Wednesday, April 13, 2011

Yang penting buat duit

Ernie (dua dari kanan) bersama pelakon filem Suatu Malam Kubur Berasap di OutLOUD Studios, Damansara Perdana.
Ernie (dua dari kanan) bersama pelakon filem Suatu Malam Kubur Berasap di OutLOUD Studios, Damansara Perdana.
Filem Suatu Malam Kubur Berasap tidak ada pelakon popular, cantik dan tampan

SEOLAH-olah sudah menjadi amalan biasa produser filem sekarang tidak lagi bergantung kepada pelakon popular dan memiliki paras menawan sebagai teraju utama dalam filem mereka.Dan, formula itu memang memberi kesan sangat baik apabila ada filem mencatatkan kutipan berjuta ringgit walaupun tidak membariskan pelakon yang ada nama besar.
Antara yang mengikut jejak ini ialah ialah OutLoud Studios Sdn Bhd menerusi filem terbaru terbitannya berjudul Suatu Malam Kubur Berasap. Penerbit yang juga pengarah SMKB, Ernie Chan berkata, filem kedua terbitannya itu membariskan pelakon seperti Angah, Along dan Nurul Ain Nordin yang dianggap kurang popular tetapi yakin dengan kemampuan mereka menarik penonton.

“Saya tak risau dengan mereka. Saya tak pentingkan rupa paras atau bentuk badan kerana ini filem komedi jadi saya perlu meletakkan pelakon yang boleh membawakan watak sebegini.

“Bukan saya tak mahu ambil pelakon yang sudah popular macam Shahezy Sam tetapi dalam masa yang sama kita perlu memberi ruang dan peluang kepada pelakon lain untuk menaikkan nama mereka macam Angah dan Along,” katanya.

Menjawab soalan lain, Ernie berkata, berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun berpengalaman dalam industri perfileman, sudah tiba masanya OutLoud Studios untuk terbabit dengan lebih serius menghasilkan lebih banyak filem Melayu.
Walaupun memiliki lapan syarikatnya sendiri, namun kewujudan OutLOUD Studios dijangka dapat mewarnai industri perfileman tempatan dan filem Melayu menjadi sasaran kerana perkembangan positif masyarakat hari ini terhadap filem tempatan.

“Pasaran filem Melayu kini sudah semakin berkembang, malah saya suka komedi sebab itu saya terbitkan filem komedi dan menjadikan pengalaman lama saya berlakon dalam drama Melayu sebagai pendorong untuk saya menghasilkan filem Melayu,” katanya.

Ernie meletakkan sasaran untuk menerbitkan lima filem dalam tahun 2011 dan 100 filem dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Malah, kesemua lima filem terbitannya itu bergenre komedi.

“Filem pertama saya, Jidin Sengal filem komedi, manakala Suatu Malam Kubur Berasap pula komedi seram. Filem ketiga komedi aksi dan seterusnya sehingga lima filem, kerana jika kita tengok senarai wajib tayang di FINAS, banyak filem menunggu masa tayangan.

“Ini menguatkan lagi semangat menghasilkan filem komedi,” jelasnya.
Mengenai filem Suatu Malam Kubur Berasap, Ernie sama seperti filem terdahulu, tempoh pembikinan yang diambil bagi filem keduanya itu mengambil masa 18 hari disiapkan dengan kos kira-kira RM1.5 juta.

“Saya harap setiap filem boleh membuat kutipan lebih RM5 juta. Kalau masuk bidang ini kita kena buat kajian apa yang penonton nak. Kalau ada bajet, saya terus buat filem baru sebab kalau tunggu wajib tayang agak lama, jadi dalam tempoh itu kita boleh menghasilkan beberapa filem baru,” katanya.

Saiz badan membawa rezeki

Satu Malam Kubur Berasap mengisahkan seorang lelaki bernama Atan yang lembap dan lurus bendul tetapi sering membantu orang kampung. Atan selalu diganggu oleh Hantu Cempaka sewaktu bersama tiga sahabatnya Bun, Pet dan Mie.

Kisah seram mereka bermula apabila berada di rumah yang tidak dikenali dan dilayan seperti raja, namun sebenarnya mereka berada di sebuah kawasan perkuburan.

Bagi Nurul Ain, berdiri di bawa jenama outLOUD Studios memberi peluang kepadanya mengembangkan bakat dalam lakonan, malah pengalaman berlakon beberapa drama seperti Cinta Medik sedikit sebanyak mengajarnya dalam meningkatkan mutu lakonan.

“Semua filem OutLOUD Studios ada wajah saya. Pemilihan dibuat kerana Ernie nak wanita berwajah Melayu tulen. Rasa rendah diri juga bila berlakon dengan pelakon lama yang lebih berpengalaman tetapi mereka banyak mengajar dan beri tunjuk ajar kepada saya jadi tak rasa kekok sangat untuk berlakon bersama mereka,” katanya.

Selain itu, Nurul Ain turut pernah berlakon dalam filem Lu Fikirlah Sendiri dan turut mengacara program TV di RTM, Alamak Kan Dah Kena.

Bagi Angah, pemilihannya sebagai pelakon utama memberi peluang kepada dirinya mencuba dan mengembangkan bakatnya dalam dunia lakonan, dengan faktor rupa paras dan bentuk badan bukan lagi masalah untuk dirinya memegang watak besar dalam filem.

Bahkan, dia belum berhasrat menurunkan berat badannya kini kerana permintaan dan peluang berlakon terbuka luas kepadanya di sebab faktor fizikal dirinya.
“Saya akan kurangkan berat badan selepas tidak ada tawaran berlakon atau tidak diperlukan lagi. Buat masa sekarang saya akan mengekalkan fizikal tubuh badan saya kerana peluang yang datang makin banyak,” katanya.

Walaupun sudah terbabit dalam lima filem sejak awal tahun ini termasuk filem terbaru Aku Ada Kau Ada bergandingan dengan Shahezy Sam, terbitan Pensil Pictures, filem Suatu Malam Kubur Berasap ketiga yang diterajuinya selepas Alamak Toyol dan Seram Sejuk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: