Friday, April 15, 2011

Rahim pertahan protege


RAHIM bersama dengan Aiman ketika mendengar komen daripada juri profesional Mentor 5 selepas tamat persembahan kedua Aiman.


KOMEN yang agak keras dilontarkan juri professional sedikit pun tidak mengguris perasaan mentor kepada Aiman, Rahim Maarof yang merasakan persembahan protege kesayangannya itu tidak sedikitpun merencatkan jangkaannya.

“Mungkin Datuk Ramli MS terkejut melihat Aiman menyanyikan lagu rock memandangkan sebelum ini Aiman tidak pernah membawa genre ini.

“Bagi saya persembahan Aiman itu sudah boleh dikira terbaik jika hendak dibandingkan dengan pengalamannya yang tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian sebelum ini,” jelasnya ketika ditemui selepas konsert Mentor kumpulan B baru-baru ini.

Dalam konsert berkenaan Aiman mendapat komen yang kurang baik daripada juri tetap Mentor, Datuk Ramli MS apabila menyatakan vokal Aiman bukan ke arah rock

Namun bagi penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Kristal itu, apa yang dilakukannya adalah cuba mendedahkan Aiman dengan muzik rock.

Baginya, apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan Aiman dalam usaha mempelbagaikan variasi genre lagu yang boleh dinyanyikan.

“Sebenarnya dalam usaha untuk menyesuaikan lagu dan suara Aiman, kami telah berbincang bersama dalam memilih lagu untuk konsert ini.

“Bagaimana pun bagi menyesuaikan lagu dan suara Aiman, sedikit perubahan telah dilakukan dan mungkin apa yang dilihat oleh Ramli itu merujuk kepada lagu Holy Diver. Lagu itu sememangnya agak sukar untuk dinyanyikan,” ujarnya.

Bagaimana pun bagi Rahim, suara dan vokal Aiman mempunyai keunikan tersendiri, cuma ia belum tahu bagaimana untuk mengawal dan menggunakannya.

Walau apa pun, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Aiman membuatkan Rahim tambah bersemangat untuk memberikan yang terbaik.

Sementara itu, Aiman merasakan apa yang diluahkan oleh Ramli MS adalah sesuatu yang baik dan dia akan mengambilnya sebagai pengajaran dan berusaha memperbaiki kelemahan.

“Saya akan cuba yang terbaik lagi untuk konsert seterusnya dan yang paling penting saya akan cuba untuk mengejar kedudukan peserta lain.

“Bagi saya yang penting jangan berputus ada dan sentiasa memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Walaupun persembahan Aiman tidak berjaya mencairkan hati Ramli MS, Aiman tetap diberikan pujian oleh juri undangan konsert malam itu, Mas Idayu.

Bagi Mas Idayu beliau menyukai persembahan Aiman dan sukakan keserasian yang ditonjolkan oleh Aiman ketika berduet dengan Shiha mendendangkan lagu Aku Dan DiriMu nyanyian asal Ari Lasso dan Bunga Cinta Lestari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: