Friday, April 8, 2011

Selera India Utara di InterContinental


Chef Vicneswaran bersama pelbagai sajian asli India Utara.


BERIANI, tandoori, naan, kari, dal, tosai dan capati adalah antara beberapa masakan India yang sebati dengan selera rakyat Malaysia. Tidak ketinggalan lasi mangga yang sememangnya popular sebagai penghilang dahaga.

Namun apabila disebut rogan gosh, shahi, jingga varuval dan ajwani jhinga ramai yang masih terpinga-pinga sedangkan ia juga masakan asli dari India yang tidak kurang enaknya.

Kini, bagi yang merindui masakan India Utara asli, berkunjunglah ke Hotel InterContinental di Jalan Ampang . Anda boleh menikmati hidangan bufet sambil merasai suasana seakan-akan di dalam istana tradisi India.

Chef Vicneswaran yang bertanggung jawab menyediakan masakan tersebut berkata, sempena promosi makanan istimewa India, pihaknya menyediakan pelbagai juadah istimewa daripada sajian asli turun temurun India.

Terangnya, setiap hari hampir 40 jenis lauk yang di masak bagi mempelbagaikan resepi. Malah, penggunaan rempah ratus dalam masakan dianggap sudah sinonim dengan budaya masyarakat India.

Malah, dia yang berpengalaman selama lebih 10 tahun memberitahu kebanyakan masakan India menggunakan rempah ratus dan herba yang dibuat sendiri bagi mengekalkan rasanya yang tulen serta memastikan kualiti penyediaan dan rasa masakan betul-betul asli.

Katanya, menjadi kelazimannya, dalam sesuatu resipi masakan ada antara 12 hingga 13 jenis rempah ratus. Penggunaan rempah ratus itulah yang menyebabkan rasa masakan berkenaan lebih perisa dan enak.

Selain memasukkan rempah ratus, masyarakat India didapati kerap menggunakan bahan lain seperti bawang putih, keju, minyak sapi (ghi) yang secara saintifiknya mampu meningkatkan fungsi hormon dalam badan.

Jelas beliau, penggunaan bahan ramuan seumpama itu dikatakan, penting kerana dapat membangkitkan aroma dan menambahkan rasa sedap masakan yang disajikan.

Maka itulah, penggunaan bahan rempah menjadi aspek utama dalam masakan India.

Antara hidangan makanan utama disediakan sepanjang promosi ialah Gosht Mugalai iaitu kambing yang dimasak bersama keju yang diletakkan bersama biji gajus, shahi paneer, malabar masala iaitu kari ikan serta jingga varuval iaitu udang yang dimasak bersama sos tomato dengan pelbagai campuran rempah ratus.

Malah pengunjung juga berpeluang merasa murgh beriani yang istimewa dengan resipi yang tersendiri yang dihidangkan dengan ayam tandoori.

Manakala minuman terdiri daripada lasi mangga yang sungguh enak dan mengenyangkan.

Selesai menjamu selera, anda boleh juga menikmati pilihan manisan seperti payasam yang seakan bubur manis.

Bagi mereka yang ingin mencari kelainan atau mahu merasai keaslian sajian ini, bolehlah singgah ke hotel ini, promosi ini berlangsung sehingga 22 April depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: