|
|
VOKALIS band Azlan & The Typewiter, Norazlan Rosle, 27, atau Lan kini telah selamat bergelar suami kepada pasangannya Normala Hassan, 27, yang dinikahinya pada 1 Januari lalu.
Ia berlaku selepas majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada November tahun lalu ditunda.
Bercakap tentang alam perkahwinan yang baru ditempuhinya, Lan yang ditemui pada majlis pelancaran program RTM, Xpresi Kembara di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini, dia mengakui kehidupannya kini lebih sempurna selepas bergelar suami.
"Saya tidak tahu macam mana ingin menterjemahkan kebahagiaan selepas berkahwin. Memang saya bahagia dan seronok melalui kehidupan saya sekarang," tuturnya.
Meskipun telah selamat melangsungkan perkahwinannya di Cheras, namun masih terdapat khabar yang kurang enak berhubung majlis perkahwinannya.
Ini kerana Lan tidak mengotakan janjinya sebelum ini untuk menjemput pihak media.
Disoal, mungkinkah Lan cuba menyembunyikan sesuatu apabila tidak menjemput pihak media, Lan menjelaskan kesibukan menjelang hari perkahwinannya menyebabkannya dia tidak sempat untuk menjemput pihak media.
Sementelah katanya, majlis tersebut diuruskan oleh isterinya.
"Majlis perkahwinan saya diuruskan oleh isteri kerana ketika itu saya sibuk dengan Anugerah Juara Lagu dan persembahan pentas.
"Bayangkan saya sendiri menolak banyak persembahan pada tahun baru. Saya terlalu sibuk, bukannya saya tidak mahu jemput media," ungkap Lan.
Tambahnya: "Lagipun, tiada apa yang saya mahu sembunyikan. Rasanya ramai pihak media kenal siapa isteri saya.
"Jadi, tidak ada apa yang mahu disorokkan pada majlis perkahwinan saya itu. Majlis itu berlangsung secara sederhana. Saya berharap semua pihak doakan kebahagiaan saya," katanya.
Jumpa dua kali seminggu
Walaupun sudah bergelar suami isteri, namun kata Lan dia dan isterinya hanya berjumpa dua kali seminggu dek kesibukan kerjayanya sebagai penyanyi yang mengadakan persembahan di seluruh Malaysia.
"Memang kami berjumpa sekali atau dua kali seminggu, nasib baik saya dapat isteri yang memahami kerjaya saya sebagai penyanyi, kalau tidak susah juga.
|
|
"Kalau saya ingin bawa dia ikut persembahan pentas tidak boleh juga sebab dia ada kerjayanya sendiri di Kuala Lumpur," ucapnya lagi.
Apabila berbicara soal cahayamata, ujar Lan, mereka membuat perancangan untuk memiliki anak buat masa yang terdekat ini.
"Bagi saya untuk ada anak, ia memerlukan kepada suatu komitmen yang besar terutama daripada segi masa,.
"Sekarang ini kami masing-masing sibuk, kalau ada anak dan tidak dapat beri sepenuh perhatian susah juga. Tengoklah macam mana, andai ada rezeki dan mengikut perancangannya, saya memang teringin anak," beritahunya sambil tersenyum lebar.
Selepas menjadi seorang suami, kata Lan, dia masih orang yang sama tiada apa yang berubah. Kerjayanya juga masih kukuh sebagai penyanyi dan pemuzik.
"Kalau daripada segi luaran tiada apa yang berubah tetapi segi dalaman memang banyak berubah terutama berkaitan dengan faktor kematangan menguruskan keluarga dan tanggungjawab yang semakin bertambah," akuinya.
Selain memberi tumpuan kepada band Azlan & The Typewritter, Lan juga merupakan anggota band projek A.P.I dan terbaru, Prima Domestik gabungan bersama Hillary (Search) , Joe (Wings) serta Kelly dan Ujang (Exists).
"Syukur, rezeki saya tidak hanya terikat dengan band sendiri sebaliknya projek-projek band yang lain juga.
"Saya kini juga vokalis untuk band Prima Domestik dan kami telah merakamkan empat buat lagu.
"Kemungkinan besar akan ada enam buah lagu secara keseluruhannya. Single pertama yang akan keluar berjudul Sedingin Pluto," jelasnya yang telah mula membuat rakaman pada bulan Disember tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: