Wednesday, June 8, 2011

Memanfaatkan keinsafan artis


Mel (bekas vokalis Wings)


DI SAAT ramai orang bercakap fasal klip video nyanyian Prema Yin yang dikatakan berbaur unsur-unsur sex, industri hiburan tempatan pada masa sama juga beranjak ke arah yang semakin positif.

Memang ramai tidak setuju dengan klip video lagu bertajuk Marilah yang turut menggandingkan pelakon Shahz Jazle arahan Gambit Saifullah itu yang hangat diperkatakan pada minggu lalu.

Namun, pada masa sama dunia hiburan tanah air turut memperlihatkan perkembangan yang sihat apabila semakin ramai artis sama ada pelakon, penyanyi dan pemuzik yang berubah.

Mereka berhijrah bukan sahaja daripada segi penampilan imej yang lebih sopan, misalnya daripada tidak bertudung kepada bertudung tetapi juga keperibadian yang lebih mulus.

Jika dibariskan nama artis yang berhijrah mahupun kembali ke pangkal jalan, ia memang ramai di mana bilangan itu tidak termasuk mereka yang telah meninggalkan terus dunia hiburan.

Bekas penyanyi kumpulan Musafir, DR. Sam contohnya, melupakan terus bidang yang penuh glamor ini serta menumpukan sepenuh masanya kepada bidang perniagaan dan berdakwah.

Namun, nama-nama seperti Wardina, Iwan, Akhil Hayy dan terbaru bekas gitaris kumpulan rock Kamikaze, Sham terus menjadi bualan ramai peminat selepas mereka berubah.

Sungguhpun ramai di antara mereka yang telah berubah tetapi kebanyakannya masih belum melepaskan sepenuhnya bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan buat penggiatnya itu.

Berubah dalam erti kata bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, tetapi pada masa sama mereka haruslah berkongsi rasa keinsafan dan taufik yang diterima itu dengan para peminat.

Seharusnya, media massa terutamanya stesen-stesen radio dan televisyen (TV) menggunakan bakat dan populariti golongan terbabit agar berkongsi kebaikan itu dengan masyarakat.

Astro Oasis misalnya, menggunakan khidmat Akhil Hayy yang merupakan bekas vokalis kumpulan rock D'Riyadh dalam mengendalikan program Kafe Akhil Hayy di saluran TV itu.

Sayangnya, rancangan terbitan Astro Oasis itu seakan-akan kurang konsisten dalam menarik lebih ramai penonton terutamanya remaja meskipun selepas beberapa musim ia bersiaran.

Kisah-kisah sensasi dan kontroversi yang pernah membabitkan Akhil pula sedikit sebanyak telah memberi kesan penerimaan para penonton terhadap program TV yang menarik itu.

Pada masa sama, artis mahupun selebriti yang telah berubah seharusnya lebih bijak dalam membawa diri masing-masing sesuai dengan perubahan yang mereka uar-uarkan itu.

Tolak jauh-jauh soal riak atau mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya golongan artis yang telah berubah ini juga sepatutnya berusaha meluaskan lagi hidayah yang mereka terima.

Ini tidak, ada segelintir golongan artis yang telah berubah seolah-olah begitu taksub untuk berhijrah dengan drastik sehingga merendah-rendahkan pula rakan-rakan artis lain yang masih belum berubah.

Sepatutnya, golongan ini digunakan dalam program-program motivasi bersama golongan remaja dan juga contoh teladan buat artis-artis lain sebagai panduan berkarya.

Golongan artis yang telah berubah itu boleh berkongsi pengalaman dan pandangan mengikut kapasiti mereka dalam bidang masing-masing supaya ia dapat dikongsi oleh semua pihak.

Harus diingat bahawa peranan artis yang telah berubah sewaktu berceramah tidak sama tarafnya seperti seorang ustaz atau ustazah yang lebih arif bercakap tentang hukum hakam Islam.

Di sinilah para peminat mahupun masyarakat perlu tahu peranan dan kapasiti seseorang artis yang telah berubah ke jalan Allah dalam intipati ceramah-ceramah yang disajikan kepada mereka.

Walau apa pun konflik atau cabaran buat artis-artis yang telah kembali ke pangkal jalan, ia seharusnya diberi sokongan oleh semua pihak kerana ia suatu senario yang amat positif.

Jika senario itu semakin berkembang, maka kes-kes artis yang tidak tahu hala tuju berkarya seperti Prema Yin mungkin tidak akan berlaku dalam dunia hiburan tempatan pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: