KOMITMEN...bersama rakan setugas ketika melakukan penyelidikan.
MENANGANI masalah kualiti air terjejas di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Melaka pada 2006 dan fenomena sama berlaku di PLKN di Cheneh, Terengganu dua tahun kemudian, menjadi pemangkin semangatnya sebagai pegawai mikrobiologi di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Berdepan dengan masalah sedemikian pada awal pembabitan kerjayanya turut mematangkan diri sekali gus mendorongnya untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam kerjaya diceburi.
Anneeza Zaity Zainal, 32, berasal dari Ipoh, Perak mengakui keseronokan dalam kerjayanya itu biarpun baru enam tahun berkhidmat di seksyen kawalan kualiti udara dan air.
Bercerita mengenai bidang tugasnya, peranan terpenting adalah memantau kualiti air negara supaya bebas daripada kuman selain menangani permasalahan air seperti wabak taun. Ini termasuk memantau kualiti air kolam supaya bebas daripada kuman leptospira (seperti di kem PLKN).
Paling tidak dilupakan ketika menjalankan kerja untuk memastikan kualiti udara di Hospital Sultan Abu Bakar, Johor Bahru berada pada tahap memuaskan, begitu juga dengan permasalahan hampir serupa melanda Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.
"Tugas menuntut saya ke daerah tertentu bagi memastikan elemen air dan udara berada dalam keadaan memuaskan.
"Masalah jerebu, banjir serta kualiti udara dan air kurang memuaskan akan membuatkan kulat mahupun kuman merebak sehingga menyebabkan radang paru-paru.
"Lebih teruk, bakteria itu boleh menyebabkan juandis yang boleh merosakkan hati serta menimbulkan kegatalan pada kulit.
"Kesan di kolam atau pusat latihan PLKN misalnya amat memudaratkan kesihatan peserta berikutan bakteria dibiakkan daripada najis tahi lembu di dalam air dengan menyebarkan kuman leptospira yang mengakibatkan penyakit leptospirosis iaitu sejenis penyakit berjangkit paling umum menjejaskan manusia dan haiwan.
"Jangkitan leptospirosis kemungkinan berlaku menerusi sentuhan secara langsung atau tidak dengan air kencing binatang tercemar kerana organisma seakan bakteria (spirochete) yang biasanya mudah ditemui di persekitaran serta leptospira mungkin ditelan tanpa sengaja sewaktu seseorang melakukan aktiviti riadah.
"Terbaru, ada kes sama menyerang anggota pasukan keselamatan yang membuat latihan yang mungkin tersebar menerusi kencing tikus.
"Untuk itu, soal kesihatan dan penjagaan kebersihan keseluruhannya perlu diberi tumpuan termasuk bertemu dengan pegawai daerah serta melakukan kaji selidik terhadap persekitaran dan orang ramai," katanya.Kadangkala tuntutan tugas sedemikian turut memaksanya banyak ke luar daerah namun tetap berbangga dengan kerjayanya itu yang memberi peluang untuknya berbakti kepada masyarakat umum.
Mengenai tugasannya ke luar kawasan, dia mengakui terpaksa meninggalkan suami serta membawa dua anaknya bersama adik untuk mengasuh mereka.
Biarpun rutin kerjanya itu banyak cabaran, hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta, Tengku Mohd Uzaini Tengku Mat, pasangan bahagia ini saling memahami dengan bidang kerjaya masing-masing.
Menyulam cinta bersama lelaki itu ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara, dia akur suaminya itu banyak membantu dengan memberi motivasi dan dorongan dalam bidang kerjayanya.
Menariknya, suami yang bertugas sebagai penyelidik di sebuah konglomerat terkenal negara turut merangsang minat isterinya dalam bidang jahitan.
Berkecimpung dalam bidang jahitan sejak tiga tahun lalu, dia menjahit sendiri pelbagai jenis pakaian seperti baju kurung, pakaian kanak-kanak serta baju wanita mengandung selain sarung bantal, langsir, beg silang, beg tangan berasaskan fabrik, kain kendong bayi dan bekas untuk menyimpan alat tulis yang bermula sebagai hobi semata-mata.
Atas hasrat untuk mengembangkan lagi bakat yang ada, dia semakin giat mempromosikannya menerusi blog sendiri iaitu NeezaNeedles.com buat mereka yang mempunyai minat sama supaya dapat menterjemahkannya secara komersial.
"Saya suka aktiviti menjahit untuk mengisi masa senggang dengan mempelajarinya daripada Internet sekali gus mengajar saya berfikir secara kreatif.
"Antara yang paling saya gemari adalah kain kendong yang diolah dalam pelbagai corak. Pada saya, selain menguji kreativiti ia turut merapatkan hubungan kasih sayang antara ibu dengan anak. Daripada situ, lahirnya inspirasi untuk saya melakukan jahitan ini dengan penuh ketekunan.
"Buat masa ini, kawan, keluarga dan peminat blog banyak menempah sekali gus menjadi pendorong saya dalam bidang ini," katanya.
>Profil
NAMA: Anneeza Zaity Zainal
PENDIDIKAN:
Ijazah Sarjana Muda Sains Mikrobiologi Universiti Kebangsaan Malaysia
Sarjana Sains, Universiti Teknologi Mara
JAWATAN: Ahli mikrobiologi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
STATUS: Kahwin
SUAMI: Tengku Mohd Uzaini Tengku Mat
ANAK: Tengku Fatimatuzzahra, 4, dan Tengku Hamza, setahun
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: