
LELAKI berkumis tebal itu kelihatan fokus mengadap skrin komputer di hadapannya. Matanya liar memerhatikan ratusan kotak kecil berwarna putih yang terpancar di atas skrin. Bagi Eksekutif Housekeeper Hotel Pan Pacific Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mohd. Anuar Hussin itulah rutinnya saban hari. Selain menyelia kakitangan, dia juga bertanggungjawab memastikan perkhidmatan pembersihan dan kemas bilik di hotel itu berjalan lancar.
Perhatiannya tertumpu kepada salah sebuah kotak kecil itu yang tiba-tiba bertukar kepada warna hijau. Bagaikan memahami isyarat yang diberikan, lelaki itu segera memanggil salah seorang kakitangannya.
“Pelanggan di bilik nombor 418 perlu perkhidmatan kemas bilik. Tolong hantar kakitangan ke sana segera,” katanya memberi arahan.
Jika sebelum ini, pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu lazimnya akan meletakkan tag di tombol pintu atau menghubungi kaunter penyambut tetamu, kini semuanya boleh dipantau di hujung jari secara dalam talian.
“Melalui sistem ini kami boleh mengetahui bilik mana yang memerlukan perkhidmatan kemas bilik atau tidak. Secara tidak langsung ia dapat menjimatkan masa dan guna tenaga, di samping memastikan keselesaan pelanggan pada tahap optimum,” ujarnya.
Dikenali sebagai sistem Inncom, ia merupakan antara beberapa sistem pintar yang digunakan di Hotel Pan Pacific KLIA sejak 2008.
Ia berfungsi menyediakan satu sistem berpusat secara dalam talian bertujuan memantau dan melicinkan operasi dan pengurusan hotel secara keseluruhan.
Jimat elektrik
Pengarah Pemasaran Inncontrol Technologies Sdn. Bhd. Raymond CY Yap, berkata, melalui sistem itu, pihak hotel boleh memantau kehadiran pelanggan di samping menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang diinginkan.

“Sensor pada sistem ini berkordinasi dengan beberapa jabatan di dalam hotel ini seperti housekeeping, kaunter penyambut tetamu, teknologi maklumat, penyelengaraan dan keselamatan,” katanya.
Ujarnya, keistimewaan sistem pintar itu bakal dirasai pelanggan mendaftar di kaunter daftar masuk yang terdapat di terminal lapangan terbang atau di lobi hotel.
Selepas pendaftaran diaktifkan, pendingin hawa di dalam bilik akan berfungsi secara automatik sekali gus memberikan suasana nyaman dan selesa tatkala melangkah masuk ke dalamnya.
Sistem itu juga menerapkan ciri mesra alam dengan mengawasi tahap suhu pendingin hawa di keseluruhan bilik agar bekalan elektrik dapat dijimatkan dengan sewajarnya.
“Suhu asas bilik yang ditetapkan pihak hotel ialah 22 darjah Celsius. Tetapi, pelanggan boleh melaraskan suhu mengikut kehendak mereka ketika menginap.
“Cuma apabila mereka keluar dari bilik, suhu bilik akan dinaikkan dua darjah Celcius bagi mengurangkan penggunaan tenaga, di samping tetap menyamankan bilik,” jelasnya.
Biarpun masih baru, namun sistem itu telah terbukti keberkesanannya.
Pengurus Besar Hotel Pan Pacific KLIA, Hans G. Winsnes memberitahu, pihaknya telah berjaya menjimatkan kos elektrik sebanyak RM561,878 pada tahun lalu.
Pada masa yang sama katanya, sistem yang digunakan mampu mengurangkan pembebasan 1,716 tan karbon dioksida dalam setahun.
Mula beroperasi pada tahun 1998, Hotel Pan Pacific KLIA merupakan salah sebuah rangkaian hotel-hotel mewah di bawah jenama Pan Pacific yang terdapat di seluruh dunia.
Di Malaysia, jenama itu hadir melalui konsep hotel kapal terbang di mana ia merupakan satu-satunya hotel yang dibina bersebelahan KLIA.
Sesuai dengan statusnya yang ‘bersempadankan dunia’, hotel itu menawarkan penginapan mewah serta perkhidmatan bertaraf lima bintang buat pengunjung dan pelawat antarabangsa.
Keistimewaan tidak sekadar terletak kepada reka bentuknya yang moden dan kontemporari serta kehijauan pepohon yang rimbun dan deru air terjun yang menyerikan laman-laman luar hotel itu tetapi juga ‘kepintarannya’.
![]() |
| PELANGGAN kini boleh memesan makanan menerusi iPad yang menawarkan variasi menu sajian. |
Menurut Winsnes, selain Inncom, pihaknya turut mengaplikasikan beberapa sistem lain seperti seperti Kad Komen Tetamu Elektronik (EGCC), Sistem Komputer Persekutuan (FCS), sistem penempahan Pan Pac, sistem e-pengurusan dan Vingcard.
“EGCC misalnya dapat menyimpan segala maklumat mengenai sejarah pelanggan dan aduan yang pernah mereka utarakan. Justeru, pihak hotel sedia mengetahui apa kehendak tetamu apabila mereka datang lagi ke hotel ini.
“Sementara itu, Vingcardn pula merupakan sistem kad pintar terkini yang menggunakan platform ZingBee bagi menawarkan tahap keselamatan optimum kepada pelanggan,” katanya.
Nyata, perkembangan dan ledakan teknologi tidak pernah terhenti di Hotel Pan Pacific KLIA.
Menu makan dalam iPad
Terbaru, hotel itu melancarkan sistem tempahan makanan elektronik (VIPSeat Restaurant) yang dibangunkan oleh Tiare Technology.
Winsnes berkata, sistem yang menggunakan platform iPad itu kini boleh digunakan di restoran 24 jam, Degrees.
“Berbanding buku menu biasa, sistem ini lebih interaktif dan mesra pengguna. Setiap menu yang dipaparkan dalam resolusi tinggi mempunyai keterangan, gambar, senarai harga dan sebagainya.
“Selepas membuat tempahan, maklumat akan dipaparkan secara dalam talian pada skrin komputer di bahagian dapur untuk penyediaan hidangan,” katanya.
Bercakap mengenai kelebihan sistem terbaru itu, katanya, ia bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan kertas, masa dan guna tenaga, di samping meningkatkan kebolehpercayaan pelanggan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Katanya, beberapa pengiktirafan yang diperolehi hotel itu sebelum ini sama ada di peringkat Asia dan dunia membuktikannya.
“Tanpa ragu, kecemerlangan yang konsisten menjadi kunci kejayaan hotel ini diundi sebagai hotel lapangan terbang yang terbaik di dunia.
“Fokus kami adalah untuk sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan perhatian kepada keselesaan tetamu-tetamu kami,” katanya.
Hotel itu menawarkan 441 bilik tetamu merangkumi bilik deluxe, junior suite, eksekutif suite, deluxe suite, residential suite dan Pacific Club.
Terkenal dengan ruang makannya, Palm Terrace, hotel itu turut menyediakan kemudahan bersukan, pusat kecergasan, gimnasium yang lengkap dengan sauna dan jakuzi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: