Wednesday, April 6, 2011

Shahir Popular Kerana Kontroversi


Memenangi Anugerah Artis Baru Lelaki Popular pada malam Anugerah Bintang Popular, ABPBH 2010 yang lalu membuktikan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir masih mempunyai pengikut yang ramai biarpun sepanjang 2010 yang lalu terlalu banyak kontroversi yang lahir dalam kariernya ini.

Mengakui pernah seketika dalam tahun terbabit, dia berputus asa dengan dugaan yang menimpa, Shahir bagaimanapun berterima kasih kepada peminatnya yang banyak menyokong selama ini.

"Saya berasa sangat bertuah kerana peminat sewaktu berada didalam akademi dulu masih kekal menyokong saya biarpun kini sudah ada musim yang terbaru.

"Tahun lepas saya agak berputus asa, tapi bila saya fikirkan, dugaan seperti ini pernah dilalui oleh setiap artis dan tanpa adanya liku-liku saya tidak mungkin mendapat pengajaran dan pengalaman yang boleh dijadikan panduan.

"Sebenarnya, artis juga manusia, adakalanya kami melakukan kesalahan, kerana kami juga bukanlah sempurna, walau bagaimanapun, kontroversi sebegini sedikit sebanyak membantu menaikkan nama saya menjadi lebih popular tetapi ia perlu ditangani dengan cara yang baik,"jelas Shahir.

Bertanyakan tentang masalah dirinya yang sekarang ini sering dianggap sebagai artis bermasalah, jelas Shahir kesibukkannya membuatkan dia sering terlupa jadual dan jarang mengangkat panggilan telefon.

"Saya sekarang ini sibuk dengan rakaman album baru, jadi banyak habiskan masa disini. Bila ada media atau pengurus cuba menghubungi, saya jarang dapat mengangkat panggilan kerana jarang bersama telefon apabila bekerja.

"Masalah kesihatan pula, ia sudah beransur baik dan saya semakin sihat sekarang ini,"Luah Shahir lagi.

Jika dahulu dia pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon jelita, Rozita Che Wan kini menurut Shahir dia tidak lagi bersama sesiapa kerana belum bersedia untuk menerima penangan cinta.

"Buat masa sekarang biarlah saya bersendirian, saya kasihan pada keluarga yang turut terkena tempiasnya sekiranya ada kontroversi mengenai saya. Lagipun pada usia yang masih muda ini biarlah saya habiskan masa untuk berkarya dan berlakon,"jelas Shahir yang turut menghasilkan beberapa buah lagu untuk album terbarunya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: