Friday, June 17, 2011

Zikra jawab isu agihan zakat


Sebahagian peserta bergambar di salah satu lokasi lawatan dalam Program Zikra iaitu Baitul Hasanah di Perepat, Klang, Selangor.


ENAM kali penganjuran siri ziarah asnaf di bawah program Ziarah Asnaf Bersamat Media dan Korporat atau Zikra sudah cukup membuktikan kejayaan program ilham Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu sejak diperkenalkan pada 2006.

Ketua Unit Perhubungan Awamnya, Hamizul Abdul Hamid yang juga Pengarah Program Zikra Ke-6 berkata, pihak LZS terpanggil mengadakan program itu bertitik-tolak daripada persoalan berkaitan agihan kutipan zakat dan bagaimana ia dimanfaatkan untuk kepentingan para asnaf.

"Sungguhpun, jawapan telah diberikan sama ada secara bersemuka atau menerusi laman web LZS, rupanya-rupanya ia belum memadai.

"Ini kerana masih lagi berbangkit persoalan berkaitan kesangsian para pembayar, khususnya di negeri Selangor tentang agihan zakat," katanya.

Maka itu, kata Hamizul, program Zikra diilhamkan dengan bermatlamat menjawab kesemua kemusykilan yang timbul, malahan menjangkau lebih daripada itu.

"Maksudnya, program Zikra ini bertujuan mendedahkan orang ramai, pembayar zakat, ejen kutipan dan pihak media massa kepada program-program agihan zakat oleh LZS," katanya pada program Zikra Ke-6, pada 7 Jun lalu.

Menjelaskan serba sedikit latar belakang program serupa katanya lagi, sebelum ini ia dikenali sebagai Program Ziarah Asnaf yang dibuka kepada pihak media massa.

Pihak media dibawa ke beberapa destinasi terpilih di sekitar Selangor untuk melihat secara dekat bagi mendapat gambaran sebenar bagaimana bantuan yang diberikan dipergunakan secara bermanfaat serta hasil daripada sumbangan atau peruntukan tersebut.

"Rupa-rupanya ia tidak cukup. Masih ada lagi segelintir pihak yang tidak mengetahuinya.

"Sebab itu, kita buat satu lagi program yang lebih besar skalanya iaitu yang dikenali sebagai Zikra. Ia menggabungkan pembayar zakat (pembayar secara individu dan syarikat) dan pihak media," kata Hamizul.

Katanya, pembayar zakat, ejen kutipan dan media massa adalah tiga kelompok sasaran dalam merealisasikan objektif Zikra.

Mengulas hasil bedah siasat daripada siri program Zikra sebelum ini, Hamizul bersyukur kerana ia memang memberi kesan kepada semua pihak terlibat.

"Pihak LZS dapati pertanyaan berbangkit berkaitan penyaluran agihan, nampak ada pengurangan.

"Ini berkemungkinan hasil daripada kerjasama dua hala antara LZS dengan media dan mungkin penerangan atau cerita-cerita yang disampaikan oleh pihak korporat sama ada kepada majikan mahupun kakitangan.

"Begitu juga dari segi peserta, ketara jumlah penyertaannya. Pada peringkat awal pengenalan, jumlah penyertaan hanyalah 10 orang. Kemudian bertambah kepada 40 orang. Kali ini merupakan penyertaan paling ramai iaitu lebih 80 orang peserta," jelasnya.

Program Zikra juga bermatlamat agar golongan asnaf memperoleh motivasi walaupun sesama mereka.

Perkongsian kisah-kisah kejayaan segelintir asnaf yang terbit di media massa, sedikit sebanyak menjadi motivasi kepada asnaf yang lain.

Ini juga satu bentuk penyaluran motivasi kerana dengan kejayaan dan usaha, lebih banyak bantuan yang bakal diterima daripada LZS.

Selain itu, program itu juga jelas Hamizul menjadi salah satu bentuk promosi kepada perniagaan yang diusahakan asnaf.

"Kami pernah mendapat maklum balas daripada pengusaha asnaf yang mengakui jumlah pengunjungnya bertambah.

"Ini bermaksud, kita membuka pemasaran kepada penerima manfaat itu tadi dengan cara tidak langsung," katanya.

Justeru, pada program Zikra kali ini, Hamizul bersyukur kerana mendapat jumlah penyertaan paling besar .

"Ini membuktikan, program ini semakin dikenali. Di samping itu, apabila kebaikan zakat ini tersebar ia bukan sekadar untuk negeri Selangor semata-mata tetapi semua pihak zakat di Malaysia kerana ia menimbulkan keyakinan tentang kredibiliti institusi zakat," katanya berharap program ini menjadi ikutan institusi zakat negeri-negeri lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: