Tuesday, April 12, 2011

Persembahan pelajar AF9 tahap biasa


Persembahan para peserta di minggu pertama tidak memberangsangkan, kata pengetua AF9, Amy Search.


SUDAH dijangka persembahan 12 peserta Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan pada konsert mingguan pertama masih belum mencapai tahap yang dijangka, malah banyak yang perlu diperbaiki.

Pengetua AF9, Amy Search berkata, beliau dan tenaga pengajar lain sudah menjangka situasi itu akan berlaku kerana para pelajar masih lagi diselubungi perasaan gemuruh ketika berada di pentas walaupun sebelum ini masing-masing sudah menjayakan konsert Tirai Af.

Menurutnya, mengalami kegugupan sewaktu persembahan adalah perkara biasa bagi orang baru dan ada di antara mereka yang belum mengeluarkan aura sebenar.

"Saya cuma nasihatkan mereka bergembira sewaktu berada di pentas supaya tidak rasa tertekan, tapi tidak dinafikan perasaan gemuruh mereka masih dapat dilihat.

"Menjadi tanggungjawab saya dan tenaga pengajar untuk menyalurkan segala ilmu kepada mereka agar persembahan para pelajar lebih baik dari masa ke semasa," katanya penuh harapan.

Kata Amy, jika beliau tidak berjaya mencungkil bakat AF9 yang dikagumi ramai pada akhir program, beliau bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Pada pandangannya, Amy melihat ada empat pelajar yang mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh jika mereka benar-benar merebut peluang semasa di AF9.

"Biarlah saya sahaja yang menilai empat orang ini. Dari kaca mata saya, mereka ada kelebihan itu cuma mereka tidak tahu sahaja. Adalah menjadi tugas kami untuk mengeluarkan kelebihan itu dalam diri pelajar berkenaan," katanya ketika ditemui di Studio 1, Astro selepas persembahan para pelajar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Amy secara tenang menjelaskan bahawa pelajar yang mendapat undian banyak daripada penonton belum pasti mampu menjadi seorang bintang.

Katanya, walaupun pelajar itu sering monopoli undian tertinggi setiap minggu namun hakikatnya bila berada di dunia seni yang nyata orang berkenaan tidak kekal lama.

Sebaliknya, kata Amy, orang yang cerdik dan menerima ilmu yang diberi dengan sewajarnya mampu meneruskan perjuangan dalam bidang seni apabila keluar daripada akademi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan tentang penyingkiran Laika atau Zulaika Zahari, 22, dari Kuala Lumpur yang merupakan pelajar pertama tersingkir.

Melihat pada persembahan pada malam itu, Laika yang mendendangkan lagu Ku Bahagia mendapat pujian daripada juri tetap Fauziah Ahmad Daud, Hattan dan Adibah Nor (juri jemputan) berbanding Nerra atau Queennera Francine Francis, 19, dari Sabah yang menyanyikan lagu Aku Lebih Tahu.

Laika sudah rasa kedudukannya yang sering berada di tangga bawah undian menyebabkannya tidak terkejut apabila menjadi orang pertama yang tersingkir daripada meneruskan perjalanan sebagai pelajar AF9.

Jelas Laika, beliau telah memberikan persembahan yang terbaik dan apa yang berlaku tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus mengembangkan bakat dalam bidang seni suara.

"Apa pun saya tetap berbangga kerana berjaya menempatkan diri dalam AF9. Sepanjang berada dalam akademi, saya banyak belajar tentang keyakinan, semangat dan teknik vokal.

"Penyertaan saya dalam AF9 sedikit sebanyak membuka laluan untuk saya mengembangkan bakat dalam bidang seni. Saya tidak boleh mengalah, selagi ada ruang saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: