Wednesday, April 20, 2011

Rasukan Seru

pix_gal0
Sharnaaz, Khatijah hampir hilang akal gara-gara filem yang sarat dengan aksi dan seram

JANGAN diseru atau dipanggil dengan menyebut perkataan aneh di tempat yang tidak diketahui asal usulnya. Itulah pesanan orang tua kita. Tersilap seru, sama sengaja atau tidak, memungkinkan, ada sesuatu akan mendatangi kita dalam keadaan tidak disangka-sangka dan lebih buruk mengganggu kehidupan.Demikianlah antara yang dipaparkan dalam filem Seru arahan Piere Andre dan Wong Min Jin yang menampilkan dua bakat baru, Sharnaaz Ahmad dan Khatijah Abdul Ghani. Filem seram dan penuh aksi juga sarat dengan detik mencemaskan membabitkan lakonan mereka.
Sesungguhnya menyeru kebesaran nama Illahi adalah lebih baik.

Sorokkan perasaan takut

MEMBAWAKAN watak jurukamera sememangnya idaman Sharnaaz Ahmad yang meminati tugas belakang tabir namun ia tidak semudah disangkakan apabila hampir keseluruhan adegan, kamera harus sentiasa dalam genggaman tangannya.

Filem Seru yang juga penampilan pertama bakat berusia 26 tahun itu di layar perak adalah percaturan yang menguji sejauh mana kemampuan Sharnaaz bermain dengan emosi sekali pun perwatakannya hanya diterjemah di belakang kamera.
Lebih mengujakan apabila dia bekerja di bawah dua pengarah muda, Woo Ming Jin dan Pierre Andre yang disifatkan bijak memperhalusi setiap karektor serta mengambil sudut terbaik bagi menghidupkan keseluruhan plot ceritanya.

“Saya pernah bekerja dengan Ming Jin sebelum ini manakala dengan Pierre baru pertama kali. Kedua-duanya punya pendekatan berbeza tetapi masing-masing memberi kebebasan kepada pelakon menggarap karektor sendiri hingga sampai kepada tahap yang diingini.

“Saya sendiri sukar menyerlahkan karektor Jeff yang perlu merakamkan segala situasi termasuk kejadian histeria namun hasil perbincangan serta bimbingan mereka, setiap babak mampu dilaksanakan sebaiknya,” katanya yang turut mengalami kecederaan kecil ketika penggambaran filem itu.

Katanya, luka mahu pun kecederaan ada kalanya lumrah bagi pelakon yang sudah biasa membawakan adegan lasak namun kebiasaannya ia berlaku disebabkan terlampau menghayati watak dan situasi atau kesilapan yang tidak disengajakan.

“Dalam Seru ada adegan saya berlawan dengan rakan yang sudah dirasuk. Memang untuk mendapatkan mood kita perlu menumbuk betul-betul, cuma dengan impak sederhana. Sebelum babak bermula, kami juga berlatih. Walau lebam dan luka, saya berpuashati,” katanya.

Filem Seru berkisar situasi yang dihadapi sekumpulan produksi filem yang berdepan kejadian menakutkan ketika menjalani penggambaran di pinggir hutan apabila ada dikalangan krew histeria, hilang dan akhirnya berlaku kejadian pembunuhan.

Sharnaaz yang membawakan watak Jeff diminta penerbit lakonan Khatija untuk merakamkan segala kejadian yang berlaku dengan harapan penggambaran kejadian kisah benar itu dapat dijual kepada khalayak biar menyedari bahaya menanti mereka.

Mengimbas penggambaran yang dilakukan di kawasan hutan sekitar Hulu Langat pada Ogos lalu, Sharnaaz menyembunyikan perasaan takut sekali pun kebanyakan masa adalah pada waktu malam kerana ketika itu bulan puasa.

Ketelitian serta semangat kerjasama yang jitu dengan seluruh pasukan membuatkan filem itu dapat diselesaikan dalam tempoh 20 hari tetapi sebelum ke lokasi, pelakon dikumpulkan bagi mendalami watak dan perwatakan setiap karektor.

“Memang kalau melihat lokasi dan waktu penggambaran, ia menakutkan tetapi syukur tiada sebarang kejadian pelik berlaku. Lagi pun waktu itu bulan puasa, jadi nampaknya misi menyelesaikan filem yang sarat dengan kejutan ini dapat diselesaikan dalam waktu singkat.

“Saya sendiri kagum melihat seluruh tenaga filem ini bekerja. Bagi saya, watak Jeff cukup dekat dengan Pengarah Fotografi yang begitu berpengalaman, Hazla Kamaruddin.

“Dia tenang tetapi kreatif membuatkan saya hanya perlu menjadikannya contoh bagi menyerlahkan karektor Jeff,” katanya lagi.

Biar sudah membintangi hampir 20 drama dan telefilem hanya dalam tempoh setahun berkecimpung di industri seni, Seru dikatakan membuka dimensi baru terhadap kerja lakonannya malah tanpa berselindung dia mengakui hampir mati punca apabila diminta membawakan satu babak yang dirasakan cukup mencabar.

“Itu adalah babak pengakhiran Seru di mana Jeff meluahkan sesuatu di hadapan kameranya. Sambil membuat rayuan terakhir, dia diminta menitiskan air mata-sesuatu yang awalnya agak sukar dipenuhi hingga saya terpaksa mengambil masa 15 minit untuk mendapatkan mood.

“Menangis tidak sukar tetapi diminta menitiskan air mata di saat mengucapkan selamat tinggal dan serentak kamera dipadam sungguh sukar. Hampir lima botol air mineral saya habiskan untuk mencuci muka selain bermonolog sendiri,” tutur anak jati Pulau Mutiara itu.

Bersemangat jadi anak seni

Sama seperti rakan seperjuangan, Khatija atau nama sebenar Khatijah Abd Ghani yang sebelum ini terbabit dalam kerja produksi hampir sedekad menganggap watak Lina yang hanya melihat sudut komersil berbanding keselamatan diri antara pencetus kronologi situasi mencemaskan.

Dia yang pernah membawakan watak sampingan dalam Mami Jarum Junior, filem Seru dianggap kisah unik kerana ia umpama filem dalam filem manakala pendekatan seperti Blair Witch Project membuatkan penonton berasa seperti sebahagian daripada kumpulan itu.

“Bukan meniru sebaliknya ia pendekatan yang penuh dengan tegang dan drama yang pernah dicuba pelbagai penerbitan lain. Selaku individu yang pernah bekerja di belakang tabir, saya nampak plot pengisahannya cukup menarik dan setiap karektor punya cerita tersendiri.

“Pembabitan saya dalam Seru juga sebagai medan untuk menonjolkan kebolehan apatah lagi ini antara peranan besar malah saya anggap ia rezeki anak, Ezra Yusof yang lahir tiga bulan sebelum saya menjalani penggambaran ini,” kata ibu tunggal itu.

Tidak hairan, demi minat Khatija yang punya kelebihan menulis skrip program TV dan drama, juga sanggup meninggalkan kerusi empuk di sebuah syarikat pengiklanan dan terjun semula ke dunia produksi sejak 2004 sekali pun cabaran terbentang luas.

“Memang tidak mudah bergelar anak seni. Lebih sedekad saya aktif di belakang tabir dan kemudian di atas permintaan keluarga, saya bekerja di sebuah syarikat. Kini demi kepuasan diri saya berlakon, bermula di Skop Productions hinggalah ditawarkan memegang peranan sebagai Lina dalam filem Seru,” katanya.

Jujur akui wanita kelahiran Taiping, Perak itu, percubaan menghadiri sesi uji bakat adalah sekadar untuk mencuba jika terdapat watak bersesuaian namun tidak menyangka produksi menaruh sepenuh kepercayaan terhadapnya menghidupkan watak penerbit.

“Boleh dikatakan saya seperti orang baru di lokasi kerana sudah lama tidak berlakon. Namun semangat kerja berpasukan, skrip yanh bagus serta dua pengarah hebat membuatkan Seru dapat diselesaikan dengan sentuhan terperinci.

“Saya sendiri tidak sabar melihat hasilnya. Ia bukan hanya memaparkan kerakusan manusia malah menyingkap keperibadian insan sama ada sikap negatif mahu pun positif. Saya sendiri terkesan dengan plot yang ditonjolkan,” katanya yang baru menyiapkan skrip bagi drama RTM, Yang Tulus.

Sinopsis Seru:

Mengisahkan sebuah produksi yang sedang membuat penggambaran di sebuah perkampungan. Pelbagai kejadian aneh dan histeria berlaku bermula dengan penolong pengarah, Sari yang seakan-akan dirasuk manakala juru solek, Julia pula menjerit dan terus menghilangkan diri menuju hutan.

Juru kamera, Sham dan Tony diarahkan mencari Julia manakala pengarahnya, Sam menghentikan penggambaran dan meminta semua krew pulang ke rumah tumpangan.

Penerbit , Lina meminta Sari dihantar ke hospital namun selepas Sari pergi, satu demi satu pembunuhan berlaku. Situasi yang tidak terkawal itu sebenarnya disebabkan perbuatan sepasang suami isteri yang tidak dapat menerima kematian anak dan cucu mereka. Krew penggambaran itu terutama Sari dijadikan medium untuk mendapatkan kembali anak dan cucu mereka.

Pelakon: Sharnaaz, Khatija, Cut Mutia, Azman Hassan, Nora Danish, Awal Ashaari, Pierre Andre, Qhaud, Dazrin, Murshid, Nabila, Nursyarifatun, Dewa Sapri, Mona Majid, Nisha Dirr, Along, Sufian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: