Saturday, February 26, 2011

West End di Istana Budaya




Selepas kejayaan menerbitkan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) dan P Ramlee The Musical, Enfiniti Vision Media (Enfiniti) membawakan persembahan hebat untuk penonton di Istana Budaya (IB).

Tiga artis utama muzikal hebat West End, London, Stephen Rahman-Hughes, Simon Bailey dan Ramin Karimloo akan ditampilkan dalam konsert teater pertama, West End Stars In Concert (WESiC) pada 15 dan 16 April depan.

Ketiga-tiga mereka sering terlibat pelbagai muzikal terkenal di London, England.

Stephen misalnya, selain dikenali memegang watak Hang Tuah dalam PGLTM, dia pernah tampil dengan watak utama muzikal Bombay Dreams, West Side Story dan Merchant of Voice.

Manakala, Simon Bailey pernah membawa watak Raoul dalam muzikal hebat The Phantom of The Opera (TPOTO), selain terlibat pementasan Les Miserables dan Romeo and Juliet.

Ramin Karimloo masih terlibat sekuel muzikal TPOTO, Love Never Dies sebagai Phantom sanggup meluangkan masa mengadakan persembahan khas untuk peminat West End di negara ini.

Naib Presiden Kumpulan (Operasi) Enfiniti dan Penerbit Bersekutu WESiC, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, pihaknya membawa ketiga-tiga artis itu untuk memberi peluang penonton Malaysia mengalami keajaiban teater West End dalam siri pertama konsert itu.

“Nama West End tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia kerana kualiti muzikal diterbitkan mereka. Namun, jarang berpeluang menikmati pengalaman menakjubkan di teater West End, melainkan melancong ke luar negara.

“Ramai penonton Malaysia gemar menikmati seni teater muzikal, kejayaan konsert ini menjadi permulaan untuk siri konsert teater akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pat Ibrahim dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah WESiC cuba mengekalkan elemen nyanyian supaya konsert itu tidak kelihatan seperti teater.

“Hanya ada persembahan nyanyian dan tarian untuk mencantikkan konsert. Kita akan menjadikan WESiC sebuah konsert bergaya dengan pertukaran kostum dan set minimum.

Penyanyi terkenal, Jaclyn Victor diundang sebagai artis jemputan bergandingan dengan tiga jejaka itu.

Pengarah muzik berbakat, Lee Sze Wan akan menerajui pemuzik di persembahan berkenaan nanti.

Tiket sudah mula dijual dan peminat boleh mendapat maklumat lanjut di laman web IB.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: