Tuesday, April 12, 2011

Kanser: NCSM tingkatkan kesedaran rakyat


Antara program kesedaran mengenai kanser payu dara yang dijalankan oleh Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA), baru-baru ini.


Sebut sahaja penyakit barah atau kanser, ia begitu digeruni kerana sekian lama telah dilabelkan sebagai tiada ubat malah hanya maut sahaja yang menanti penghidapnya.

Tanggapan kurang tepat itu sebenarnya menjadi cabaran besar kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang ditubuhkan pada 1966 atas platform untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang fakta sebenar penyakit kanser.

"NCSM akan meneruskan usaha menerusi pelbagai cara termasuk kempen dan sebagainya supaya dapat mengubah persepsi buruk masyarakat mengenai penyakit kanser ini biarpun sehingga 100 tahun lagi,'' kata Presiden dan Pengarah Perubatannya, Dr. Saunthari Somasundaram.

Hakikatnya kata Dr. Saunthari, kanser sebenarnya bukan hanya menunggu maut tetapi penghidapnya mampu hidup lebih lama berbanding pesakit jantung atau diabetes.

"Yang paling penting adalah pengesanan awal. Masyarakat dinasihat melakukan ujian yang berkaitan penyakit ini seperti memogram dan sebagainya setiap tahun,'' katanya ketika ditemui di bangunan NCSM, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, pengesanan awal penting kerana rawatan awal dapat membantu pesakit untuk sembuh dan menjalani kehidupan sihat seperti sedia kala.

Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku sekarang kebanyakan pesakit yang datang untuk menerima rawatan sudah terlewat.

Beliau berkata, setelah seseorang itu disahkan pada tahap empat atau lima memang sudah masuk dalam keadaan kritikal.

Selain itu, katanya, tanggapan salah mengenai rawatan kemoterapi juga punca pesakit kanser gagal diselamatkan.

Dr. Saunthari berkata, sehingga kini pihaknya juga giat menjalankan kempen untuk menyedarkan golongan muda iaitu dari peringkat sekolah sehingga universiti.

Ia supaya golongan muda dapat diharapkan bersama-sama untuk mencegah kanser dari terus menular pada masa akan depan.

"Kanak-kanak sekolah perlu didedahkan dengan lebih awal mengenai kanser bukan sahaja untuk pengetahuan dirinya malah juga untuk disebarkan kepada ahli keluarga,'' katanya.

Tambahnya, galakan daripada anak ini akan dapat memujuk seseorang ibu supaya menjalani ujian pengesanan awal kanser.

Katanya, secara tidak langsung nasihat anak akan membuatkan seseorang ibu lebih sedar untuk bertindak lebih awal demi masa depan keluarga.

Sehubungan itu, katanya, jumlah pesakit kanser bukan sahaja akan lebih terkawal dengan adanya kesedaran untuk menjalani ujian pengesanan dengan lebih awal.

Dr. Saunthari memberitahu, pihaknya juga kini juga mengalakkan penganjuran Jamuan Teh Malaysia (Jam) dalam usaha menyedarkan rakyat mengenai penyakit kanser melalui kumpulan-kumpulan kecil.

"Jam adalah satu bentuk majlis bagi mengumpul derma untuk tabung NCSM dan Pertubuhan Kebajikan Barah Payu Dara (BCWA) bagi membantu pesakit kanser,'' katanya.

Beliau berkata, konsep yang diambil daripada Australia Morning Tea Party ini boleh dianjurkan oleh mana-mana individu atau organisasi yang bersedia menjadi tuan rumah dengan menghubungi NCSM menerusi talian 03-26987300.

Katanya, NCSM akan membekalkan tuan rumah dengan poster, risalah, belon, tabung derma, borang derma, kad jemputan, stiker dan juga teh.

"Jamuan teh ini boleh dianjurkan di mana-mana sahaja sama ada di rumah, tempat kerja, sekolah, kelab dan sebagainya sama ada di waktu pagi atau petang dengan teh sebagai minuman utama,'' katanya.

Katanya, jemputan pula terdiri dari rakan-rakan, ahli keluarga atau rakan sepejabat untuk bersama-sama minum teh sambil berkongsi pengalaman mengenai penyakit kanser sambil menderma.

Tambahnya, tuan rumah mesti kreatif dalam mengumpul dana ketika menganjurkan Jam ini di mana tetamu diminta menderma ketika sampai di pintu masuk, pertandingan, lelongan barang, pertunjukan pentas atau mengedarkan tabung kepada tetamu yang hadir.

Beliau berkata, walaupun konsep Jam ini bermula dari kumpulan kecil tetapi daripada sini segala maklumat yang diperoleh itu dapat disebarkan dengan lebih mudah serta cepat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: