Monday, April 11, 2011

Kelas pastri hujung minggu


TUNJUK ajar dan latihan bertaraf kursus pastri antarabangsa ini menanti penyertaan ramai.


SEJAK dibuka pada bulan Jun 2010, Akademi Seni Pastri Malaysia yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor, menerima maklum balas positif dalam kalangan peminat pembuat pastri tempatan. Rata-rata yang mendaftar lebih cenderung untuk mendalami ilmu pembuatan pastri Perancis seperti macaroon.

Di akademi berkenaan, para pelajar bukan sahaja didedahkan pada teknik membuat pastri yang betul malah belajar di dalam kelas yang selesa dan dilengkapi pelbagai alatan serta kemudahan. Antaranya seperti bilik membuat coklat, bilik membuat roti, bilik membuat pastri dan bilik membuat kek perkahwinan. Ini termasuklah menyediakan ruang istirehat untuk ketua chef dan bilik kelas teori.

Akademi Seni Pastri itu diterajui oleh Chef Guillaume Lejeune dan chef pastri, Chef Eksekutif Frederick Oger.

Berpegang pada matlamat untuk menjadi salah sebuah pusat pembelajaran pastri terbaik di Asia Tenggara, akademi tersebut turut mendapatkan bantuan daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada chef-chef tempatan. Tidak ketinggalan, ia juga menjemput chef terkenal dari serata dunia untuk berkongsi ilmu masakan bersama para pelajar.

“Pada mulanya, kami menerima pelajar yang langsung tidak mempunyai asas dan teknik membuat biskut dan pastri apatah lagi membuat roti.

“Namun menariknya, sebaik saja menamatkan kursus selama tiga bulan para pelajar sudah berkebolehan menghasilkan petit fours iaitu kuih manis bersaiz kecil, menghias kek perkahwinan dan membuat roti,” Pengarah Kajian Pastri, Akademi Seni Pastri Malaysia, Chef Guillaume Lejeune.

Setakat ini, akademi yang terletak bersebelahan Hotel Hilton, Petaling Jaya itu, mempunyai lebih kurang 120 orang pelajar yang menyertai kursus-kursus yang ditawarkan. Kemahiran yang diperoleh berkat pengajian di sana telah melayakkan segelintir pelajar diterima menjalankan amali di rangkaian hotel antarabangsa, membuka perniagaan kek dan roti sendiri serta memperluaskan kemahiran memasak.


MACAROON dan coklat lazat sudah menjadi kegilaan rakyat Malaysia.


Sehubungan itu, bagi menggalakkan orang ramai mahir dalam proses pembuatan pastri dan meningkatkan teknik atau resipi maka Akademi Seni Pastri Malaysia membuka kursus seni dan memasak kek dan roti untuk tahun 2011.

“Kursus intensif ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pakar seni pembuatan pastri yang berkemahiran. Mereka juga dilatih agar bersedia dari segi mental serta fizikal untuk berkhidmat dalam industri hotel dan industri berkaitan pastri,” tambah Lejeune.

Kursus yang berlangsung dalam tempoh tiga bulan tersebut dikenakan yuran pengajian bermula pada RM10,600. Kemasukan untuk tahun 2011 mula dibuka pada 16 Februari, 9 Mac, 4 April, 18 Mei dan 13 Jun.

Dalam pada itu, bagi menyediakan lebih banyak tempat dan peluang kepada peminat pastri yang tidak dapat menghadiri kursus pensijilan sepenuh masa, Akademi Seni Pastri Malaysia telah melancarkan Kursus Profesional Hujung Minggu. Ia dijalankan setiap hari Sabtu dan Ahad selama 12 minggu. Kursus itu sudahpun bermula pada 5 Mac lalu dengan yuran sebanyak RM5,000.

“Para pelajar akan dilatih dan diajar secara perseorangan untuk memastikan mereka mendapat tunjuk ajar sepenuhnya, latihan secara amali dan pendedahan berulang untuk teknik, penggunaan peralatan dan ramuan pastri terbaik,” tambah Lejeune yang berpengalaman selama 13 tahun dalam bidang masakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: