Tuesday, April 12, 2011

Pengalaman ngeri Zakaria di Sandakan


Kenangan bergambar bersama anggota dan pegawai pada perbarisan sempena peringatan Hari Polis Ke-202 di IPD Sentul.


MEMEGANG jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Luar merupakan satu tugas yang berat untuk digalas.

Masakan tidak, pada waktu itu, calon gaya polis kali ini baru setahun setengah berada dalam keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dengan jawatan sebagai inspektor percubaan, Asisten Komisioner Zakaria Pagan tetap menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin.

Berkat tunjuk ajar dan latihan yang mencukupi selain teori dan praktikal di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di Jalan Semarak, beliau berjaya menggalas tanggungjawab selaku Timbalan Ketua Polis Daerah pada ketika itu.

"Sebaik menerima tawaran itu, saya sangat terkejut kerana saya masih lagi baru untuk memegang jawatan sedemikian," katanya memulakan bicara ketika temu bual diadakan di pejabatnya di IPD Sentul baru-baru ini.

Zakaria yang lebih dikenali sebagai Tuan Zack di kalangan rakan-rakan seperjuangan dan juga pihak media turut rasa kasihan dan prihatin kepada anggota serta pegawai di kawasan itu.

Katanya, keadaan jalan dan kawasan yang sukar merumitkan urusan dari segi pemberian gaji kepada anggota dan pegawai yang bertugas.

Bukan hanya kawasan yang sukar, tetapi faktor geografi seperti kawasan hutan, laut dan pulau-pulau turut menyukar.

Jelas Zakaria, setiap awal bulan, beliau dan seorang anggota akan pergi ke balai-balai polis di setiap kawasan untuk menyerahkan gaji kepada anggota kerana ketiadaan kemudahan perbankan di kawasan terbabit ketika itu.

"Kami akan menaiki kereta pacuan empat roda dan melalui jalan tanah merah serta berbatu untuk sampai ke setiap balai mahupun IPD. Jarak antara satu balai dengan balai yang lain kira-kira 60 kilometer.

"Saya selaku timbalan ketua polis ditugaskan untuk menyerahkan wang gaji kepada anggota di kawasan terbabit," katanya.

Zakaria memberitahu, sepanjang lebih 10 tahun berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, beliau turut mengalami episod ngeri ketika hendak membayar gaji kakitangan PDRM di kawasan itu.

"Bayangkan, kereta pacuan empat roda yang saya naiki bersama seorang anggota dan pemandu hampir terjatuh ke dalam gaung di satu selekoh selain keempat-empat tayar kenderaan itu berada di atas.

"Saya dan anggota di dalam kenderaan itu umpama sardin dalam tin digoncang," jelasnya.

Tambah anak jati Parit, Perak itu lagi, apa yang masih diingati hingga kini apabila datang musim tengkujuh.

Rata-rata anggota yang bertugas di balai-balai polis di kawasan pulau akan membuat pinjaman membeli bahan mentah di kedai-kedai runcit ekoran wang gaji tidak dapat diserahkan.

Katanya, laut bergelora menyukarkan beliau untuk masuk ke kawasan itu untuk menyerahkan wang gaji.

"Sebagai contoh Balai Polis Sugut di mana rata-rata anggota yang bertugas di balai tersebut terpaksa berhutang di kedai runcit untuk membeli barang keperluan harian.

"Adakalanya wang gaji mereka hanya boleh diserahkan selepas dua bulan dan bergantung kepada cuaca pada waktu itu," katanya yang pernah muntah hijau sewaktu berdepan dengan gelora ketika dalam perjalanan untuk menghantar gaji.

Dalam pada itu, dengan kuasa Tuhan, beliau bertemu jodoh dengan isteri kesayangannya di Sandakan, Sabah yang ketika itu bekerja sebagai kerani Bank Bumiputera (pada waktu itu).

"Sering menguruskan hal gaji kakitangan yang lain mendorong saya sering berurusan dengannya. Oleh itu, cinta berputik dan pada 1981 kami mendirikan rumahtangga," jelas beliau sambil mengukir senyuman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: