendalikan Bengkel Riang Ria Raya bersama Mega Utusan Malaysia - Nestle Cornflakes baru-baru ini.

Hadir sama dalam program siri pertama bengkel penyediaan biskut itu ialah chef muda yang sedang menempa nama, Mohamad Azli Razali atau lebih dikenali dengan nama Chef Azli.

Bengkel masakan setengah hari itu mendapat sambutan luar dugaan apabila kira-kira 200 peserta hadir, melebihi jangkaan awal iaitu sekitar 150 peserta.

Sebelum memulakan sesi masakan, Chef Ismail sempat mengajak para peserta melakukan senaman ringan dan gerakan poco-poco bagi membuatkan suasana lebih segar dan tidak membosankan.

Sesekali tawa girang para peserta memecah suasana di Dewan Gamelan Primula Beach Resort di Kuala Terengganu, melihat gelagat kedua-dua chef berbakat itu.

Kedua-dua chef selebriti itu tampil dengan empat resipi biskut raya terbaik iaitu Permata Di Hati, Intan Manukan, Biskut Mentega Kacang dan Lipatan Kasih Kurma.

Menariknya sambil berkongsi resipi istimewa biskut raya, Chef Ismail dan Chef Azli sempat berkongsi beberapa petua masakan yang cukup berguna.

Malah sebagai bonus, Chef Ismail turut berkongsi rahsia menyediakan rendang Rembau.

Dalam pada itu, seorang peserta, Natrah Ismail, 45, sanggup datang dari Kota Bharu semata-mata untuk mempelajari teknik masakan terbaru daripada kedua-dua chef berkenaan.

"Bengkel ini dapat membantu saya sekurang-kurangnya untuk mencari pendapatan sampingan selepas ini," katanya.

Seorang lagi peserta, Khotijah Mohamad, 48, memberitahu, bengkel masakan itu amat berguna kerana banyak ilmu masakan yang boleh dipelajari.

"Tambahan pula, saya sedang mengusahakan perniagaan secara katering ketika ini," katanya.

Sementara itu bagi mereka yang tinggal di selatan tanah jangan lepaskan peluang untuk mengikuti bengkel yang sama di Melaka pada 10 Julai, diikuti bengkel terakhir pada 30 Julai di Swiss-Inn Sungai Petani, Kedah.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-92210202 (Lieya/Dino) atau emel kepada lieya@utusan.com.my atau dino@utusan.com.my.

Maklumat dan borang penyertaan disiarkan dari semasa ke semasa di akhbar Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: