Friday, April 15, 2011

Jamal belum sedia kahwin lagi

Jamal Abdillah mungkin dilihat sebagai seorang penghibur yang sepi kerana anak-anak hasil perkahwinan lalu dijaga oleh bekas isteri. Dia juga belum ada pengganti. Namun Jamal belum bersedia kembali berumah tangga walaupun mengakui masih mahu ada pasangan hidup.

Mengapa Jamal belum bersedia? Adakah susah baginya mencari pengganti setelah melalui tiga perkahwinan yang gagal? Jamal terbuka dan sedia berkongsi kisah peribadinya.

Kata Jamal: "Anak-anak saya masih kecil dan mereka tidak faham dengan apa yang saya kalui hari ini. Anak bongsu saya (Ahmad Zaki Yamani, 5 tahun) tinggal bersama ibunya di Shah Alam. Saya kerap juga berjumpanya. Saya sedih dan tak tahu nak jawab apa bila dia tanya, mengapa babah lambat balik?.

"Apa yang saya nak jawab... dia masih tak faham dengan apa yang berlaku. Takkan saya nak jawab kerja... kerja... kerja... setiap kali dia tanya. Dia masih kecil dan tak faham. Osama Yamani (10 tahun) sudah faham.

"Sebab itulah saya belum bersedia untuk kahwin lagi. Tunggulah bila anak-anak dah besar dan memahami banyak perkara, serta bisnes saya juga semakin kukuh, saya akan fikirkan untuk berkahwin lagi."

Jamal juga tidak meletakkan kreteria wanita bagaimana yang dicarinya, sebaliknya mahukan wanita yang memahami kerjayanya sebagai seorang artis.

"Dia kena faham saya ini seorang artis. Dia tak kahwin dengan saya sahaja sebaliknya dengan kerjaya saya sekali," kata Jamal semasa ditemui pada majlis sidang media persembahan istimewanya sempena Hari Ibu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Janji persembahan berlainan

Persembahan minum petang sempena Sambutan Hari Ibu bersama Jamal Abdillah akan diadakan pada 17 Mei depan di Dewan Tun Ismail, PWTC. Jamal sekali lagi diundang kerana sambutan memberangsangkan daripada persembahannya tahun lalu.

"Saya akan membuat kelainan kerana tak mahu peminat saya menikmati persembahan yang serupa. Saya akan memilih beberapa lagu yang saya tak pernah nyanyikan sebelum ini. Antaranya lagu Bonda yang saya pernah rakam dulu, tapi saya tak pernah nyanyikan.

"Setiap kali mahu mengadakan persembahan pasti saya akan ditanya apakah kelainannya dan apakah konsep persembahan saya. Saya mahu menghibur ibu-ibu yang diraikan pada hari itu agar mereka dapat rasa berada dalam satu majlis yang akan terus diingati.

"Saya juga akan menyediakan set karaoke untuk mengajak ibu-ibu berduet dengan saya lagu Kehebatan Cinta dan Sandarkan Pada Kenangan. Jadi kepada para ibu yang bakal menonton persembahan saya nanti bolehlah membuat persediaan. Saya akan sediakan hadiah istimewa," kata Jamal.

Dee bertindak selaku pengacara manakala peniup trompet muda, Alif Nasir diundang menghiburkan tetamu. Jamal juga akan menyanyikan sebuah lagu istimewa dengan iringan tiupan Alif.

Selain itu sepuluh orang ibu bertuah akan dihadiahkan satu makan malam istimewa bersama Jamal Abdillah yang akan diuruskan oleh pihak PWTC selepas acara itu. Bagi yang mahu membuat tempatah boleh hubungi talian 03-26146701 atau 03-26146702.

Jualan meja dengan harga RM5,000, RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 untuk sepuluh orang sudah mulai dijual. Pihak PWTC juga menerima tempahan secara individu.

PWTC akan menediakan juadah istimewa paduan Barat, Melayu, India dan Cina. Antaranya roasted sirloin of Beef, breaded salmon fingers with spicy mayonnaise, roti jala bersama serawa durian, mi rebus, pai ayam masala, vadai, yong tau foo, tiram goreng dan lain-lain.

Album baru

Jamal sedang menyiapkan album baru Raja Pop 2 yang akan dipasarkan tidak lama lagi. Sebagai kesinambungan album Raja Pop yang memuatkan himpulan lagu lama yang dirakam semula, kali ini Jamal memilih lagu-lagu era 50-an hingga 70-an yang diminatinya selain dua buah lagu baru.

"Ikut perancangan awal, saya mahu pasarkan Mac lalu. Saya sudah siap merakam sembilan buah lagu dan sebuah lagi lagu tu saya tunggu Orkestra RTM. Saya mahu rakam sebuah lagu menggunakan orkestra sepenuhnya.

"Saya gunakan modal sendiri menghasilkan sebuah album penuh kerana album ini saya sendiri yang mahu terbitkan. Sekarang ini tak banyak album penuh dihasilkan oleh syarikat rakaman," katanya yang maih kekal menjadi artis yang mahal bayaran.

Ditanya pasal lakonan, Jamal akui ada beberapa tawaran datang kepadanya, tapi dia menolak kerana ada perkara yang tidak mencapai persetujuannya, termasuk pasal bayaran.

"Pasal bayaran juga kena bertegas untuk menjadikan kita sebagai penyanyi yang eksklusif," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: