Wednesday, April 13, 2011

Sengaja nak kelirukan penonton?

ANTARA peserta yang berada dalam kelompok lima terbawah.
ANTARA peserta yang berada dalam kelompok lima terbawah.
Keputusan tangguhkan penyingkiran boleh matikan semangat peserta Maharaja Lawak

ADAKAH peserta Maharaja Lawak memang dipergunakan untuk mempopularkan program realiti apabila juri mahu mengumumkan penyingkiran hanya dibuat pada minggu depan iaitu Jumaat ini.Kenapa tidak diumumkan pada minggu ini sahaja. Macam-macam, konon nak bagi Maharaja Lawak ini kelihatan gempak dan penuh dramatik sekalipun ia bermakna mengorbankan semangat peserta.
Bagaimana kalau peserta yang sepatutnya disingkirkan minggu ini tetapi mereka menampilkan persembahan bermutu dan memang bagus? Adakah mereka tetap tersingkir juga? Kalau tidak disingkirkan, bermakna ada kumpulan atau peserta lain yang pada minggu ini menampilkan persembahan baik tetapi terpaksa menjadi mangsa penyingkiran.

Memang ia mengelirukan penonton. Barangkali stesen Astro seronok hendak memeningkan penonton. Jika benar mencari kelainan dalam persembahan berbanding program Raja Lawak selain menarik minat penonton untuk melanggan, sepatutnya Astro tidak perlu menutup undian pada minggu lalu.

Apa salahnya undian dibiarkan berjalan seperti biasa bagi memberi ruang kepada pengundi untuk terus mengundi peserta yang berada dalam kelompok lima terbawah itu bagi menyelamatkan mereka daripada tersingkir.

Lebih mengejutkan, dua peserta akan tersingkir pada pembukaan gelanggang minggu ini yang berada di dalam kelompok lima terbawah antaranya Jihan, XN3, WAI, Man dan Amir.
Namun, bagi Penerbit Astro, Khairul Nizam Jamaludin, nama dua peserta yang akan disingkirkan sudah ada berdasarkan undian dan pemarkahan daripada juri tetap minggu lalu tetapi akan diumumkan pada minggu ketiga.

“Kita nak tampilkan beberapa elemen yang menarik bertujuan untuk menarik minat penonton terus bersama program ini kerana bermula minggu ini hingga akhir pelbagai segmen akan dipersembahkan dengan corak berbeza daripada program Raja Lawak.

“Tujuan kita buat macam ini untuk menyuntik kelainan. Kita faham mereka sudah membuat persediaan dalam persembahan minggu ketiga tetapi keputusan sudah diputuskan minggu ini (minggu lalu),” katanya.

Jambu, Nabil dapat pujian

Minggu lalu menyaksikan persembahan bebas daripada 12 peserta Maharaja Lawak dan yang menarik tumpuan juri tetap adalah persembahan daripada kumpulan Jambu dan Nabil yang dianggap kreatif dan mempunyai keasliannya tersendiri.

Kumpulan Jambu yang mengenengahkan topik orang gila menarik minat Mamat Khalid yang dianggap mempunyai kelasnya tersendiri dan tidak pernah dibuat sebelum ini.

“Kelas kerana telah memecahkan lawak original dan superb dengan lawak yang kelakar habis sampai orang tak terfikir sebenarnya karakter yang dipersembahkan adalah watak pesakit mental.

“Lawak yang tak pernah dibuat dengan watak Zila Bakarin, tok penghulu dan orang kampung yang halimunan itu membuatkan persembahan lebih menarik,” katanya.

Lain pula dengan Nabil yang tampil dengan persembahan sambungan daripada minggu pertama membuatkan penonton tidak kering gusi ditambah pula dengan alat penyembur yang dibawa sebagai prop membuatkan persembahannya lebih menarik.

Malah mendapat komen daripada dua juri tetap iaitu, Saiful Apek dan Mamat Khalid yang berpuas hati dengan persembahannya walaupun hanya sambungan daripada minggu pertama yang tidak sempat dihabiskan.

“Sangat kreatif, dinamik dan tak pernah tengok lagi lawak macam ini. Bila bawa diri dengan prop lebih respect daripada bawa diri sendiri,” kata Saiful Apek.

“Saya enjoy dengan lawak awak dan suka cara berinteraksi dengan orang halimunan. Saya suka dan it’s very good,” kata Mamat Khalid.

Meskipun mendapat kritikan daripada Mamat Khalid pada minggu pertama, namun Jozan menampakkan peningkatan pada minggu kedua dengan persembahan yang mengenengahkan topik bapa dan anak.

“Saya suka idea itu dan bangga kalau dapat buat cerita tentang saya dalam bentuk komedi. Dalam komedi kita bebas buat lawak, malah persembahan dan jalan cerita kamu bagus.

“Kelebihan kamu sudah ada pengikut dan apa juga yang kamu buat sudah ok sebab sudah ada pengikut. Dari segi isi dan lawak memang ada.

Karektor lawak dari dulu sudah menjadi sebab sudah ada pengikut dan tahniah sebab berjaya membuat lawak pada malam ini,” katanya.

Namun bagi Ahmad Idham, kumpulan Jozan dan Sepah dianggap paling menyerlah minggu lalu dengan Sepah mengenengahkan topik penghuni penjara yang dianggap lebih menghiburkan dengan tenaga yang luar jangkaan.

“Tenaga dan semangat Sepah sudah sampai ke tahapnya dengan cara pembukaan yang menyeronokkan serta perlu dipelbagaikan lagi. Kalau lebih menghiburkan lebih bagus dan perlukan banyak maklumat yang dapat digarapkan dalam persembahan pada masa depan,” katanya.

Apa juga persembahan yang ditonjolkan minggu lalu masih belum cukup kuat untuk meyakinkan juri, malah dianggap tidak konsisten yang mungkin disebabkan tekanan daripada komen juri pada minggu pertama membuatkan peserta berasa sedikit tertekan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: