![]() |
| Sasha Rowena Nashir bersama koleksi beg tangan ciptaannya. |
PENAT lelahnya mempelajari dan mendalami ilmu dalam rekaan beg tangan selama ini berbaloi apabila produknya makin dikenali dan diminati.Sasha Rowena Nashir, 26, anak kelahiran Taiping, Perak, itu sebelum ini menerima pendidikan dalam jurusan undang-undang dari Bond University, Gold Coast, Australia.
Walaupun memiliki kelayakan sebagai peguam, Sasha tekad meninggalkan karier berkenaan untuk beralih menjadi pereka beg tangan.Ternyata keputusannya itu bukan satu keputusan yang salah malah ia secara tidak langsung membuktikan kebolehan dan kemampuannya untuk terus bertapak dalam bidang itu."Di awal penglibatan saya di dalam bidang ini, saya ditentang oleh keluarga. Tetapi kerana terlalu minat saya meneruskan juga dan Alhamdulillah saya berjaya membuktikannya."Saya melakukan kerja-kerja rekaan beg tangan dengan gembira walaupun melalui perjalanan yang penuh dengan pahit getir.
"Tahap kesabaran tinggi adalah perkara paling penting untuk berjaya kerana dalam masa yang sama saya perlu memahami kemahuan orang lain," katanya yang baru sahaja dilantik menjadi duta jenama jam Vabene.Berbicara mengenai rekaan beg tangannya, anak sulung daripada dua beradik itu amat meminati warna-warna yang terang di samping menjadikan warisan seni Melayu iaitu Wayang Kulit sebagai motif rekaan.Sasha dilihat bukan sahaja anak gadis yang berbakat besar malah dia juga begitu kreatif apabila berjaya menyampaikan mesej menerusi keunikan seni pantai timur tersebut.Bermula daripada situlah, beg tangan rekaannya mendapat sambutan di luar dugaan dan turut diterima di pasaran global. Oleh yang demikian tidak hairan sekiranya sebut sahaja nama Sasha, ia pasti mengingatkan kita kepada wayang kulit.
''Saya menyukai motif yang terdapat pada wayang kulit kerana coraknya yang berseni dan kesesuaian watak ditambah pula dengan penggunaan warna-warna ceria seolah-olah menghidupkan warisan pantai timur itu.''Sebelum saya terlibat dengan lebih serius di dalam bidang ini, saya telah berfikir dan inginkan sesuatu yang berlainan dan tidak pernah dibuat orang, jadi saya mengambil keputusan untuk mengetengahkan seni ini dalam bentuk yang boleh diterima oleh semua masyarakat.
''Apa yang diharapkan ialah rekaan ini bakal setanding dengan jenama beg tangan terkenal lain,'' ulasnya.Hari ini dengan sokongan keluarga dan menggunakan jenama Sasha Rowena, dia memberanikan diri mengembangkan lagi rekaannya kepada motif lain dan kali ini ia lebih trendy.Masih mengekalkan warna-warna ceria dan garang, kali ini Sasha mereka beg tangan yang lebih ringkas dan mengikut trend semasa.Menggunakan kulit lembu, ular tedung dan ular sawa, rangkaian jenama Sasha Rowena memperkenalkan beg kategori clutch, dompet, tote, beg komputer dan baglets.Katanya, rangkaian beg rekaannya boleh diperoleh dengan pembelian secara online iaitu dengan melayari www. sasharowena.com.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: