Wednesday, April 13, 2011

Keserasian Sheila, Glenn


Amy Search turut menyaksikan persembahan Sheila dan Glenn di dewan utama Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara sempena sambutan Minggu Setiausaha 2011.


RATU Jazz negara, Datuk Sheila Majid berjaya menghiburkan hampir 500 peminatnya yang memenuhi dewan utama Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada 7 April lalu bagi meraikan sambutan Minggu Setiausaha 2011.

Majlis itu bertambah hangat apabila Sheila berkongsi pentas dengan penyanyi dari Indonesia, Glenn Fredly yang popular dengan lagu hitnya, Januari.

Majlis eksklusif anjuran Neo Magik Sdn. Bhd. (Neo Magik) itu bermula kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan persembahan pembukaan oleh Glenn menerusi lagu Kau.

Ternyata, kemampuan vokal Glenn yang boleh mencecah note tinggi itu berjaya memukau hadirin yang memenuhi dewan tersebut.

Glenn berjaya membuatkan audiens tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing apabila dia tampil dengan lagu Linda, sebuah karya yang membelai jiwa.

Walaupun lagu-lagu nyanyian Glenn tidak begitu mesra di halwa telinga penonton yang hadir, ia tetap mendapat sambutan apabila setiap nyanyiannya mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Glenn bijak menambat hati penonton dengan persembahan yang penuh tenaga menerusi beberapa lagu seperti Cukup Sudah, How Could You, Kasih Putih dan Terserah.

Penonton nyata terhibur dengan persembahan Glenn yang memakan masa hampir sejam itu.

Bagi mengakhiri persembahannya, Glenn menghangatkan seisi dewan apabila mendendangkan lagu popularnya, Januari.

Seperti diduga, penonton sememangnya menanti-nantikan detik Glenn menyanyikan lagu tersebut.

Tanpa perlu diajak, audiens dengan sendiri menyanyi mengikut rentak yang menjadi kegilaan ramai itu.

Kemudian, suasana hangat dewan diteruskan dengan lagu rancak Dansa Yo Dansa yang membuatkan sebilangan audiens bangun untuk menari bersama Glenn.

Sebagai penutup, Glenn meredakan seisi dewan dengan membuai perasaan penonton menerusi sebuah lagu Inggeris, My Everything.

Sementara menunggu Ratu Jazz mengambil alih pentas, pelawak popular, Harith Iskander tampil menggamatkan suasana dewan dengan lawak jenakanya di samping bertindak selaku pengacara bagi menyampaikan hadiah cabutan bertuah.

Saat alunan muzik lagu Pengemis Muda dimainkan, penonton mula menjerit kerana sedar detik yang ditunggu-tunggu bakal tiba.

Tidak lama kemudian, sosok tubuh penyanyi kecil molek itu muncul di sebalik tirai pentas sambil menyanyikan lagu kegemaran ramai itu.

Tanpa membuang masa, Sheila terus menghiburkan tetamu dengan lagu-lagu popularnya, Warna, Antara Anyer Dan Jakarta, Lagenda, Dengarkanlah, Kekasih Baru, Datanglah Ke Dalam Mimpiku, Relakan , Jelingan Manja, Dia , Ku Mohon dan diakhiri dengan lagu hit, Sinaran.

Penonton seakan-akan tidak puas dengan persembahan Sheila dan melaung agar artis itu menyanyikan lagu popularnya, Aku Cinta Padamu.

Gimik sudah diduga, kedengaran suara Glenn menyanyikan lagu berkenaan sebelum tampil dari kalangan audiens di tengah-tengah dewan untuk berduet dengan Ratu Jazz itu.

Ternyata, paduan suara dua bintang itu begitu hebat dan mendapat standing ovation daripada penonton sekali gus memuaskan hati penonton.

Sayangnya sejurus tamatnya persembahan, kedua artis tersebut tidak berjaya ditemubual kerana mendakwa, berasa letih dan ingin pulang segera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: