Wednesday, June 8, 2011

Artis bantu mangsa tsunami


(Dari kiri) Iz Sulaini, Amy, Atilia dan Ryzal Jaafaryang menjayakan kempen membantu mangsa tsunami di Jepun, baru-baru ini.


DARIPADA duduk di rumah dan tidak melakukan apa-apa aktiviti, adalah lebih baik ikut serta program amal kerana sekurang-kurangnya dapat berbakti membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Begitulah jawapan tulus yang terpacul dari mulut Atilia yang turut sama menyertai kempen mengumpul dana membantu mangsa tsunami di Jepun anjuran A/X Armani Exchange Store di Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Atilia yang popular menerusi lagu duet bersama LoQue, Kekanda Adinda merupakan salah seorang daripada 15 artis dan selebriti tanah air yang terbabit dalam menjayakan kempen tersebut.

"Inilah masanya untuk saya menghulurkan bantuan dengan cara saya tersendiri. Berbekalkan status sebagai artis, saya mahu menggunakan kedudukan saya itu ke arah kebaikan.

"Mungkin dengan cara ini saya dapat menarik perhatian lebih ramai orang untuk menderma. Saya memang tidak menolak kalau dipanggil untuk menjayakan apa-apa acara kebajikan.

"Bagi saya ini adalah satu tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu terutamanya golongan artis dan selebriti," kata Atilia atau nama sebenarnya, Raja Putri Atilia Raja Haron.

Pelakon drama, Ryzal Jaafar atau Mohd. Shahrizal Jaafar yang turut menjayakan kempen tersebut berpendapat, artis juga mempunyai sikap prihatin dan sedia membantu golongan yang memerlukan bantuan.

"Saya tidak akan menolak jika dipanggil untuk menjayakan program sebegini dan ini bukanlah kali pertama saya hadir program kebajikan.

"Kalau dengan kehadiran artis dapat membantu penganjur mengumpul dana, saya sentiasa bersedia untuk menyertainya," katanya terus terang.

Sementara itu, Amy Search yang sibuk dengan Akademi Fantasia juga tidak mahu melepaskan kesempatan untuk berbakti membantu mangsa tsunami di Jepun.

Amy yang mesra melayan peminat yang ingin bergambar dengannya berkata, beliau amat berbesar hati dipilih untuk menjayakan program itu.

"Diharap kehadiran ramai selebriti dapat menarik lebih ramai penderma. Tidak kira berapa yang diberi, yang penting adalah keikhlasan," katanya.

Turut menjayakan program itu adalah kumpulan Bittersweet dan vokalisnya, Fizan atau Hafizan Razali berkata, mereka sentiasa menyokong kerja-kerja kebajikan.

Katanya, Bittersweet akan sentiasa memberi kerjasama dan melakukan yang terbaik dalam menjayakan sebarang aktiviti untuk membantu orang ramai.

Personaliti TV, Belinda Chee juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan kerana baginya, jika bersatu, semua kerja berat akan jadi ringan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: