Friday, April 8, 2011

Anita sentiasa beri energi penuh

"Setiap kali mengadakan persembahan saya akan anggap seolah-olah esok saya tak akan mengadakan persembahan lagi. Dari situlah saya mendapat kekuatan untuk menghiburkan peminat saya," demikian kata penghibur Anita Sarawak pasal persembahan pentasnya.

Bukanlah memberikan bayangan yang dia akan bersara pada masa-masa tertentu sebaliknya sebagai pemberi semangat kepadanya untuk sentiasa memberikan persembahan terbaik.

Anita membuka rahsia itu ketika mengadakan persembahan yang dinamakan Divas Las Vegas Anita Sarawak sempena Minggu Setiausaha anjuran Shah Alam Convention Centre (SACC), di tempat itu Rabu lalu.

Sangat pentingkan kesihatan

Ditanya kemudian pasal kata-katanya itu Anita menjelaskan ia sentiasa mahu memberikan persembahan terbaik setiap kali mengadakan persembahan.

Untuk itu dia harus menjaga kesihatan agar dapat memberikan persembahan dengan energi penuh.

"Saya menjaga kesihatan saya dan saya berjumpa doktor untuk mengetahui tahap kesihatan saya agar saya tahu sejauhmanakah saya boleh membuat persembahan. Ia sangat penting," katanya lagi.

Sesuai dengan tema persembahan, Anita turut membuka cerita pahit getirnya selama 18 tahun menyanyi di Las Vegas, Amerika Syarikat termasuk kisah dimarahi bos gara-gara menyanyi lagu Melayu.

Diserbu peminat setia

"Saya lihat ada orang Melayu menonton persembahan saya, jadi pada hari itu saya menyelitkan lagu Melayu termasuk Ayam Den Lapeh. Orang sana pun suka dan ada yang meminta saya menyanyikan lagu itu.

"Pada satu hari saya dipanggil oleh bos dan dia tanya mengapa saya menyanyikan lagu itu kerana saya sepatutnya menyanyikan lagu dalam kategori Top 40. Saya cakap lagu itu juga termasuk senarai lagu Top 40," kata Anita sambil ketawa mengimbau kenangan itu.

Dalam persembahan hari itu Anita memang masih hebat dan mampu mengekalkan ciri-ciri tariannya termasuk gaya mengangkat kaki yang jadi trade mark.

Pasti ada rahsia penyanyi yang sudah melebihi usia 50 tahun mampu melakukannya. Rahsianya kerana dia seorang yang sihat.

Belum fikir pasal bersara

Anita membuka persembahan dengan lagu We Will Rock You, We Are The Champion sebelum beralih dengan lagu Bercanda Di Pasiran Pantai dan Ayam Den Lapeh.

Anita turut menyanyikan lagu Getaran Jiwa dan Casablanca yang disusun muziknya menjadi lebih segar oleh Helen Yap.

Lagu-lagu lain antaranya Asmara, Big Spender, Seksis dan Proud Mary. Anita turut menyanyikan lagu Kalau Berkalau yang tak pernah dinanyikan olehnya dalam persembahan sebelum ini.

"Helen yang kata banyak lagu yang saya jarang nyanyi, salah satunya lagu Kalau Berkalau. Helen membuat susunan muzik yang menjadikan lagu ini kedengaran lebih segar," kata Anita.

Walaupun menyanyikan lagu yang jarang dinyanyikan, Anita tiada masalah lupa lirik.

Persembahan itu turut diserikan dengan Noryn Aziz serta Zizan Razak dan Juliana Evans sebagai pengacara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: