Friday, April 22, 2011

Bersaing di litar bersama Alesi


SELEPAS tamat perlumbaan di litar USJ Subang, wakil media mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan dengan legenda F1, Alesi (duduk).


SEMPENA demam Formula Satu (F1) pada Grand Prix (GP) Malaysia yang berlangsung pada 9 dan 10 April lalu di Litar Sepang, Proton Holding Berhad membawa wakil-wakil media merasai pengalaman memandu jentera kecil persis kereta lumba F1 iaitu go-kart awal April lalu.

Nikmati jenama kegemaran anda pada harga rendah!

Cabaran memandu Go-Kart yang mengambil tempat di Litar Go-Kart Speedway Plus, USJ Subang itu amat bermakna buat 40 wakil media yang hadir kerana ia menampilkan legenda F1, Jean Alesi yang pernah menjadi pelumba untuk pasukan Tyrrell, Benetton, Sauber, Prost, Jordan dan Ferrari.

Seramai 50 peserta mengambil bahagian termasuk 10 wakil daripada pihak penganjur sendiri.

Kami kemudiannya dibahagikan kepada lima kumpulan sebelum memulakan ujian kelayakan masa terpantas untuk tempat 25 teratas sebelum ke pusingan suku akhir.

Setiap wakil media menanti penuh keterujaan untuk menguji kemahiran pemanduan dan masing-masing serius mendengar taklimat mengenai perlumbaan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Apabila segalanya sudah jelas, setiap wakil media menunggu giliran untuk menunjukkan aksi memandu di litar go-kart. Seramai 10 peserta dilepaskan dalam satu sesi perlumbaan.

Penulis yang pertama kali memandu jentera kecil tersebut sedikit gementar apabila melihat rakan-rakan media yang lebih dahulu melakukan pemanduan kerana ada yang hampir terbabas di selekoh.


ALESI (kanan) mengucapkan tahniah kepada Tom yang mendapat tempat kedua sejurus tamat perlumbaan.


Malah, ada di antara mereka lagaknya tidak ubah seperti pemandu F1 walaupun prestasi mereka memandu go-kart belum diketahui.

Macam-macam aksi dapat dilihat sepanjang acara berlangsung. Ada yang memandu perlahan sehingga dipotong oleh pemandu berkali-kali, tidak kurang pula yang berdesup laju seakan-akan menyerap aura Alesi.

Keasyikan melakukan pusingan dengan kelajuan tinggi membuatkan ada segelintir pemandu terbabas, mujur tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Apa yang pasti jika anda berpeluang mencuba memandu jentera itu, jangan membuka mulut kerana terlalu teruja, bagi mengelakkan batu-batu kerikil kecil masuk ke dalam mulut anda!

Bagi yang tidak biasa memandu go-kart sebelum ini, pasti berdepan dengan masalah kawalan stereng kerana stereng jentera kecil itu keras dan susah untuk dipusing.

Tamat sahaja pusingan separuh akhir, 10 pemandu terpantas berpeluang berlumba bersama Alesi yang sebelum itu hanya memerhatikan dari jauh kehebatan bakal-bakal pelumba yang bakal menyainginya.

Saat yang dinanti-nantikan telah tiba apabila Duta Lotus, Alesi melangkah masuk tepat pukul 12.40 tengah hari untuk berlumba dengan 10 pemandu terpantas dalam kalangan rakan media. Mereka bersaing untuk merebut hadiah GPS dan pemain MP3 untuk tiga tempat teratas.

Ternyata perlumbaan semakin sengit apabila masing-masing mahu memberikan saingan kepada legenda F1 tersebut sehingga ada beberapa pelumba yang mengekori dekat di belakang Alesi.

Setelah tamat enam pusingan, ternyata pemanduan Alesi masih berbisa kerana berjaya menumpaskan 10 pemandu lain.

Tom Goh, 29, yang berada di kedudukan kedua tidak menyangka bahawa dia mampu memberikan saingan sengit kepada legenda F1 itu sekali gus memenangi GPS, trofi dan topi keledar khas yang ditandatangan oleh Alesi.


PARA peserta memberi kosentrasi sepenuhnya semasa pemanduan dalam merebut tempat ke final.


"Pada mulanya saya berada di posisi kelima dan mula memotong pelumba-pelumba lain sehingga berada betul-betul di belakang Alesi," katanya yang merupakan Pengasas dan Pengarah laman web zerotohundred.com.

Tom yang sememangnya aktif dalam sukan go-kart sejak setahun lalu kerap melakukan latihan dua minggu sekali namun, dia tidak aktif sejak empat bulan lalu kerana sibuk.

"Saya memilih sukan go-kart kerana ia adalah sukan yang paling hampir atau menyamai sukan F1 dan ia lebih murah," katanya yang mengimpikan untuk memiliki jentera tersebut dalam masa enam bulan lagi.

Berada di kedudukan yang kelima, Wazid Zaidon, 26, berbangga dan teruja kerana dapat berlumba dengan Alesi.

"Sungguhpun saya tidak berpeluang memintasnya tetapi, tetap berpuas hati kerana dapat memberikan saingan kerana bukan semua orang dapat merasai pengalaman seperti ini," katanya yang memasang impian untuk bersaing dengan legenda F1 yang lain pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: