Thursday, June 2, 2011

Axiata paling unggul di Asia

Datuk Seri Jamaludin Ibrahim
Datuk Seri Jamaludin Ibrahim

AXIATA Group Berhad (Axiata) meletakkan sasaran untuk menjadi pemain industri telekomunikasi terunggul bagi rantau Asia menjelang 2015.

Sasaran itu realistik dan mampu dicapai, dicerminkan prestasi semasa kumpulan yang mampu menarik hampir 170 juta langganan di 10 negara, sekali gus menduduki tangga kedua dalam senarai langganan terbanyak bagi syarikat telekomunikasi di rantau ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim berkata, pencapaian itu sangat memberangsangkan lebih-lebih lagi Axiata baru disenaraikan sejak tiga tahun lalu.

Katanya, bagi mencapai matlamat itu, kumpulan akan terus melakukan penambahbaikan terutama membabitkan pengembangan rangkaian dan kawasan liputan semua anak syarikatnya.


“Sehubungan itu, kumpulan akan melabur sebanyak RM3.2 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) tahun ini, sama seperti tahun lalu.


“Sebahagian daripada jumlah berkenaan iaitu kira-kira RM1 bilion akan digunakan untuk penambahbaikan perkhidmatan data bagi Celcom manakala RM1.6 bilion untuk menambah baik perkhidmatan data dan meluaskan liputan rangkaian XL di Indonesia,” katanya pada sesi soal jawab selepas mesyuarat agung tahunan Axiata di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Axiata, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, James Maclaurin.


Mengulas lanjut, Jamaludin berkata, untuk tahun mendatang, kumpulan dijangka berdepan pelbagai cabaran hebat antaranya persaingan sengit, peningkatan inflasi dan pengukuhan nilai ringgit.

“Pengukuhan nilai ringgit memberi kesan kepada syarikat kerana 56 peratus daripada perolehan kami pada suku pertama lalu disumbangkan operasi luar negara. Selain itu, inflasi harga makanan di Indonesia menyebabkan kurangnya kuasa beli bagi rakyat negara itu yang juga menyebabkan anak syarikat kami turut menerima tempiasnya,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, kumpulan berada pada landasan untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tahun kewangan 2011.


“Walaupun pertumbuhan perolehan bagi suku pertama 2011 hanya meningkat 3.3 peratus, masih ada tiga penggal lagi untuk mencapai pertumbuhan 10 peratus yang ditetapkan kumpulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: