Monday, June 6, 2011

Astro lancar B.yond IPTV


Rohana Rozhan (kanan) bersama Afzal Abdul Rahim pada pelancaran perkhidmatan Astro B.yond IPTV di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PERTENGAHAN tahun lalu, pengendali perkhidmatan televisyen satelit berbayar, Astro memperkenalkan servis Astro B.yond sebagai platform baru operasi penyiaran mereka.

Menerusinya, para pelanggan Astro berpeluang menikmati pengalaman tontonan siaran beresolusi definisi tinggi (HD) selain aplikasi canggih fungsi perakam video peribadi (PVR).

Terus mempertingkatkan operasinya, Astro kini menampilkan pula medium penyiaran televisyen moden melalui sokongan protokol Internet (IP) iaitu Astro B.yond IPTV.

Secara asasnya, platform Astro B.yond IPTV menawarkan tiga perkhidmatan utama iaitu Astro TV (HD, PVR dan video permintaan), gentian jalur lebar berkelajuan tinggi serta komunikasi suara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, Astro telah menjalankan kerjasama dengan pihak TIME dotcom Berhad (TIME) bagi tujuan menyediakan infrastruktur servis berkenaan.

‘‘Perkhidmatan ini mengaplikasikan kemudahan pendawaian jalur lebar TIME bergentian seratus peratus dengan kelebihan kelajuan Internet terpantas serta komunikasi suara pada nilai terbaik.

‘‘Matlamat implementasi servis ini adalah untuk memberi peluang kepada hampir 320,000 pelanggan Astro di kediaman berpusat tinggi seperti pangsapuri dan kondominium yang tidak dapat menikmati servis Astro B.yond sebelum ini,’’ katanya pada pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai permulaan, infrastruktur Astro B.yond IPTV dibangunkan secara beransur-ansur kepada 167,000 kediaman di 730 bangunan berbilang kediaman (MDU) sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, ia tersedia di 60 buah kediaman tinggi sekitar kawasan Mont Kiara, KLCC, Bangsar, Sri Hartamas dan Georgetown.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TIME, Afzal Abdul Rahim berkata, kepakaran TIME yang digandingkan bersama kecekapan pengaturcaraan Astro pasti menjadikan produk IPTV itu yang terbaik di pasaran.

Daripada segi perkhidmatan, Astro B.yond IPTV hadir bersama sambungan kotak tri-bird yang mampu menyokong operasi dalam pelbagai mod.

Untuk itu, setiap kediaman akan dibekalkan dengan sambungan jalur lebar berkapasiti 100 megabit sesaat (Mbps) untuk sokongan operasi dua kotak Astro B.yond seperti rakaman, tontonan serta muat turun program VOD.

Tidak cukup dengan itu, sebanyak 30 Mbps lagi diperuntukkan untuk aktiviti mengakses Internet secara sambungan Wi-Fi melalui peranti seperti komputer riba, komputer tablet, telefon bimbit dan sebagainya.

Bagi program televisyen Astro pula, pelanggan boleh menikmati pelbagai program menarik menerusi 130 saluran, 12 saluran HD, rakaman PVR serta perpustakaan kandungan VOD yang sentiasa dikemas kini.

Pengguna boleh melanggan pakej Astro B.yond IPTV dengan harga serendah RM128 untuk kapasiti capaian Internet 3Mbps sebulan di samping langganan Astro semasa.

Untuk setiap langganan pakej berkenaan, pengguna akan dibekalkan dengan peralatan dan perkhidmatan pemasangan percuma bernilai sehingga RM3,000.

Antara peralatannya adalah seperti set dekoder HD dan PVR, kabel HDMI serta modem Wi-Fi.

Maklumat lanjut mengenai pakej tersebut, sila layari laman web www.astro.com.my/iptv atau telefon 03-9543 1543.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: