Wednesday, April 6, 2011

Tarik perhatian menerusi Adamaya

AKRAB...hubungan mesra antara Lisa dan Mia terjalin hingga di luar lokasi penggambaran.
AKRAB...hubungan mesra antara Lisa dan Mia terjalin hingga di luar lokasi penggambaran.

SEKALIPUN belum berumah tangga, pelakon Lisa Surihani Mohamed begitu bijak melayan keletah kanak-kanak. Keserasian Lisa bersama anak kecil cukup terserlah menerusi gandingannya di sisi bintang cilik, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 5.

Beberapa kali berlakon bersama, hubungan mereka dilihat begitu akrab sekali. Malah, Mia juga selesa memanggil Lisa dengan panggilan ‘Mama’ biarpun di luar lokasi penggambaran. Bukan itu saja, mereka sering tampil bersama dalam majlis hiburan yang dihadiri.

Terbaru, pastinya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada Ahad lalu. Mia yang dilihat bersedih berjaya ditenangkan Lisa dan mereka saling amat menyayangi.

Situasi sama turut dilihat ketika menemui mereka di lokasi penggambaran filem Papa, I Love You arahan Hashim Rejab di Bukit Rimau, Kota Kemuning, baru-baru ini. Mia yang komited dengan lakonannya mampu mengawal ‘mood’ dengan baik dan bersahaja.


Walaupun terpaksa melakonkan babak sama beberapa kali, Mia nyata kuat semangat. Tidak sesekali dia merungut keletihan atau kurang gembira. Lisa berkata, setakat ini, dia begitu selesa beraksi dengan si kecil yang dianggap berbakat itu.Katanya, Mia tidak banyak kerenah dan senang dilayan. Justeru, disebabkan itu mereka mudah rapat dan sangat akrab. Menurut Lisa, si comel itu juga matang berbanding usianya. Jadi, semestinya mereka seronok apabila bergandingan bersama.

Gandingan mereka mula mendapat perhatian melalui siri Adamaya apabila Lisa menjadi ibu Mia berpasangan dengan Sein Ruffedge juga arahan Hashim. Kemudian mereka digandingkan pula dalam filem Sekali Lagi dan kali ini berganding dengan Shaheizy Sam.

“Saya memang tiada masalah melayan Mia sama ada di lokasi atau di mana saja. Mia ini, kanak-kanak yang cerdik, profesional serta mudah memahami. Barangkali, sudah beberapa kali kami berlakon sama membuatkan keserasian semakin dirasai.

“Selain itu, filem Papa, I Love You ini juga menggandingkan saya dengan pelakon baru, Zalif Sidek. Ia pengalaman sangat menarik dan cabaran besar untuk saya membentuk keserasian. Maklum saja, dulu saya sekadar mengenali Zalif sebagai pegawai perhubungan awam (PR).

“Sekarang, kami sama-sama berlakon pula dan seharusnya saling bekerjasama antara satu sama lain. Saya yakin kami ada keserasian tersendiri kerana perasaan ini pernah dirasakan ketika mula-mula digandingkan dengan Bront Palarae dan Shaheizy.

“Apapun, saya tertarik membintangi Papa, I Love You kerana jalan ceritanya yang mengangkat dilema seorang bapa tunggal, Bahar lakonan Zalif terhadap anaknya, Mia selepas kematian isteri. Manakala, saya sebagai Elly, lain pula ceritanya,” kata Lisa.

Menurut pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) menerusi filem Lagenda Budak Setan ini, dia juga tidak pernah berasa satu bebanan berlakon di samping Zalif. Katanya, Zalif harus diberi masa dan peluang untuk meng�gilap bakat dimiliki.

“Saya pun pernah menjadi artis baru, maka saya faham cabaran dirasakan Zalif memandangkan ini filem pertamanya sebagai hero. Apa yang saya harapkan, kini keserasian kami menjadi dan seterusnya filem ini akan diterima baik penonton,” katanya.

Lisa yang baru menang anugerah Pelakon Filem Wanita Popular di ABPBH2010 lalu, berkata dalam filem itu dia berhadapan konflik dengan bapanya lakonan Zaidi Omar. Ujarnya, ia adalah pengalaman lain daripada realiti kehidupan sebenar.

“Saya sangat rapat dan disayangi arwah bapa. Namun, dalam filem ini, saya berkonflik dengan bapa pula. Ia semestinya satu cabaran buat saya. Apapun, pertama kali berlakon dengan dialog bersama Zaidi, sangat memberi inspirasi kepada saya.

“Beliau pelakon yang sangat berbakat dan juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu lakonannya. Ketika bersembang bersamanya, saya sendiri tersedar dan berasa kekurangan diri mengenai ilmu lakonan. Saya fikir masih banyak kekurangan harus dibaiki.

“Sebelum ini, kami ada berlakon dalam filem Ombak Rindu arahan Osman Ali tetapi tiada dialog bersama. Apapun, saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengan Zaidi dalam filem ini,” katanya menganggap anugerah dimenangi, rezeki daripada Tuhan.

Sementara itu, Mia Sara berkata dia memang seronok berlakon di samping Lisa. Malah, katanya dia juga gembira berlakon dengan penyanyi Cat Farish dalam drama Zoo The Series. Ujar Mia, dia mudah memahami dialog selepas dibacakan padanya.

“Saya suka berlakon kerana seronok. Drama Zoo paling saya suka kerana dapat mendekati haiwan. Berlakon dengan Mama Lisa, OK juga,” katanya.

Selepas filem Papa, I Love You, Mia akan membintangi telefilem dan drama terbitan Pena Creatives Sdn Bhd. Sekalipun pelakon kanak-kanak, Mia tetap sibuk dan jadual lakonannya sudah penuh sehingga Julai ini.

Disebabkan itu, Mia yang sepatutnya ke tadika Montessori Islam, Kota Damansara mengambil kelas tuisyen di rumah supaya dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.


>Profil Mia Sara

NAMA: Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan
PANGGILAN KOMERSIAL: Mia Sara
USIA: 5 tahun
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
KARIER: Pelakon, model
ASAL: Kuala Lumpur
DRAMA/TELEFILEM: Adamaya, Epilog Syurga Cinta, Tiramisu, Zoo The Series dan Begitukah Cinta, Pengorbanan Terakhir (telefilem)
FILEM: Nur Kasih The Movie, Sekali Lagi dan Papa I Love You
IKLAN TV: Antaranya produk susu kanak-kanak, Astro Beyond, pelembut pakaian Softlan, Bank Islam dan syarikat telekomunikasi seperti Celcom dan TM.


>Profil Lisa Surihani

NAMA: Lisa Surihani Mohamed
PANGGILAN KOMERSIAL: Lisa
ASAL: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 23 Mac 1986
USIA: 25 tahun
KARIER: Pelakon, pengacara
PROGRAM TV: Antaranya Mari Menari, X-Fresh, Down Memory Lane, Nestle Space Challenge, Hello 2006, Whoa (ntv7), Expresi.
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Obsesi, 3 Janda, Seputih Salju, Adamaya, Mertua vs Menantu 2, Kapowww! Atoi The Ajaib Boy, Tudung Ekspres, Sekali Lagi, Ombak, Ayah Kami dan Mystery 6.
FILEM: Goodbye Boys, I’m Not Single, Jangan Pandang Belakang Congkak, V3: Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stiletto, Lagenda Budak Setan, Sekali Lagi, Ombak Rindu dan Papa, I Love You.
PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Harapan Wanita Filem Festival Malaysia ke-21 (FFM21), Pelakon Wanita Terbaik Filem Festival Malaysia ke-23 (FFM23), Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2010.
DUTA PRODUK: Garnier, Lip Ice

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: