Wednesday, April 13, 2011

Khidmat terbaik di Sunway Pyramid


Pemantauan melalui CCTV dilakukan bukan saja di tempat letak kereta bahkan di seluruh kawasan pusat membeli-belah.


SETANDING namanya yang tersenarai sebagai antara pusat membeli-belah terkemuka, Sunway Pyramid sentiasa memastikan perkhidmatan ditawarkan kepada pengunjungnya bertaraf lima bintang

Pihak pengurusannya, Sunway Pyramid Sdn. Bhd. berusaha menyediakan kelengkapan dan kemudahan terbaik merangkumi pelbagai aspek yang diperlukan ribuan pengunjung saban hari.

Satu daripadanya adalah meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan di kawasan meletak kenderaan di situ demi kepuasan serta kepentingan pengguna.

Pengurus Komunikasi Pemasarannya, Darren Chear berkata, sejak dibuka kepada umum, tahap keselamatan dan keselesaan di kawasan meletak kenderaan di pusat membeli-belah itu menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian.

Beliau berkata, soal keselamatan dan keselesaan dipertingkatkan selepas kerja pengubahsuaian pembesaran Sunway Pyramid dijalankan beberapa tahun lalu.

"Kami menyediakan pengawal-pengawal keselamatan bagi memantau keadaan di seluruh kawasan tempat meletak kenderaan.

"Mana-mana wanita yang khuatir dengan keselamatan diri sama ada ketika ingin keluar atau masuk kenderaan juga boleh meminta bantuan pengawal keselamatan yang bertugas ini untuk mengiringi mereka hingga ke pintu masuk.

"Selain itu, kami mengecat dinding setiap zon meletak kenderaan menggunakan warna berbeza bagi memudahkan pemilik kenderaan mengingati lokasi kenderaan. Bagi pengunjung yang tidak mengingatinya, kami menyediakan perkhidmatan mencari kenderaan," katanya.

Menurut Darren, Sunway Pyramid adalah pusat membeli-belah pertama di negara ini yang menyediakan lampu pemberitahuan di setiap kotak meletak kenderaan bagi memudahkan pemilik mencari petak kosong.

Jelasnya, sekiranya lampu berwarna hijau, ia menunjukkan masih ada ruang kosong di kotak berkenaan dan jika lampu merah, ia menandakan sudah ada kenderaan di situ.

Bermula seawal pukul 10 pagi hingga tengah malam setiap hari, kira-kira 100 orang pengawal keselamatan bertugas memantau.

Kereta penumpang atau buggy disediakan bagi membawa penumpang terutama warga emas dari kenderaan ke pintu lif dan sebaliknya jika kedudukannya jauh.

Rondaan menggunakan motor dan basikal dijalankan bagi kerja pemantauan termasuk membantu kenderaan yang membawa penumpang orang kurang upaya (OKU) mencari ruang meletak kenderaan.

Setiap pengawal keselamatan yang diambil bekerja juga memiliki kemahiran membantu pemilik menukar tayar bocor, jika kunci tertinggal di dalam atau kenderaan rosak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: