Sunday, February 27, 2011

Pihak luar punca demonstrasi


SALAH seorang pengawal keselamatan berusaha menghalang pelajar yang cuba merempuh masuk ke pejabat pentadbiran HEP UPM di Serdang pada 23 Februari lalu.


KUALA LUMPUR - Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa terdapat campur tangan pihak luar yang menjadi pencetus berlakunya demonstrasi di kalangan Pro-Mahasiswa (Pro-M) ekoran tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya kampus pada 23 Februari lalu.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, pihaknya kesal dengan campur tangan daripada mahasiswa universiti lain yang disifatkan sebagai tidak wajar.

"Saya percaya mahasiswa UPM tidak akan melakukan perkara sedemikian (demonstrasi) tetapi apabila ada campur tangan pihak luar yang tidak memahami proses pemilihan maka demonstrasi berlaku dan saya sangat terkilan," tegasnya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Kosmo! 24 Februari lalu melaporkan sekumpulan 200 pelajar Pro-M mengadakan demonstrasi hampir 17 jam bagi memprotes tindakan HEP membatalkan kemenangan 11 calon mereka.

Kemuncak peristiwa itu apabila lima pengawal keselamatan cedera setelah terkena serpihan pintu kaca ketika cuba menghalang pelajar itu daripada memasuki pejabat pentadbiran HEP.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: