Wednesday, April 13, 2011

Salma terus ungguli Mentor 5


PERSEMBAHAN kemuncak yang di jayakan oleh Mas Idayu bersama dengan ketiga-tiga protege kumpulan B. Dari kiri: Salma, Aiman dan Iqa.


BIARPUN dihimpit rasa tidak senang beberapa pihak dengan insiden drama yang disifatkan sengaja untuk meraih simpati peminat, protege kepada Erra Fazira, Salmah A. Asis ataupun Salma tetap mengguguli konsert pusingan kedua kumpulan B Mentor 5 (M5) pada Ahad lepas.

Tampil mempersembahkan genre rock, Salma terus memukau perhatian penonton dengan persembahan pembukaan konsert mingguan itu menerusi lagu Bukan Milikmu Lagi nyanyian asal Agnes Monica.

Mentor yang disiarkan secara langsung pada pukul 9 malam di TV3 dari Auditorim Majlis Bandaraya Shah Alam itu, nyata berjaya menghiburkan penonton dengan persembahan mantap Salma menerusi lagu Rama-Rama berduet dengan Ratna.

Kehebatan Salma bukan sahaja berjaya memukau peminat bahkan Salma mendapat komen yang baik daripada juri professional.

"Betul kata orang Salma tidak bagus tetapi Salma hebat," begitulah komen yang diberikan oleh juri jemputan konsert mingguan itu, Mas Idayu.

Persembahan mantap Salma malam itu berjaya melonjakkan kedudukannya dalam carta kumpulan B apabila berjaya mengumpul markah keseluruhan untuk dua pusingan kumpulan B sebanyak 157 jauh meninggalkan dua pesaingnya.

Mengekori rapat kedudukan markah Salma adalah protege Edry Abdul Halim, Iqa dengan 111 markah dan protege Rahim Maarof, Aiman hanya memperolehi 91 markah.

"Saya tidak merasakan saya berada pada kedudukan yang selesa. Saya akan terus meningkatkan mutu persembahan untuk minggu-minggu akan datang.

"Walaupun markah saya antara yang tertinggi tetapi ia menunjukkan sedikit kemerosotan apabila markah minggu ini tidak sebaik konsert pertama dahulu," jelasnya.

Sementara itu, mentornya, Erra Fazira berkata, dengan kemenangan pada dua konsert pertama ini menjadikannya lebih gementar untuk mempertahankan kemenangan itu.

Bagi Erra, para peminat Salma sudah pasti mempunyai jangkaan sendiri dengan kemampuan Salma untuk melakukan sesuatu yang terbaik.

"Apa yang penting saya akan pastikan persembahan Salma selepas ini tidak akan mengecewakan peminat yang sentiasa mengundinya.

"Saya sekarang lebih fokus untuk mengatasi kelemahan Salma yang sering kehilangan penghayatan ketika menyanyi," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: