Saturday, April 9, 2011

Lay Na chef wanita dikagumi


See Lay Na menunjukkan kebolehannya dalam seni kulinari.


Kebolehan yang dimiliki itu jugalah yang meletakan See Lay Na sebagai Sous Chef, di salah sebuah hotel berprestij - Mandarin Oriental (MO), Kuala Lumpur.

Berbanding chef-chef selebriti dalam dunia masakan tempatan, nama Lay Na memang kurang dikenali ramai.

Bagaimanapun, beliau cukup dikagumi di luar negara lebih-lebih lagi setelah memenangi pingat emas dalam pertandingan Bocuse d'Or Asia 2010 yang diadakan di Shanghai, China.

Kehadiran beliau dalam pertandingan tersebut bukan saja menjadikan Lay Na sebagai chef wanita pertama menyertai pertandingan itu, bahkan chef pertama membawa pulang pingat emas.

Sebelum itu, Lay Nay juga pernah meraih pengiktirafan dalam pelbagai pertandingan masakan termasuk Culinaire Malaysia 2007, yang mana beliau berjaya memenangi dua pingat emas dan satu pingat perak.

Menurut wanita yang tegas tetapi peramah ini, penglibatan dalam dunia masakan bermula sejak 10 tahun lalu setelah menamatkan pengajian dalam bidang seni kulinari di Pernas Hotel School, di Kuala Lumpur.

Beliau kemudian menyertai MO 2006 dan bermula dari bawah iaitu sebagai tukang masak ketiga.

Daripada tukang masak ketiga, beliau kini diberi kepercayaan sebagai Sous Chef di Mandarin Grill.

"Kejayaan saya di MO adalah hasil kepercayaan yang diberi oleh Chef Eksekutif, Marcel Kofler. Beliau banyak mengajar saya selok-belok dalam seni kulinari ini," katanya.

Daripada gaya yang ditampilkan ketika ditemui dengan beruniform chef serba putih, jelas menampakkan Lay Nay seorang yang mementingkan kesempurnaan ketika bertugas.

Malah peralatan memasak di dapurnya tersusun rapi bagi memudahkan beliau dan krew setugas nya menyediakan makanan yang ditempah dengan lebih cepat dan tepat.

"Sebagai seorang chef, saya perlu utamakan ketepatan masa untuk menyediakan masakan yang telah disenaraikan oleh chef eksekutif," katanya.

Katanya, memasak di rumah amat berbeza berbanding di tempat kerja (hotel) kerana chef perlu menyediakan masakan dalam kuantiti yang lebih banyak bergantung kepada jumlah pelanggan tanpa menjatuhkan kualiti masakan tersebut

Selain itu, beliau juga amat mementingkan kualiti makanan termasuk dari segi keenakan rasa dan gaya persembahan.

"Itulah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang chef.

"Bagaimanapun hasil pengalaman dan hubungan yang erat di kalangan krew cabaran-cabaran tersebut dapat diatasi," ujarnya.

Beliau percaya komunikasi yang baik antara pekerja membantu dalam melancarkan tugas harian lebih-lebih lagi dalam suasana kelam-kabut di dapur.

Selama menceburi bidang masakan terutama dalam dunia perhotelan, Lay Na berpendapat ia semakin berkembang dan menjanjikan potensi yang besar.

"Bidang masakan dan perhotelan sentiasa berubah-ubah dan persaingan yang sihat di antara hotel dan resort banyak meningkatkan lagi mutu masakan yang dihasilkan oleh chef tempatan dan antarabangsa.

"Malah konsep masakan yang dihasilkan melalui seni kulinari pada hari ini juga menarik perhatian pelancong asing untuk mencuba masakan tempatan.

"Malah dengan bantuan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang kini turut menyediakan peluang buat mereka yang berminat untuk belajar dalam bidang yang saya ceburi itu juga banyak mengembangkan lagi bidang masakan ke tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: