Sunday, April 10, 2011

Impak cinta palsu

pix_middle

RUANG peribadinya lama terkurung. Lebih tiga tahun tanpa sedar diari seni aktres jelita, Nor Fouziah Mohd Gous terjerat spekulasi mengarut. Teka-teki cinta sembunyi dengan bintang muda, Iqram Dinzly bagai tiada pengakhiran. Meskipun berkali-kali menafikan, tiada siapa yang percaya sebaliknya tanggapan itu kekal menjadi stigma yang belum terhakis.

Lantaran, sepanjang menghayun kerjaya lakonannya, episod cinta tidak wujud itu terus menghantui hingga melangkaui publisiti kerja seninya. Mahu atau tidak, sudut itu yang menjual namanya hingga terpahat antara bintang muda yang popular.

Bagai terperuk dalam penjara penipuan, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini bangkit membetulkan keadaan dan meluruskan tanggapan mana yang sedia bengkok. Hubungan yang dilihat cinta dan mesra itu hanya sekadar sebuah persahabatan.

"Sejak dulu tatkala kisah ini bertiup kencang, baik saya mahupun Iqram gigih menafikan dan menegaskan antara kami hanya sekadar teman rapat. Kami selesa bersahabat dan menjadi tempat rujukan jika berdepan konflik seni. Namun ada pula pihak lain yang menjatuhkan andaian kononnya kami bermadu kasih. Hebatnya, persepsi itu terus kekal dan sukar buat kami berdua lari.


"Kesannya amat menyedihkan. Bukan setakat hubungan kami kini sudah ada jurang pemisah agar tiada lagi desas-desus seperti itu menghimpit hingga terbongkar sisi peribadi, malah ada kalanya cerita yang tidak henti itu membuatkan kami kian janggal dan menjauhkan diri antara satu sama lain.

"Bayangkan, hingga hari ini ke mana saja saya pergi, pasti ada peminat yang bertanya mengenai hubungan itu dan situasi itu akan meletak saya dalam keadaan serba salah. Jawapan yang mungkin terpacul daripada bibir saya jelas mencerminkan satu pembohongan kerana hakikat sebenar, kami tiada apa-apa sebaliknya hanya kawan. Saya seolah-olah menipu peminat dan mengiyakan kenyataan media.

"Justeru saya berharap tahun ini dapat menjernihkan keadaan. Usah lagi babitkan Iqram dalam kisah peribadi dan saya mengharapkan kisah cinta dongeng itu terus bersembunyi di belakang rencana kerjaya lakonan saya sekarang," katanya.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Menyifatkan kisah yang dicanang sebagai pelaris media menjual cerita, anak kacukan Melayu, Pakistan dan Cina ini tidak sekali merasa terkilan atau kecewa sebaliknya tiba masa buat aktres berusia 28 tahun ini berdiri mempertahankan peribadinya untuk terus dijelajah.

Percaya Iqram juga muak dengan semua spekulasi yang timbul, bintang filem 2 Hati 1 Jiwa, Rasukan Ablasa dan Skrip 707 ini mengakui kisah itu bagai menjauhkan dirinya dengan jodoh yang mungkin pernah dekat untuk hinggap padanya.

"Alhamdulillah gosip ini tidak mengganggu kerjaya lakonan saya atau menghilangkan kepercayaan pihak produksi untuk bekerjasama. Malah aspek positif yang ada lantaran daripada kisah ini adalah kami berdua banyak menerima tawaran berlakon bersama. Memandangkan kami memang berkawan rapat, soal keserasian tidak perlu ditanya lagi kerana pastinya ia sudah sedia ada antara kami berdua.

"Bagaimanapun sepanjang dipalit spekulasi ini, saya lihat segala potensi lelaki idaman terlepas begitu saja. Mana tidaknya, pasti sesiapa saja akan bimbang mendekati saya kerana terlalu banyak publisiti yang terpampang kononnya kami bercinta. Itu adalah impak negatif pada saya secara terang-terangan.

"Jika ia berterusan, skala pertemuan jodoh itu kian mengecil dan sukar menemui rasa cinta sebenar. Justeru saya ingin kembali bebas mengheret status sendiri tidak berpunya, masih mencari cinta dan punya ruang untuk menerima kasih daripada insan yang sempurna menyayangi saya," selorohnya.


Sesekali tampak wajahnya serius dengan setiap bicara yang terpacul daripada bibirnya sebentar tadi. Mungkin perihal itu menyakitkan dan sudah berlapuk bersarang jauh ke dalam jiwanya. Jelas graduan Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Systematic ini inginkan kebahagiaan.

"Buat masa ini saya masih sendiri dan tidak pernah pula memikirkan soal kekasih. Alhamdulillah rezeki dalam cabang lakonan tidak pernah putus. Saya percaya usia masih muda dan saya perlu meletak sepenuh fokus kepada kerjaya yang masih lagi baru. Biarlah jodoh itu datang sendiri dan tidak perlu saya sibuk mencarinya," katanya yang jarang bersosial dengan teman sebaliknya lebih selesa terperap di rumah bersama keluarga.


Mengembara jauh melihat jalur kerjaya dramatis ini, nama dan bakatnya semakin kemas menjelang usia lima tahun pembabitannya sebagai anak seni. Peningkatan jelas dengan kesungguhannya membina empayar lakonan. Anak bongsu lima beradik ini cuba memacu ke depan mencari satu keajaiban yang mungkin bakal memberikannya satu kepuasan tertinggi.

Melihat percaturan seninya, terbukti Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di Anugerah Skrin Kebangsaan 2007 punya misinya tersendiri.

"Buang jauh rasa rimas saya akan kisah cinta 'palsu' itu, saya lebih tertarik untuk menjemput pihak media melihat pelbagai produk seni yang ingin dijual. Saya memang bekerja keras untuk mengukuhkan lagi kerjaya lakonan ini. Alhamdulillah berkat kesungguhan itu, rezeki tidak lagi kering.


"2011 adalah satu peluang terbaru untuk saya membuktikan yang saya adalah anak seni yang mementingkan soal kualiti dan punya matlamat. Sekarang peminat boleh menyaksikan lakonan 40 episod saya menerusi drama siri, Trilogi Cinta di RTM."Menariknya, saya juga bakal muncul dalam tiga filem sepanjang tahun ini iaitu Rasuk bersama Iqram arahan Baldev Singh dan Hantu Bukit Cina bersama Gambit. Kemudian filem arahan Razak Mohaideen, Ratu juga sudah menemui peminat baru-baru ini. Justeru saya mengharapkan sokongan peminat untuk menonton lakonan saya kerana kesemuanya berbeza baik dari perkembangan watak mahupun suasana emosinya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: