Saturday, February 19, 2011

Jet jumbo terbesar, B747-8


PEnghasilan Boeing 747-8 bakal menjadi perintis buat pesawat gergasi di masa hadapan seperti mana ia dihasilkan 40 tahun lalu.


SETELAH lebih 40 tahun Boeing 747 diperkenalkan, 'jet jumbo' dua tingkat pertama itu kembali lagi dengan rekaan terbaru sekali gus merampas kembali gelaran jet penumpang terbesar dunia daripada Airbus A380.

Pihak pengeluar Eropah yang mengeluarkan model Airbus itu kini terpaksa melepaskan gelaran tersebut setelah Boeing 747-8 Intercontinental diperkenalkan baru-baru ini di Everett, Washington, Amerika Syarikat (AS).

Ketika majlis pelancaran jet jumbo terbesar itu, model Boeing 747-8 Intercontinental telah dipertontonkan kepada lebih 10,000 tetamu buat julung kalinya.

Ia turut dihadiri oleh jurutera aeronautikal legenda, Joe Sutter yang turut dikenali sebagai bapa pesawat Boeing 747.

Boeing 747-8 Intercontinental itu memiliki saiz yang cukup mengagumkan dengan bukaan sebelah sayapnya sepanjang 74 meter dan berketinggian 21 meter, menjadikan pesawat tersebut sebagai kapal terbesar di udara malah ia turut mengatasi saiz asal Boeing 747-400.

"Saiz Boeing terbaru itu bukanlah ukuran sebenar sebagai objektif strategik penting buat syarikat tetapi oleh kerana saingan yang terdapat dalam pasaran membolehkan 747-8 Intercontinental dihasilkan dengan baik," jelas Naib Presiden Pemasaran Kapal Terbang Komersial Boeing, Randy Tinseth.

Beliau berkata, penampilan pertama Intercontinental itu pastinya menaikkan kembali martabat Boeing 747 dalam sektor pengeluaran jet jumbo terbesar seterusnya menembusi revolusi 787 Dreamliner yang dibuat kebanyakannya dari komposit ringan.

"Selaku pengeluar pesawat terbesar, Boeing 747 sentiasa menghadapi saingan bukan sahaja dari Airbus tetapi juga dari model pesawat lain di dunia.

Kapasiti penumpang

"Kapasiti penumpang yang boleh dimuatkan di dalam Airbus menjadikan Boeing 747 kurang relevan kerana Boeing 777-300ER, misalnya boleh membawa kira-kira 365 penumpang, sementara 747-400 pula hanya boleh membawa kira-kira 416 penumpang dalam satu masa.

"Boeing 747-8 Intercontinental terbaru itu mempunyai 467 kerusi. Walaupun model Airbus A340 mampu menerbangkan 525 penumpang dalam satu masa, 747-8 Intercontinental direka dengan lebih selesa," katanya.

Pelancaran Intercontinental itu secara tak langsung membantu untuk memulihkan imej Boeing setelah 787 Dreamliner menghadapi masalah pengeluaran oleh kerana kekurangan permintaan dan kelewatan pengeluaran ekoran bahan aluminium yang digunakan.

Ketua Pegawai Boeing, Jim McNerney berkata, walaupun Dreamliner dihasilkan dengan lebih ringan dan menjimatkan bahan api tetapi ia perlu dibuktikan yang ia selamat diterbangkan secepat yang mungkin seperti mana Boeing 747-8 Intercontinental yang bakal berada dalam pasaran pada suku ketiga tahun ini.

"Biarpun Dreamliner menjadi objek kekecewaan pada syarikat, ia juga telah dijadikan sebagai sumber inovasi kepada penciptaan Boeing 747-8 Intercontinental.

"Kini Boeing 747-8 baru mempunyai reka bentuk sayap baru, enjin yang lebih baik, tingkap lebih besar dan kawasan storan yang lebih luas.

"Saya rasa penghasilannya pasti menarik oleh kerana kebanyakan daripada sistem yang digunakan menggunakan teknologi tercanggih manakala ia turut memiliki kerangka pesawat yang lebih ringan jika dibandingkan dengan A380," ujarnya.

Tambahnya, walaupun pasaran jet jumbo tidak begitu meluas berbanding model kapal terbang yang lebih kecil, Boeing 747-8 Intercontinental telah pun menerima tempahan awal sebanyak 25 buah dari Lufthansa dan Korean Air manakala lapan lagi tempahan telah dibuat oleh individu VIP dan firma syarikat yang tidak boleh dikenal pasti.

"Pihak kami berharap agar tempahan terhadap Boeing 747-8 Intercontinental akan semakin meningkat dari masa ke semasa dan kami percaya pesawat itu akan laris dijual," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: