Saturday, February 19, 2011

Pacuan 4 Roda Premium




SEMASA transit di Dubai kelmarin, saya sempat bersiar-siar di pusat bandar raya ultra-moden negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini. Negara teluk memang dikenali sebagai negara kaya raya, meskipun ia terpaksa meminta bantuan selepas ekonominya dilanda krisis teruk tahun lalu.

Ada dilaporkan semasa krisis tersebut, orang-orang kaya tempatan tergesa-gesa meninggalkan Dubai setelah ekonominya rebah. Di lapangan terbang, beratus-ratus kereta mewah tersadai, malah ada yang kononnya ditinggalkan bersama kunci. Kereta mewah tersebut tidak bernilai dan tiada siapa pun berani mengambilnya!

Itu cerita lain. Pemandangan paling ketara hari ini setelah ekonominya pulih tentulah kereta-kereta mewah yang dipacu di jalan raya yang besar dan luas. Tentunya Mitsubishi Pajero premium 3.8 liter turut sama memenuhi jalan raya. Difahamkan, harganya masih dikategorikan sebagai kereta mewah di UAE.

Jika UAE yang kaya raya pun mengklasifikasikan Pajero sebagai kereta mewah, apatah lagi Malaysia yang sedang membangun ini. Harga yang dijual di negara ini ialah RM282,411.50 tidak termasuk insurans.

Bezanya di Malaysia, terdapat dua jenis Pajero yang dijual oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) iaitu Pajero Sports 2.5 liter - yang menggunakan platform dan enjin sama dengan Triton dan Pajero premium 3.8 liter yang serba-serbi baru dari segi platform dan enjin.

Istilah premium tidak diguna secara rasmi untuk Pajero 3.8 liter ini tetapi ia digunakan secara umum di Malaysia bagi membezakannya dengan Pajero Sports. Nama Pajero itu sendiri tidak perlu sebarang pengenalan. Ia sememangnya jenama yang mewakili kenderaan utiliti sports pacuan empat roda yang besar pengaruhnya dan ramai penggemar.

Sejak diperkenalkan ke pasaran dunia pada 1982, Mitsubishi Motors telah menjual lebih 2.5 juta unit Pajero di lebih 170 negara di seluruh dunia. Populariti Pajero dijana daripada reputasi Mitsubishi Motor dalam membina kenderaan pacuan empat roda yang hebat di dunia. Ia juga memegang rekod kejuaraan Rali Dakar sebanyak 12 kali, termasuk tujuh kemenangan berturut-turut dari 2001 hingga 2007. Data pengalaman dan teknologi yang diraih daripada rali tersebut, disalurkan ke dalam aspek pembinaan Pajero untuk kegunaan orang awam. Bagi Pajero baru ini, ujian dan pembangunannya dilakukan di lokasi lasak sebenar termasuk banjaran Alps di Switzerland, padang pasir Afrika dan Outback di Australia.

Pajero ini menggunakan enjin V6 3.8 liter yang menjana kuasa maksimum 250 PS pada 6,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 328 Newton meter (Nm) pada 2,750 rpm. Enjin 24 injap tersebut dilengkapi teknologi MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control) bagi prestasi optimum dan kecekapan minyak.

Enjin V6 itu diperkasakan oleh transmisi automatik lima kelajuan INVECS-II dengan Mode Sport yang menggabungkan kemudahan gear automatik dengan kawalan secara manual apabila diperlukan.

Pemanduan disalurkan ke roda menerusi sistem Super Select 4WD II (SS4-II), yang memiliki empat pilihan iaitu 2H bagi penjimatan terbaik di atas permukaan biasa, 4H bagi cengkaman di atas jalan licin, 4HLc bagi pemanduan atas salji, pasir atau lumpur dan 4LLc dengan gear rendah bagi keadaan yang paling ekstrem. Semuanya boleh diubah pada kelajuan sehingga 100 kmj.

Sistem Kawalan Semua Roda (AWC) memberikan potensi prestasi terbaik pada semua tayar dan membolehkan pemandu merasai pengalaman pecutan. AWC memberikan daya pecutan yang tepat dan kawalan terbabas bagi setiap roda secara bebas bagi memastikan kawalan sepenuhnya pada pemandu.

Satu komponen utama pada sistem AWC ialah ASTC atau 'Active Stability and Traction Control'. Ia menggunakan rangkaian sensor untuk mengumpul data dan memantau status kenderaan dan sudut kemudi. Data itu kemudiannya digunakan bagi mengawal selia kuasa brek dan daya kilas pemanduan pada setiap roda bagi menambah baik kendalian dan kestabilan. ASTC disepadukan dengan Multi-mode ABS dan EBD. Keselamatan juga diutamakan dengan Pajero dipasang dengan beg udara di hadapan, sisi dan tingkap.

Menepati sasaran jualannya sebagai sebuah kereta mewah, Pajero generasi keempat ini dilengkapi pelbagai ciri-ciri baru. Dengan keupayaan membawa tujuh penumpang dan ruang tingkap yang luas, ia juga sesuai untuk membawa keluarga dengan bergaya, selesa terutamanya menerusi sistem gantungan yang bebas sepenuhnya (double wishbone di hadapan dan pelbagai sambungan di belakang). Pajero juga kenderaan yang versatil. Dua kerusi di barisan ketiga boleh dilipat rata ke lantai apabila tidak digunakan, memberi ruang kargo yang lebih besar.

Pajero ini dilengkapi dengan sistem audio yang hebat iaitu Rockford Acoustic Design dengan 12 pembesar suara, amplifier 860 Watt, pemproses isyarat digital (DSP) dan 5.1 saluran sistem teater sekeliling, membolehkan imbangan bunyi diubah untuk ditumpukan pada kerusi hadapan, tengah atau ke seluruh kabin. Pemandu boleh mengawal sistem bunyian 6-CD/USB/AUX menerusi butang pada kemudi roda.

Pada panel pemuka, terdapat sebuah paparan yang memberikan maklumat berguna mengenai kenderaan iaitu penjimatan minyak, kompas, suhu di luar dan kalendar serta jam.

Ciri keselesaan dan kemudahan lain termasuk kerusi kulit, penukar elektronik kedudukan kerusi, kawalan suhu, pendingin hawa belajang, bumbung boleh dibuka, kawalan cruise, masuk tanpa kunci, lampu depan HID yang berubah secara automatik, rim roda aloi 18 inci dan sebagainya.

Ditawarkan dalam empat warna iaitu putih (Warm White Mica), hitam (Black Mica), (kelabu muda) Cool Silver Metallic dan (coklat) Quartz Brown Metallic. Pajero juga didatangkan waranti tiga tahun atau 100,000 km, yang mana dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: