Monday, February 28, 2011

Ayuh raikan kraf Malaysia!


ISTERI Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman meneliti kehalusan kain songket di salah sebuah gerai pameran.


MEMASUKI hari keempat, penganjuran Hari Kraf Kebangsaan 2011 (HKK) membuatkan Kompleks Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur tidak putus menerima limpahan pengunjung yang terdiri daripada warga Lembah Klang dan pelancong luar negara.

Bertemakan Kraf Penjana Ekonomi, HKK yang berlangsung dari 23 Februari lalu hingga 7 Mac ini menjanjikan pelbagai produk terbaru dan terbaik daripada usahawan kraf seluruh negara.

Sejak dianjurkan pada tahun 2003, jualan HKK sentiasa menunjukkan peningkatan, bukan sahaja daripada jumlah jualan malahan penyertaan usahawan.

Tahun ini, seramai 500 usahawan dalam bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam dan aneka kraf turut serta dalam HKK. Menurut Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali, pemilihan tema kali ini berdasarkan sumbangan hasil kraf dalam menjana ekonomi negara.

"Selepas sembilan tahun dilaksanakan, penghasilan produk kraf secara komersial dapat menjana pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara," katanya.

Sepanjang 12 hari HKK diadakan, pelbagai program disediakan untuk pengunjung antaranya jualan kraf, pameran kelengkapan rumah, pameran seni ukiran kayu dalam seni bina, pameran dan jualan produk kraf tekaan baru.

Bagi mereka yang belum pernah mengunjungi HKK, kunjungan kali pertama boleh membuatkan mereka jatuh cinta dengan produk kraf tempatan dan seni warisan negara oleh usahawan yang berkampung di kompleks berkenaan.

Promosi khas

Menambahkan lagi warna-warni di hati pengunjung, dua promosi khas telah dirancang iaitu pameran kelengkapan rumah dan pameran seni ukiran kayu dalam seni bina.

Pameran kelengkapan rumah mempamerkan produk kraf untuk hiasan dalaman termasuk produk set ruang tamu, set meja makan, set bilik tidur dan set perabot taman menggunakan medium kayu, buluh, dan rotan.

Lebih membanggakan ia adalah hasil daripada kreativiti tujuh usahawan yang menghasilkan 22 rekaan produk perabot.

Bersempena HKK, sebanyak 40 produk akan dipamerkan seperti birai, panel dinding, jeriji, tingkap, gerbang, sesiku dan pintu hasil kreativiti 16 orang usahawan dari Pahang.

Sebagai memenuhi cita rasa pengunjung yang pelbagai, penggemar produk atau hiasan kontemporari, jangan terlepas berkunjung ke pameran dan jualan produk kraf rekaan baru.

Pameran itu berkonsepkan retro moden melibatkan tema-tema warna retro yang diterjemahkan dalam rupa bentuk kraf moden kontemporari seperti hadiah korporat, produk hiasan rumah dan pejabat termasuklah fesyen dan aksesori.

Dengan 301 rekaan baru yang dihasilkan melalui penglibatan 101 usahawan kraf, ia antara tarikan utama yang menggamit pengunjung ke tapak HKK.

HKK juga bukanlah sekadar festival untuk jualan dan pameran, malah lebih penting, ia diadakan bertujuan memberi pendidikan secara tidak langsung kepada pengunjung.

Menerusi Pameran Kraf Warisan dan Pendidikan Kraf, pengunjung dapat melihat Pameran bertemakan Teknologi Tradisional Pembuatan Kraf Tekstil.

Di bawah kategori tekstil, pengunjung dapat melihat demonstrasi pembuatan batik seperti batik pelangi, blok, lasem dan canting. Begitu juga dengan kraf tenunan seperti songket, tenun Pahang, pua dan dastar, telepok, tekat benang emas serta sulaman keringkam dan Kerawang.


BARANGAN kraf yang diperbuat daripada kayu larik sering menjadi hiasan di hotel dan kediaman.


Tenunan songket

Bagi mereka yang terlibat dalam industri songket ataupun yang meminati seni tenunan songket, mungkin pameran kajian teknik songket oleh Institut Kraf Negara (IKN) dapat menarik perhatian.

Pameran itu mempamerkan kajian songket yang dilaksanakan oleh IKN menggunakan teknik ikat yang meliputi pewarnaan asli dan warna-warni kontemporari.

Demonstrasi Pembuatan Kraf Tenunan yang membawa 10 orang jurudemonstrasi mewakili pelbagai kaum dari empat buah negeri iaitu Sarawak, Pahang, Sabah dan Terengganu serta dari IKN sendiri.

Lebih menarik, HKK turut membuka ruang kepada pengunjung menyaksikan Demonstrasi Pembuatan Tenunan Luar Negara melibatkan penyertaan dari Filipina, Indonesia, Bangladesh, Uzbekistan, China dan Korea.

Kepada peminat hasil kraf, inilah peluangnya untuk mendapatkan hasil kreativiti tempatan yang dihimpun di bawah satu bumbung. Bagi yang baru berjinak-jinak mengenali industri kraf, HKK adalah platform terbaik untuk mengenali keindahan, kesenian, kehalusan dan keistimewaan kraf tempatan sekali gus mendatangkan perasaan cintakan budaya bangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: