Friday, April 22, 2011

Sepatu London anak Malaysia




DIA tidak betah bekerja di bawah kawalan orang lain kerana merasakan dunianya terlalu terhad dan terbatas. Memikul tanggungjawab selaku seorang arkitek memang menjadi impian Zetty Syazleen Ismail yang merupakan seorang penuntut di Universiti Cardiff, United Kingdom dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina.

Penglibatannya dalam mereka sebuah butik di London menyebabkan dia sering sibuk dan jarang berada bersama keluarga terutama anaknya, Zaara Alyssa, 4.

“Saya sayangkan kerjaya sebagai seorang arkitek, tetapi saya terpaksa meninggalkan kerja itu atas beberapa sebab. Pertama, saya tidak mahu terlepas saat-saat indah melihat anak saya membesar. Bila bekerja, saya memang jarang habiskan masa dengannya dan sering sibuk di pejabat selain perlu menghadiri mesyuarat dan pelbagai urusan kerja yang lain,” katanya melalui utusan e-mel kepada penulis.

Keduanya, projek seni bina sebuah bangunan pendidikan yang dipertanggungjawabkan kepadanya terpaksa disiapkan dengan kos yang rendah dan terhad sehingga dia merasakan tiada ruang untuknya meneroka keupayaan mempelajari perkara-perkara baru.

“Disebabkan itu, saya dapati projek itu membosankan dan minat saya untuk meneruskannya mati perlahan-lahan. Walaupun begitu, saya tetap cintakan dunia seni bina dan kini saya menjadi arkitek bebas,” katanya yang tidak mampu untuk membuang sepenuhnya sisi seni bina dalam diri.

Kelahiran Sepatu London

Ekoran itu, Zetty bertekad mahu melampiaskan cita-citanya dengan membangunkan perniagaan sendiri yang sememangnya menjadi impian dia sejak dulu lagi. Pada Jun 2009, Zetty nekad menceburi dunia rekaan kasut di kota London memandangkan dia seorang penggemar kasut dan selalu mengikuti perkembangan fesyen terkini.


BAKAT dan kreativiti seni yang ada tidak disia-siakan Zetty apabila membangunkan Sepatu London.


“Saya memang sukakan kasut dan fesyen dan rasanya semua wanita mempunyai minat yang sama. Seperti yang saya katakan, saya gemar meneroka perkara baru dengan melihat gaya pemakaian dan warna-warna indah.

“Bila meninggalkan kerjaya saya, saya mahu melakukan sesuatu mengikut naluri hati saya dan sebab itu saya melangkah ke perniagaan kasut. Mencipta sesebuah rekaan bagaikan satu terapi diri bagi saya.

“Saya merasakan sentiasa berada dalam zon yang selesa setiap kali mencipta rekaan baru untuk kasut-kasut saya. Bila saya mulakan Sepatu London, saya bukan sahaja mahu menzahirkan rekaan-rekaan yang mewah, tetapi mampu dan selesa untuk semua wanita,” jelasnya.

Baginya, wanita di kota London sanggup membelanjakan wang mereka untuk memiliki kasut hasil rekaan pereka yang gah meskipun sesetengah daripadanya mempunyai corak yang ‘menyedihkan’.

“Sepatu London bukan hanya menawarkan koleksi yang bercita rasa mewah, tetapi dari segi harga, ia amat berpatutan dan mampu dimiliki,” katanya yang kemudian ditemui di ibu negara menjelang pertunjukan fesyen Sepatu London baru-baru ini.

Segala idea dan kreativiti miliknya ditumpahkan kepada sepasang kasut dengan sisi elegan dan moden. Ada yang bertumit tinggi, sederhana atau rata.

Menurut Zetty, harga Sepatu London yang menggunakan material seperti kulit dan suede dijual dalam julat harga yang murah iaitu antara £20 hingga £35 (RM140-RM300).


SEPATU London turut diperagakan di pentas fesyen.


“Sasaran kami adaalah untuk menghasilkan kasut yang penuh stail, tetapi pada harga yang berpatutan,” ujarnya yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan One Drop Sdn. Bhd.

Jualan atas talian

Meskipun tidak memiliki butik mewah untuk memperagakan koleksi Sepatu London, perniagaan yang dijalankan menerusi dalam talian setakat ini belum pernah mengecewakan. Bahkan, menurut Zetty, di London urusan perniagaan untuk memberi barangan runcit turut ditawarkan dalam bentuk dalam talian.

“Saya dinasihatkan oleh pengilang yang menjalinkan kerjasama dengan Sepatu London untuk hanya berniaga menerusi dalam talian dan setakat ini, semuanya berjalan lancar.

“Walaupun tiada kedai, saya menawarkan peluang kepada pelanggan yang ingin mencuba kasut menerusi temu janji di pejabat saya yang terletak di One Canada Square, Canary Wharf, London,” katanya yang ditemui di ibu negara.

Mengimbas semula detik-detik awal anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu di London, dia terlebih dahulu berada di sana sebagai seorang penuntut.

“Saya balik ke Malaysia pada tahun 2003 selepas belajar. Pada September 2005, saya mendirikan rumah tangga dan selepas itu, kami sepakat untuk berpindah ke London pada tahun yang sama,” tutur wanita berusia 33 tahun itu.

Inspirasi

Berbicara lanjut tentang Sepatu London, Zetty mengakui tujuh pasang kasut awal yang dihasilkannya bermula daripada inspirasi watak animasi iaitu Little Mermaid yang sering ditonton oleh anaknya.

Ia termasuklah Andrina, Aquatta, Alana, Attina, Arista dan Adella yang merupakan adik-beradik kepada ikan duyung bernama Ariel.


PERNIAGAAN Sepatu London dijalankan sepenuhnya dalam talian.


Diajukan persoalan mengenai asal usul jenama Sepatu London, Zetty memberitahu, dia sememangnya tidak pernah terfikir untuk menggunakan namanya bagi mendokong produk yang dihasilkan seperti yang sering di lakukan oleh kebanyakan pihak.

“Saya memang tidak mahu menggunakan nama saya sebagai satu jenama. Pada saya perkataan sepatu itu amat menarik dan unik. Tetapi sebab utama saya memilih Sepatu kerana ketika saya kecil, nenek saya sering gunakan terma itu tidak kira untuk kasut bertutup, selipar, sandal atau apa-apa sahaja. Dalam konteks mudah, nama sepatu itu adalah kerana nenek saya,” ujarnya yang tidak melantik mana-mana individu sebagai duta kepada Sepatu London.

Zetty turut mendedahkan bahawa dia hanya menghasilkan rekaan di atas sehelai kertas untuk setiap rekaan sebelum ia dihantar kepada pengilang yang dilantik khusus mengeluarkan Sepatu London termasuk sebuah kilang di Prague, Republik Czech.

Menyedari Sepatu London hanya boleh dibeli menerusi secara dalam talian di laman web www.sepatu.co.uk, Zetty menyasarkan akan membawa jenama itu ke Malaysia menjelang tahun depan.

“Itu adalah impian saya. Mungkin Sepatu London akan menjengah pasaran di Malaysia pada tahun depan. Saya tidak sabar untuk berkongsi minat dengan pencinta kasut di Malaysia,” katanya yang akan memperbaharui setiap rekaan setiap tiga bulan.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: