Monday, February 28, 2011

AR fenomena


teknologi AR juga boleh digunakan dalam pengurusan dan perancangan bandar melalui model yang dihasilkan.


Pernahkah anda menonton filem Terminator? Masihkah anda ingat babak yang memaparkan pandangan daripada mata robot Terminator yang mampu menunjukkan informasi bersebelahan sesuatu objek dilihat olehnya?

Ia seolah-olah seperti anda sedang memakai cermin mata khas yang mampu memaparkan imej tiga dimensi (3D) serta informasi berkenaan subjek yang sedang dilihat.

Mungkin suasana tersebut merupakan antara contoh terbaik bagi menerangkan teknologi Augmented Reality (AR) yang sedang dibangunkan di Malaysia kini.

AR diasaskan oleh Tom Caudell pada 1992 untuk kegunaan dalam projek pemasangan wayar elektrik di syarikat Boeing.

Ia merupakan antara teknologi pengimejan yang sangat baru dan jarang digunakan pada ketika itu namun teknologi tersebut didapati amat membantu juruteknik kapal terbang dalam proses pendawaian elektrik dengan betul dan tepat.

Apakah teknologi AR yang sebenar? Ia merupakan gabungan dunia sebenar dan data yang dihasilkan komputer lalu dipersembahkan secara visual.

Di negara ini, teknologi berkenaan telah diperkenalkan oleh syarikat Friendly Rabbit Media (FRM) Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menghasilkan perisian bagi telefon bimbit seperti filem pendek, animasi 3D, permainan dan pelbagai aplikasi lain.

Menurut pengasas FRM Sdn. Bhd., Amar Zulkifli, jika dahulu teknologi AR boleh dikatakan fiksyen sains semata-mata namun tidak lagi pada hari ini.

"Sebenarnya, kita telah banyak didedahkan dengan teknologi AR dalam filem-filem terbitan Hollywood.

"Contoh paling mudah, teknologi tersebut telah digunakan dalam filem Terminator yang di hasilkan pada seawal tahun 1984 lagi," ujar beliau ketika di temui baru-baru ini.

Teknologi AR terdiri daripada dua jenis

Pertama, ia berdasarkan penanda untuk melihat imej yang dihasilkan kawasan yang bertanda akan dihalakan kepada kamera komputer.

Apabila tanda tersebut dikesan, imej produk berbentuk 3D akan keluar di dalam video yang diambil dan bersiar secara langsung.

Kedua, berdasarkan mercu tanda atau lokasi di mana sistem AR akan diprogramkan bersama informasi berkenaan lokasi yang anda rakamkan melalui kamera telefon pintar.

Namun sistem tersebut bergantung kepada maklumat yang disediakan serta arah kedudukan anda menghadap untuk merakamkan gambar lokasi tersebut.

Justeru teknologi AR bukan sahaja boleh digunakan dalam sektor pembuatan serta seni sahaja malah ia juga boleh dikembangkan ke sektor pelancongan.

Malah, majalah untuk tujuan pengiklanan apa jua jenis produk yang dijual. Lebih menarik, syarikat tersebut telah diberi mandat untuk mengunakan teknologi tersebut dalam pementasan teater Muzikal Tun Mahathir yang pernah ditayangkan sebelum ini .

Jelas Amar, ia merupakan satu kejayaan kepada FRM kerana diberi kepercayaan untuk menyediakan prop yang terdiri daripada imej 3D bagi membantu menjadikan teater tersebut lebih menarik.

"FRM dipertanggungjawabkan untuk menyediakan beberapa babak yang memperlihatkan jasa Tun Mahathir membangunkan negara.

"Ia seperti babak di mana Isma Daniel (watak Tun Mahathir) mengangkat tangan lalu sebuah demi sebuah bangunan muncul dalam bentuk imej 3D di layar pentas," ujarnya.

Bagi babak tersebut, beliau menggunakan teknik pengesanan wajah sebagai penanda bagi membolehkan komputer mengesan sekali gus mengeluarkan imej bangunan mengikut kehendak pelakon.

Selain itu, ketika babak diserang tentera Jepun yang menggunakan kapal terbang juga di dalam bentuk imej 3D.

Selain menjadi suatu yang berbeza, teknologi AR juga mampu mengurangkan kos membina prop yang sukar dan mahal untuk pementasan seperti Muzikal Tun Mahathir tersebut.

Ketika ditanya, adakah perancangan FRM selepas ini, Amar berkata pihaknya akan terus berusaha untuk memperkenalkan teknologi tersebut kepada orang ramai.

Ia berikutan teknologi AR antara teknologi yang sangat baru dan masih belum diperkenalkan secara meluas di negara ini.

Bagi yang berminat anda boleh melayari laman web syarikat tersebut di www.friendlyrabbitmedia.com untuk mendapatkan penerangan serta maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: