SEMANGAT... walaupun fizikal mereka ‘berat’ tetapi tetap bersemangat.
MELIHAT perlawanan futsal dan bola jaring yang rata-ratanya disertai golongan bertubuh ‘gebu’ memang menyeronokkan walaupun pergerakan mereka mungkin lambat berbanding yang mempunyai berat badan ideal.
Walaupun ada peserta kelihatan termengah-mengah ketika mengejar bola dan berlari, namun jelas terserlah kesungguhan di wajah mereka untuk menamatkan perlawanan.
Mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti sememangnya menjadi cabaran kepada golongan itu kerana sering berdepan ejekan dan cemuhan rakan.
Perkara itu diakui Aisyah Najihah Nor Insan, 17, yang mengalami obesiti sejak berusia enam tahun akibat corak pemakanan tidak seimbang.
Katanya, ketika di tadika dia diberi makanan yang tidak mengikut piramid makanan betul dan sering diberi makanan ringan sehingga menyebabkan dia berdepan masalah itu.“Menjadi individu berbadan besar sedikit sebanyak membuatkan saya sering berasa rendah diri dan lebih menyedihkan dijadikan bahan ejekan oleh rakan.
“Memang tertekan menghadapi semua itu dan saya perlu mencari jalan untuk menghindarinya dengan menurunkan berat badan melalui senaman,” katanya.
Ingin menjadi ‘normal’ seperti ahli keluarganya yang lain, gadis ini tidak berkompromi dengan perkara yang boleh merencatkan proses menurunkan berat badannya.
Berdasarkan kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan 2006, 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami kegemukan, dengan 18.8 peratus atau satu juta daripadanya adalah wanita berusia antara 25 hingga 64 tahun.
Obesiti boleh diumpamakan seperti bom jangka kerana mendekatkan seseorang itu kepada serangan jantung atau strok yang boleh berlaku bila-bila masa.
Malah ia seolah-olah ada ‘kuasa magnet’ kerana boleh menarik kedatangan penyakit kronik lain dengan mudah seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung, strok dan kerosakan buah pinggang.
Ada juga kajian menunjukkan 15 peratus kanak-kanak berusia 12 hingga 19 tahun mempunyai masalah berlebihan berat badan dan kegemukan.
Kanak-kanak yang datangnya daripada keluarga miskin sebenarnya lebih ramai berdepan masalah itu.
Berat badan berlebihan dikaitkan dengan risiko tinggi jika mengalami masalah perubatan seperti diabetes dan penyakit jantung yang boleh menyebabkan kematian awal.
Muhammad Fadzrul Fazlan, 17, yang mempunyai berat badan 111 kilogram (kg) pula pernah cuba menurunkan berat badan, namun kecewa kerana ia tidak menunjukkan perubahan dalam dirinya.
Katanya, dia sukar bergerak pantas kerana keadaan dirinya dan tidak lagi mahu lagi digelar budak gemuk.
“Saya aktif bermain bola sepak setiap hari pada waktu petang bersama rakan, namun selepas beberapa bulan berat saya masih tidak berubah. Entah di mana silapnya sehingga menyebabkan saya berasa putus asa untuk meneruskan aktiviti sukan itu,” katanya.
“Bagaimanapun, sokongan rakan menyebabkan saya kembali bersemangat dan semakin aktif menyertai apa jua sukan bagi mencapai berat badan ideal,” katanya yang ditemui selepas Liga Futsal dan Bola Jaring Perangi Obesiti di Kampung Lahor Yooi, Tasik Gelugor sempena lawatan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) pada Program Mesra bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Zon Utara di Pulau Pinang dan Kedah, baru-baru ini.
Kesungguhan dipamerkan pemain berbadan besar itu menunjukkan wujudnya kesedaran terhadap penjagaan kesihatan walaupun masih ada yang tidak mengendahkan perkara ini kerana menganggap mereka sihat hinggalah mereka mengalami gejala bagi penyakit tertentu.
Memang bagi sesetengah orang, terutama yang menganggap mereka ‘kebal’ daripada penyakit, seruan untuk menjaga kesihatan itu kedengaran membosankan.
Kesedaran mengenai pentingnya penjagaan kesihatan tidak lagi hanya berlaku pada masyarakat bandar, malah ia semakin mendapat perhatian penduduk luar bandar dan ini yang dilihat ketika lawatan berkenaan.
Lonjakan kes penyakit kronik berkaitan gaya hidup menyebabkan semakin ramai menyedari kepentingan menjaga kesihatan dan mengambil inisiatif untuk menganjurkan pelbagai program yang bukan saja untuk kebaikan diri sendiri, malah mendatangkan faedah kepada masyarakat.
Yang membanggakan, masyarakat luar bandar tidak lagi ketinggalan, malah kreatif menganjurkan pelbagai aktiviti bertemakan kesihatan dalam usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.
Kunjungan LPKM ke Pulau Aman yang terletak kira-kira 2.5 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai Selatan menceritakan segala-galanya.
Walaupun terpisah daripada tanah besar dengan kemudahan terhad, ia tidak menjadi penghalang kepada penduduk untuk terbabit dalam aktiviti senam seni yang diketuai persatuan kebudayaan, Angkatan Budayasari.
Bagi Zaini Man, 44, sejak aktif dalam aktiviti senaman yang dianjurkan di pulau itu, dia mula merasakan perubahan dalam dirinya.
“Memang dulu saya jarang menyertai aktiviti senaman, apatah lagi melakukannya sendiri kerana beranggapan saya sihat. Namun ajakan rakan untuk menyertai senaman membuka lembaran baru dalam hidup saya. Kini saya dapat rasakan perubahan, saya semakin bertenaga dan cergas berbanding dulu.
“Kini saya tahu penjagaan kesihatan bukan hanya melalui pengawalan makanan semata-mata, tetapi perlu membabitkan fizikal bagi menjamin kecergasan,” katanya.
Memang skop penjagaan kesihatan sangat luas dan ini dibuktikan penduduk Kampung Kepala Tobiar, Pendang (Kedah) yang menitikberatkan kebersihan kampung dengan mengadakan gotong-royong setiap bulan.
Menurut penduduk, Khali Abdul Talim Ahmad, 64, tahun lalu mereka mengadakan Program Komuniti Sihat, Desa Ceria yang mana menekankan aspek kebersihan kampung berkenaan.
Katanya, setiap penduduk dikehendaki membersihkan kawasan sekitar rumah, termasuk di dalam kediaman mereka, sepanjang program itu.
“Sasaran kami ketika itu mahu menjadikan kampung ini bebas daripada denggi dengan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Malah kami menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dengan bantuan Pejabat Kesihatan Negeri bagi memastikan ia bebas aedes,” katanya yang berbangga melihat ruang pameran kesihatan tidak sunyi daripada kunjungan orang kampung.
Seorang lagi penduduk, Abdul Latif Hasbullah, 49, berkata sebelum ini dia hanya memandang ringan soal penjagaan kesihatan kerana baginya apabila sakit ada ubat yang akan menyembuhkan.
“Dulu bagi saya, kalau sakit baru cari ubat dan anggap akan sembuh selepas mengambil ubat. Fahaman ini yang saya pegang hinggalah disahkan menghidap penyakit kencing manis, baru saya sedar tidak semua ubat boleh menyembuhkan penyakit.
“Ubat yang diberi hanya untuk mengawal penyakit dan banyak perkara perlu dilakukan untuk menjadikan diri kita lebih sihat,” katanya yang bukan saja mengawal pengambilan makanan, malah menjadikan senaman sebagai aktiviti harian.
Dari Kampung Kepala Tobiar, rombongan wartawan dibawa berjumpa kumpulan wayang kulit. Mungkin pelik dan ramai tertanya-tanya bagaimana persembahan seni wayang kulit boleh dikaitkan dengan aktiviti kesihatan kerana ia hanya hiburan semata-mata.
Namun, itulah medium yang digunakan kumpulan Wayang Kulit Sri Asun di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam bagi menyebarkan pemahaman mengenai kesihatan kepada penontonnya.
Ia umpama serampang dua mata kerana penonton memperoleh hiburan dan kesedaran mengenai kesihatan pada masa sama.
Penonton, Mohd Sobri Bakar, 34, berkata masyarakat kini kurang berminat menghadiri forum kesihatan kerana beranggapan ia membosankan.
Bagi menarik minat masyarakat untuk mendengar dan menerima maklumat mengenai kesihatan, ia memerlukan pendekatan lebih kreatif.
“Persembahan wayang kulit ini mempunyai jalan cerita menarik dan diselit dengan nasihat mengenai kebersihan dan kesihatan.
“Penonton lebih mudah menerimanya kerana ia lebih dekat dengan mereka, selain memudahkan mereka memahami apa yang mahu disampaikan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi LPKM, Datuk Seri Dr Aishah Ong berkata, semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu diberi pembiayaan oleh LPKM bagi mengadakan aktiviti promosi kesihatan untuk kebaikan masyarakat setempat.
Katanya, sejak 2007 sehingga tahun lalu, LPKM meluluskan 256 geran program promosi kesihatan bernilai lebih RM11 juta.
“Untuk tahun ini, LPKM berhasrat meningkatkan jumlah permohonan geran supaya aktiviti promosi kesihatan ini dapat dijalankan di seluruh pelusuk negara.
“Sejak program ini dilancarkan, pelbagai impak positif diterima tetapi yang menggembirakan ialah ramai memperoleh kemahiran berkaitan kesihatan,” katanya yang memberitahu lawatan berkenaan bertujuan menghargai dan menyokong aktiviti NGO atas kesungguhan mengadakan program yang bukan saja unik dan menarik, tetapi memberi manfaat kepada masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: