![]() |
| TEMBOK Besar Cina yang menjadi salah satu lokasi persinggahan wajib setiap kali pelancong berlibur di Beijing. |
KEINDAHAN dan panorama pada masa musim sejuk menggamit perasaan penulis yang kali pertama menjejaki kaki di kota metropolitan Beijing, China. Kotanya yang cantik dihiasi dengan pokok-pokok tanpa daun memberi satu perasaan yang begitu romantis kepada penulis.
Suasana yang dingin memberi ketenangan kepada penulis seolah-olah berada di alam fantasi dan dunia khayalan. Ternyata, keindahan dan keunikan yang disaksikan sepanjang berada di kota itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
Program lawatan selama tujuh hari enam malam itu turut disertai oleh Exco Biro Kesihatan, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Zahida Zarik Khan bersama 30 barisan kepimpinan ahli jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Pandan, Kuala Lumpur.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing mengambil masa selama tujuh jam.
Sebaik menjejakkan kaki di Beijing, penulis terpukau melihat keindahan lapangan terbangnya yang luas dan moden.
Latar belakang cahaya matahari terbenam ketika itu memberikan panorama yang begitu indah menyebabkan penulis dan beberapa rakan hampir terlupa untuk mengambil bagasi pakaian kami dek terlalu asyik merakamkan pelbagai aksi sebagai kenangan.

Kami kemudiannya dibawa menaiki bas menyusuri beberapa laluan utama di kota Beijing. Penulis perhatikan, keadaannya tidak ubah seperti di Kuala Lumpur, sentiasa sesak dengan kenderaan yang bertali-arus.
Bagaimanapun, kekusutan itu hilang sebaik sahaja melihat pelbagai bangunan moden dan tradisional menghiasi sepanjang laluan. Melihat reka bentuknya yang masih mengekalkan ciri-ciri rekaan kebudayaan Cina menyebabkan penulis seperti tidak sabar meneruskan penjelajahan di kota itu.
Cuaca sejuk di bawah takat beku menyebabkan semua tasik dan sungai-sungai utama di sekitar China membeku. Kami diingatkan oleh wakil agensi pelancongan, Bank Rakyat Travel Sdn. Bhd. agar sentiasa berpakaian tebal bagi mengelak sebarang kemungkinan.
Agenda pertama kami melihat pertunjukan akrobatik. Nyata aksi-aksi ekstrem pemain akrobatik bermain gelung rotan, melakukan lompatan dan mengimbangi badan membuatkan semua yang melihatnya berasa teruja dan kagum.
Tamat persembahan, peserta rombongan dibawa ke sebuah restoran halal untuk aktiviti makan malam. Perut yang berkeroncong dan cuaca sejuk menyebabkan semua begitu berselera menikmati hidangan lazat yang disediakan.
Puas menjamu selera, kami dibawa ke Hotel Ming Du yang menjadi lokasi penginapan sepanjang berada di kota itu.
Ke destinasi popular

Pada hari kedua, rombongan dibawa melawat ke salah satu tarikan utama di Beijing iaitu Tembok Besar China. Tembok itu dipercayai dibina sekitar kurun ketujuh Sebelum Masihi oleh Maharaja Qin Shi Huang.
Ketika pemerintahan Dinasti Ming, baginda membaik pulih tembok itu secara besar-besaran menjadikannya sebagai sistem pertahanan terpenting dalam mengekang ancaman musuh.
Berusia kira-kira 2,000 tahun dan mempunyai panjang sejauh 8,851.8 kilometer. Ia bermula dari Shanhaiguan sehingga ke Teluk Bohai di sebelah timur yang terletak berhampiran dengan sempadan China dan Manchuria, sehingga Lop Nur di sebelah tenggara wilayah Xinjiang.
Apa yang pasti, sejarah panjang tembok berkenaan menjadi mercu tanda di China serta menjadi tarikan utama kepada jutaan pelancong ke negara itu.
Biarpun tidak berpeluang menjelajah ke keseluruhan tembok tersebut, namun kunjungan ke monumen yang diiktiraf salah satu daripada tujuh keajaiban dunia itu sangat bermakna.
Pada hari ketiga, kami dibawa melawat Medan Tiananmen dan Kota Larangan (Forbidden City). Ia dibina pada tahun 1406 iaitu pada tahun ketiga pemerintahan Maharaja Yongle dan terletak di kawasan seluas 72 hektar.
Kota itu merupakan kediaman rasmi pemerintahan beraja China apabila Maharaja Yongle, maharaja ketiga daripada dinasti Ming memindahkan pusat pemerintahan di Nanjing ke Peking atau kini dikenali sebagai Beijing.
Untuk mengelakkan sebarang ancaman, baginda telah membina tembok setinggi 10 meter dengan panjang keseluruhan 3,400 meter di sekeliling kota itu.
Di dalamnya terdapat 9,999 bilik bagi menempatkan kira-kira 8,000 hingga 10,000 penghuninya termasuk 3,000 sida, pembantu rumah dan gundik.
Sebagaimana Tembok Besar, jutaan tenaga manusia termasuk ribuan artis digunakan untuk menyiapkan kota itu. Menariknya, kota itu mempunyai dua pintu utama, pintu masuk terletak di di bahagian utara manakala pintu keluar di bahagian selatan.
![]() |
| PENIAGA jalanan yang mencari rezeki antara senario biasa yang boleh dilihat di Beijing. |
Seterusnya, kami turut dibawa mengunjungi Olympic Sponsor Jewelry City. Di sana, kami berpeluang melihat sejenis batu istimewa apabila di dalamnya terdapat blue sapphire yang digunakan untuk membuat barang perhiasan wanita seperti loket, gelang dan cincin.
Peserta rombongan juga melawat salah satu tarikan di Beijing iaitu Stadium Sarang Burung yang pernah digunakan ketika Sukan Olimpik Beijing 2008.
Walaupun angin kencang, namun ia tidak menghalang penulis untuk bersiar-siar dan bergambar di sekitar stadium yang mampu memuatkan kira-kira 91,000 penonton itu.
Pada hari kelima penulis dan rombongan bertolak ke Istana Musim Panas atau Summer Palace dengan menaiki bas. Perjalanan mengambil masa lebih satu jam disebabkan kesesakan jalan raya yang dialami sepanjang perjalanan.
Mujurlah pemandu pelancong kami yang fasih berbahasa Inggeris banyak bercerita tentang sejarahnya, menyebabkan perasaan bosan tidak begitu dirasai.
“Istana ini merupakan tempat maharaja dan maharani beristirehat pada musim panas. Ia turut dikenali sebagai Yihe Yuan yang bermaksud Gardens of Nurtured Longevity,” terangnya.
Rasanya kunjungan ke China tidak lengkap sekiranya tidak bertemu dengan maskot Sukan Olimpik Beijing 2008 ini. Peserta meneruskan agenda Zoo Beijing untuk melihat panda yang sememangnya aktif pada musim sejuk.
Pada hari-hari terakhir, aktiviti diteruskan dengan kunjungan ke Silk Market yang digelar syurga membeli-belah. Sebut apa sahaja barangan yang dikehendaki, semuanya terdapat di situ pada harga yang murah.
Menariknya, kebanyakan peniaga fasih berbahasa Inggeris memudahkan anda melakukan tawar-menawar dengan mereka.
Disebabkan itu, tidak hairanlah, ia merupakan destinasi pelancong yang ketiga popular di Beijing selepas Tembok Besar dan Kota Larangan. Secara puratanya, Beijing dilawati oleh 20,000 orang setiap hari dengan waktu operasinya bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: