Tuesday, April 12, 2011

Pelajar Aswara tagih bantuan


MOHAMED Naim Syah Razad Mohd. Zain (kiri) dan Mohamad Ershad Mohd Azalan bersama Dr. Mohamad Rafi Ahmad Eshaq di Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) boleh berbangga kerana memiliki pelajar seperti Mohamed Naim Syah Razad Mohd. Zin yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang tarian di akademi itu.

Bukan setakat berbakat dan cemerlang dalam pengajiannya, malah siswazah berusia 23 tahun itu juga terpilih mewakili negara ke pertandingan Projek Koreografer Muda Antarabangsa di Kaohsiung, Taiwan bermula 3 Julai ini.

Sayangnya, pelajar Fakulti Tari Aswara itu kini berdepan dilema apabila tiada pihak yang mahu menaja tiket penerbangannya sepanjang 21 hari dia menyertai pertandingan tarian yang bertaraf antarabangsa itu.

"Saya bingung memikirkan daripada manakah saya boleh mendapat penajaan bagi menaja tiket penerbangan saya ke Taiwan yang kosnya mencecah RM5,000. Saya berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan.

"Setakat ini Aswara hanya menanggung kos penginapan termasuklah elaun Aswara sebanyak AS$800 dolar (RM2,400) sepanjang hampir sebulan saya berada di sana nanti. Saya masih ada tiga bulan bagi mendapatkan tajaan itu.

"Kalau tidak saya terpaksa melupakan hasrat saya untuk bertanding dan mengharumkan nama negara pada pertandingan itu. Saya harap ada pihak yang sudi membantu saya," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas namanya diumumkan mewakili negara dan Aswara ke pertandingan yang akan diadakan di Tsoying High School, Kaohsiung, Taiwan itu, Mohamed Naim berkata, dia tidak akan berputus asa.

Sebaliknya, dia akan berusaha mencari duit dan penaja bagi melangsaikan bayaran tiket penerbangannya ke Taiwan demi memenuhi impiannya mencipta kejayaan dalam bidang tarian di peringkat antarabangsa.

"Saya faham dengan Aswara yang kekurangan bajet. Saya harap semua pihak juga faham kerana saya pergi ke Taiwan kerana menggalas nama negara. Saya telah berbincang dengan dekan Fakulti Tari Aswara, Josep Gonzales.

"Kami akan mencari jalan bagi mengatasi masalah itu. Ini pertandingan yang penting buat pelajar seperti saya kerana pada pertandingan itu seramai lapan peserta dari enam negara terpilih bertanding termasuklah saya," jelasnya.

Tambah Mohamed Naim, penyertaannya ke pertandingan itu dari 3 Julai hingga 24 Julai itu berdasarkan pemilihan penganjur selepas dia menghantar penyertaan dalam bentuk visual tarian yang bakal dipersembahkannya kelak.

Berlainan pula halnya dengan mahasiswa Fakulti Muzik Aswara, Mohamad Ershad Mohd. Azalan yang kini mengikuti pengajian peringkat diploma di akademi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu.

Mohamad Ershad bolehlah dianggap bernasib baik kerana dia berjaya mencuri perhatian Yamaha Music yang sudi menghulurkan biasiswa bagi membiayai pengajiannya di Aswara atas kecemerlangan dalam pengajiannya itu.

"Saya bernasib baik kerana Yamaha Music sudi menghulurkan biasiswa kepada saya bagu meneruskan pengajian saya melalui Yamaha Music Foundation dan Yamaha Music (Malaysia) Sdn. Bhd.

Sementara itu, Dekan Fakulti Muzik Aswara, Ayob Ibrahim berkata, dia bangga kerana pelajarnya itu berjaya mengetengahkan bakat dan pengajian yang cemerlang sehingga mendapat perhatian daripada organisasi muzik terkemuka itu.

Beliau berharap pada masa depan Aswara melalui Fakulti Muzik akan melahirkan lebih ramai graduan dan pemuzik berpengalaman melalui pelbagai program yang diadakan di akademi seni tempatan paling terkemuka tersebut.

"Aswara sentiasa memberi sokongan kepada para pelajar kami termasuklah dengan mengadakan pelbagai aktiviti. Antaranya dengan menjemput pemuzik atau pensyarah muzik dari luar negara dalam kuliah-kuliah yang diadakan di sini.

"Contohnya, Aswara telah menjemput pemain gitar terkenal Perancis, Arnauld Fillion dan pemain piano Jepun, Tae Nabatame bagi mengajar serta mengadakan persembahan di Aswara pada 9 April lalu secara percuma.

"Malah, orang ramai juga hadir bagi menyaksikan persembahan Arnaud Fillion itu secara percuma. Cuma Tae Nabatame tidak dapat datang kerana berdepan masalah ekoran bencana tsunami di Jepun," jelasnya.

Persembahan Arnauld Fillion dan Tae Nabatame anjuran bersama Aswara, Alliance Francaise de Kuala Lumpur dan Yayasan Jepun Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Aswara, Prof. Madya Dr. Mohamad Rafi Ahmad Eshaq dan Penyelaras Kebudayaan, Alliance Francaise de Kuala Lumpur, Marine Moncaut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: