NURUL Huda Abd. Hamid dan Mohd. Arien Zackry Mohd Ritzal mahu perkahwinan mereka dirakam sesempurna mungkin. Sememangnya hari istimewa mereka mahu dikenang sepanjang hayat dan akan terus diwariskan kepada anak cucu.
“Gambar foto yang indah akan menjadi memori paling segar dan menggembirakan sepanjang masa. Kami mahukan yang terbaik dan hanya Kid Chan yang boleh melakukannya,” kata pasangan itu yang ketika itu belum bergelar suami isteri.
Kid, jurufoto perkahwinan yang terkenal, dengan jayanya melangkah tahun ke-11 dalam industri yang masih segar di Malaysia. Beliau yang memulakan kemahiran mangambil foto sebagai hobi, kini sudahpun menempa nama sebagai seorang profesional. Namun, ia bukan lagi sekadar hobi malah satu bidang yang amat mengujakan dirinya di samping menjana pendapatan yang baik.
Membelek album foto perkahwinan yang dirakam oleh Kid di studionya di Seksyen 17, Petaling Jaya, ia sebenarnya mencetus keinginan untuk mengetahui lebih lanjut tentang bidang itu. Adakah bidang tersebut sememangnya menjanjikan pulangan yang lumayan dan setiap jurugambar boleh menjadi sehebat Kid Chan?
“Selagi anda tidak mengembangkan kemahiran yang ada mengikut peredaran masa atau trend atau selagi anda tidak mahir berkomunikasi atau kemahiran sosial, selagi itulah anda mungkin akan menghadapi masalah untuk benar-benar berjaya,” jawabnya memulakan temuramah dengan Kosmo!.
Sebagai seorang jurugambar profesional, Kid Chan mempunyai helaian testimoni yang sangat ‘tebal’ apabila lensa beliau menjadi perakam kebahagiaan pelbagai pasangan baik daripada golongan biasa, golongan orang penting (VIP), kerabat diraja, artis dan selebriti serta rakaman komersial yang membabitkan jenama program terkenal seperti British Next Top Model.
“Semua tawaran itu bukan datang secara tiba-tiba atau dalam masa yang singkat, malah untuk mencapai pengiktirafan yang besar itu, saya melalui pelbagai kejayaan- kejayaan yang kecil. Ia telah memimpin saya di mana saya sekarang,” kata lelaki yang baru berusia 33 tahun itu.
|
|
Sejak kanak-kanak, Kid gemar melihat imej, khususnya yang melibatkan ikon dunia ketika itu seperti Puteri Diana Spencer dan Mother Teresa. Kid percaya imej yang dipapar dalam foto itu mampu membawa satu impak yang besar dan kuat kepada dirinya sebagai seorang penggemar foto.
Membesar di Kuala Lumpur dengan menjejak pendidikan awal di Sekolah Sri Cempaka, Kid melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi Curtin, Australia. Namun, beliau bukan belajar bidang fotografi tetapi menerima ijazah dalam Perniagaan Antarabangsa.
Sekembalinya dari Australia, Kid Chan menyertai Datuk M.S. Tan, Pengasas Kolej Metropolitan sebagai pembantu khas dan dia berkata, pengalaman kerja itu memudahkan beliau bukan sahaja mengetahui dunia luar malah, rangkaian hubungan yang sekali gus menjadi penghubung mengenali orang penting secara lebih rapat.
“Bukan mudah untuk kita berhubung dan berkomunikasi dengan seseorang. Anda memerlukan kemahiran. Saya berjaya mengembangkan kemahiran itu melalui pembacaan dan pengalaman. Ia menjadikan saya mudah dikenali,” kata Kid.
Hobi menjadi tugas
Bercerita lagi tentang dunia fotografi perkahwinan, Kid mengubah fasa daripada hanya sekadar hobi kepada satu tugas apabila beliau diminta berbuat demikian oleh rakan baiknya. Pada masa yang sama juga, Kid mula berjinak secara lebih profesional dengan dunia foto sewaktu membantu kakaknya mengendalikan studio fesyen di Kuala Lumpur.
“Walaupun saya membantu kakak, ia tetap hobi saya. Oleh kerana saya menyukai apa yang saya lakukan, saya tidak kisah. Ia dijadikan satu pengalaman pembelajaran yang baik selain buat untuk suka-suka,” kata bapa kepada dua orang anak, Faith, 7 dan Adira, 4, hasil perkongsian hidup kepada wanita pilihan hatinya, Shirlyn Lim.
Apabila ditanya tentang golongan muda sekarang yang semakin menyukai bidang foto, Kid mengakui minat itu amnya wujud seiring dengan kewujudan bahan bantuan gambar foto.
“Generasi sekarang gemar mengambil gambar. Mereka mempunyai banyak gajet yang memudahkan mereka berjinak dengan gambar foto. Tetapi, bukan setiap orang yang mempunyai kamera boleh menjadi jurugambar, sama seperti bukan semua orang yang memiliki kuali boleh menjadi chef!” Jelasnya.
Tambahnya, untuk menjadi jurugambar, banyak perkara yang perlu diikuti. Ia bukan sekadar kemahiran teknikal atau bukan sekadar kemahiran komunikasi.
“Kedua-duanya memainkan peranan yang sama penting. Jika anda mempunyai gajet tetapi tidak mempunyai kemahiran teknikal, anda akan melepaskan bibit penting dalam fotografi untuk dirakam secara sebaiknya,” jelas Kid yang banyak menggunakan contoh setiap kali menerangkan senario bidang fotografi.
Katanya setiap individu yang menyukai bidang fotografi, pertama sekali harus suka melihat kepada imej.
Imej, menurutnya, boleh mengubah persepsi kita kerana ia mempunyai kuasa, katanya. Walau bagaimanapun, apabila ditanya tentang perbezaan antara jurugambar am yang lain dan jurugambar perkahwinan seperti Kid, beliau memberitahu imej yang dirakam dalam perkahwinan meliputi pelbagai bidang fotografi.
“Semasa merakam peralatan secara spesifik seperti barangan hantaran, dekorasi, aksesori pengantin dan sebagainya, ia membabitkan fotografi produk. Semasa merakam lokasi perkahwinan atau resepsi, ia membabitkan fotografi arkitektur.
“Bagi foto belakang tabir, ia melibatkan foto kewartawanan. Berbeza juga dengan foto peragaan, foto fesyen atau potret.
“Jadi seorang jurugambar perkahwinan harus mempunyai kemahiran dalam semua bidang fotografi dan ia disokong dengan keterujaan mengambil gambar itu selain penelitian yang diberikan,” kongsi Kid.
|
|
Logik kemersial
Katanya, ramai rakan beliau tidak memilih perkahwinan sebagai pilihan atas sebab tersebut selain ia memerlukan banyak logik komersial selain lebih mencabar.
“Itu termasuk perlu mengendalikan dua orang ibu mertua dan seorang pengantin perempuan yang tertekan,” ujarnya menerangkan realiti sebenar tugas tersebut.
Menurut Kid, perkahwinan merupakan satu rakaman yang tidak boleh diulangi. Ia satu peristiwa bersejarah yang boleh dirakam pada saat-saat itu sahaja. Oleh itu, ia penuh tekanan dan penelitian.
Dalam studio yang sama, dua orang pembantu Kid sedang sibuk mengendalikan perisian komputer untuk tujuan menyunting gambar foto yang telah pun dirakam Kid.
“Kami gembira bekerja dengan Kid kerana dia tidak mengurus kami seperti seorang majikan tetapi seperti seorang kawan. Jika kami tidak tahu sesuatu, dia memberi tunjuk ajar,” kata Wong Sin Wei, 22.
Berkenaan pekerjanya itu, Kid mengulas: “Dia dahulunya seorang pelayan restoran. Ketika saya menemuinya, saya dapati dia mempunyai dedikasi dan komitmen yang tinggi. Apabila menawarkannya kerja di studio saya, dia bersedia untuk belajar dan kini dia amat membantu.”
Bagi Kher Vee Hong, 21, yang baru dua bulan berkhidmat dengan Kid, peluang yang diberikan majikannya itu ibarat batu lonjatan untuknya mendalami dunia fotografi.
“Saya banyak belajar secara pratikal di sini dan mereka amat membantu dalam setiap aspek,” ujar Vee Hong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: