Friday, April 15, 2011

Dari West End ke Istana Budaya




APABILA memperkatakan tentang wanita ini, memang tiada yang mustahil mampu dilakukannya. Tidak keterlaluan dikatakan, Datin Seri Tiara Jacquelina boleh dianggap sebagai perintis kepada fenomena teater muzikal di negara ini.

Lihatlah sahaja bagaimana Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) dan P. Ramlee the Musical mencipta kejayaan luar biasa dan mencetus fenomena baru dalam industri hiburan tempatan.

Bukan sengaja memuji melangit tetapi kalau bukan kerana kesungguhan Tiara yang mahu memartabatkan industri teater muzikal di negara ini, rasanya sehingga kini mungkin masyarakat kita tidak akan mendapat gambaran sebenar tentangnya.

Biarpun sibuk dengan teater muzikal The Secret Life of Nora yang akan dipentaskan pada September nanti, namun itu bukan satu penghalang untuk Tiara tampil dengan projek terbarunya iaitu West End Stars In Concert.

Bukan calang-calang persembahan kerana konsert itu menggabungkan tiga nama besar di West End, London iaitu Stephen Rahman-Hughes, Ramin Karimloo dan Simon Bailey yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) selama dua malam berturut-turut bermula malam ini.

Tidak ketinggalan, penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor atau Jac juga akan bersama dengan tiga jejaka kacak itu untuk sama-sama mengadakan persembahan.

Kecuali Stephen Rahman, barangkali nama Ramin dan Simon cukup asing pada pendengaran masyarakat di negara ini. Lalu, apakah yang membuatkan Tiara begitu berani mempertaruhkan tiga nama ini dalam sebuah konsert?

Lebih-lebih lagi, persembahan mereka kelak menampilkan lagu-lagu dari teater muzikal popular yang ada sebahagiannya kurang mesra di kalangan rakyat tempatan.

“Saya mahu memberikan sesuatu yang baru kepada masyarakat dan penonton tempatan menerusi konsert ini. Kalau dilihat apabila kali pertama saya menerbitkan PGLtM, ia adalah satu risiko besar.

“Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, industri teater muzikal di negara ini semakin berkembang pesat dan masyarakat juga sudah semakin serasi dengannya.

“Disebabkan itu, saya mahu membawa penonton untuk melihat skop teater muzikal itu sendiri yang sebenarnya cukup luas seandainya kita mengkajinya dengan mendalam.

“Kekuatan sebuah teater muzikal itu terletak kepada lagu-lagunya yang mampu mencengkam emosi sehingga ia terngiang-ngiang di telinga kita walaupun pementasan sudah berakhir.

“Justeru, saya mahu penonton menikmati dan terhibur dengan konsert ini yang saya percaya mampu meninggalkan momen manis buat mereka,” ujarnya panjang lebar tentang konsert yang diterbitkan oleh syarikatnya, Enfiniti Vision Media itu lagi.

Tiara berkata demikian dalam sesi fotografi bersama tiga bintang West End itu di kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, tujuannya menerbitkan West End Stars In Concert adalah untuk memberi peluang serta mendedahkan kepada rakyat negara ini untuk menikmati alunan indah lagu-lagu popular daripada beberapa teater muzikal popular dunia.

“Kalau mereka tidak dapat melihat sendiri persembahan di West End, jadi tidak salah untuk saya membawa West End ke Malaysia bukan.?

“Inilah peluang terbaik untuk mereka menonton dan menikmati persembahan daripada tiga nama besar West End. Bukan mudah untuk membawa mereka ke sini dan digabungkan dalam satu persembahan.

“Siapa sangka, Ramin yang merupakan pemeran watak Phantom dalam pementasan The Phantom of the Opera dan sekuelnya, Love Never Dies sanggup berehat seketika untuk melibatkan diri dalam konsert ini,” ujar Tiara yang begitu mengagumi bakat Ramin sejak kali pertama menonton aksinya dalam dua pementasan itu di London.

Begitu juga dengan pemilihan Jac yang disifatkan Tiara sebagai membawa aroma baru dalam konsert tersebut dengan kehebatan vokalnya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: