Monday, April 11, 2011

Batik santai glamor


DI butik Karyaneka, pengunjung berpeluang memiliki koleksi pakaian berasaskan batik dalam pelbagai warna dan corak terkini.


TIDAK berkesempatan ke Terengganu atau Kelantan untuk membeli koleksi busana berasaskan batik? Tidak mengapa, kerana anda masih berpeluang membelek dan memiliki busana tersebut di ibu negara.

Jika mempunyai kelapangan, luangkan masa seketika dengan mengunjungi butik Karyaneka yang beroperasi di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Butik yang dibuka setiap hari itu menawarkan bermacam-macam koleksi fesyen batik yang moden dan kontemporari. Justeru, bagi mempromosikan seleksi batik yang dijual di situ, satu pertunjukan fesyen bertemakan Santai-Santai Glamor telah diadakan dalam suasana meriah.

Menurut Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., Zuraidah Abd. Razak, pertunjukan fesyen Santai-Santai Glamor dianjurkan bagi memaparkan keindahan koleksi busana batik yang mengikut trend fesyen semasa dan kehendak pasaran.

Inisiatif tersebut dipraktikkan memandangkan pemakaian batik kini bukan sahaja sesuai digayakan pada majlis formal atau majlis keramaian malah ia antara busana ideal dipakai sewaktu bersantai dan kasual.

“Atas faktor berkenaan, pihak Karyaneka sentiasa mengalu-alukan kelompok pereka, peniaga dan pengusaha batik menjual hasil rekaan mereka di butik Karyaneka. Ini bagi memudahkan pengunjung memilih koleksi pakaian dan aksesori batik yang ditawarkan di bawah satu bumbung.

“Setakat ini Karyaneka sudah memiliki 213 pereka dan pengusaha batik yang mengambil peluang memasarkan produk mereka untuk orang ramai,” tutur Zuraidah pada majlis Santai-Santai Glamor yang berlangsung di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Tambah Zuraidah, Karyaneka sentiasa menyediakan ruang buat pereka fesyen dan pengusaha batik tempatan terus menjual busana dan corak batik rekaan mereka.

Jika produk tempatan mendapat perhatian dan menjadi ikutan pelbagai lapisan masyarakat, maka ia membuktikan Karyaneka berjaya menjadi hab dan pencetus industri batik tempatan.

“Sebagai rakyat Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab bersama kita memartabatkan produk tempatan. Jika bukan kita, siapa lagi?” saran Zuraidah yang teruja dengan koleksi busana batik yang diperagakan barisan model jejaka dan wanita pada petang tersebut.

Konsep rekaan


KREATIF. Padanan korset bersama kain pario rona terang ideal digayakan pada majlis formal dan keramaian.


Buktinya, sepanjang pertunjukan fesyen berkenaan, para tetamu dipersembahkan dengan variasi busana batik konsep moden, elegan dan santai.

Sebanyak 40 koleksi batik diperagakan dan ia terdiri daripada kaftan, blaus, dres dan kemeja. Ini termasuklah, kombinasi bengkung polos yang digayakan bersama pario dan selendang rona terang.

Bagi golongan wanita yang bertudung atau gemarkan busana potongan longgar, kaftan dan dres labuh ala jubah moden antara pilihan yang sesuai. Kedua-dua koleksi tersebut bukan sahaja cantik dan menawan digayakan sewaktu menghadiri majlis makan malam, malah ia boleh dipakai ke majlis perkahwinan yang lazimnya menyarankan agar para tetamu tampil sopan.

Bertambah menarik, selain daripada peragaan kaftan labuh, para tetamu turut dapat menyaksikan sesi peragaan kaftan pendek yang dipadankan bersama seluar potongan tirus, pario dan legging. Pastinya, koleksi itu bakal menggamit perhatian golongan muda yang gemarkan konsep ranggi dan stailo.

Koleksi busana batik Santai-Santai Glamor nampaknya lebih menjurus pada rekaan untuk dipakai dalam mood relaks, ringkas dan tidak sarat dengan perincian serta teknik jahitan pelbagai.

Menyentuh dari segi warna pula, himpunan Santai-Santai Glamor menawarkan himpunan busana warna terang dan ceria. Secara tidak langsung, ia membantu menyuntik penampilan yang berani dan memukau sekali gus mengajak wanita tempatan bermain dengan nuansa biru, merah, kuning, ungu, merah serta merah jambu terang berbanding warna hitam, putih atau kelabu.

Sementara itu, aspek perincian juga dititikberatkan. Memahami fabrik batik sudah sarat dengan corak dan lakaran pelbagai motif maka pereka dan pengusaha mengambil pendekatan menerapkan perincian yang ringkas. Taburan manik, batu permata dan labuci kebanyakannya menghiasi bahagian leher, pergelangan tangan, kaki baju dan bahagian dada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: