Saturday, February 19, 2011

Wind Explorer kereta berkuasa angin


Wind Explorer berjaya bergerak sejauh 5,000 kilometer dengan hanya bergantung kepada kuasa angin.


JIKA penggunaan kereta-kereta rekaan inovasi hibrid dikatakan sebagai konsep terkini kereta masa hadapan, kini sebuah lagi

tenaga baru telah diadaptasikan dalam dunia permotoran iaitu menggunakan kuasa angin.

Walaupun kuasa tersebut tidak digunakan secara meluas, ia juga dikatakan bakal menjadi antara kuasa baru konsep kenderaan masa hadapan yang lebih mesra terhadap ekosistem alam semulajadi.

Baru-baru ini, Australia telah diberikan peluang untuk mencuba rekaan masa depan dalam rangkaian pengangkutan melalui ujian perjalanan kereta pertama di dunia yang menggunakan sumber angin bagi menghasilkan tenaga.

Prototaip hijau itu diberi nama sebagai Wind Explorer dan telah tiba di Sydney kira-kira pada pukul dua pagi Isnin lepas setelah merentasi perjalanan sejauh 5,000 kilometer.

Wind Explorer berjaya menawan sebahagian daripada Australia meliputi perjalanan dari Perth, melalui Adelaide dan Melbourne dengan hanya menggunakan kos sebanyak RM48 (USD $16).

Prototaip itu dibina oleh Dirk Gion dan Stefan Simmerer selama enam bulan di Jerman.

Selain menggunakan kuasa angin, kereta tersebut turut menggunakan bateri lithium-ion yang boleh dicas semalaman melalui turbin angin bergerak.

Dirk Gion berkata, perjalanan sejauh 5,000 kilometer bersama Wind Explorer secara tak langsung membuktikan betapa canggihnya teknologi masa kini.

“Penghasilan Wind Explorer dan kejayaan perjalanan menggunakan kuasa angin mampu menunjukkan betapa cekap kuasa tersebut boleh digunapakai untuk kenderaan konsep masa hadapan.

“Ini kerana, Wind Explorer bebas dari sebarang pengeluaran karbon dioksida yang berbahaya dan boleh mencemarkan alam semulajadi malah ia bebas bergerak ke mana sahaja.

“Istimewanya, ia bersaiz sederhana dan sangat padat daripada saiz mana-mana kereta biasa,” katanya.

Tambahnya, reka bentuk Wind Explorer sangat ringan kerana berat tanpa penumpang hanya 200 kilogram setelah ditimbang berbanding kereta biasa yang ada diantaranya seberat satu tan.

Menurut Stefan Simmerer pula, perjalanan mereka berdua merentasi Australia hanya mengambil masa selama kira-kira tiga minggu.

Ketika perjalanan itu, mereka berdua banyak bertemu dengan orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Wind Explorer yang menjimatkan itu.

“Setelah kami menerangkan teknologi di belakang penghasilan kereta tersebut, pandangan mereka kesemuanya menyukai idea yang kami hasilkan.

“Rakyat di Australia bersedia untuk menggunakan teknologi ini.

“Mereka mahu ia dipasarkan untuk dijadikan sebagai kenderaan harian walaupun Wind Explorer hanya diuji secara serius di Australia setakat ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Stefan dan Dirk turut yakin bahawa satu hari nanti, teknologi kuasa angin bakal diguna dan ditawarkan kepada orang awam.

“Dalam 20 tahun akan datang, akan adanya begitu banyak kereta-kereta elektrik di dalam bandar-bandar maju yang tidak lagi mengeluarkan bunyi-bunyi bising dan pencemaran,” jelas Stefan dan Dirk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: