Monday, February 28, 2011

Bridgestone Ecopia




KECEMERLANGAN Bridgestone iaitu syarikat pengeluar tayar terbesar dunia dalam memberi sumbangan kepada industri dan produk automotif memang tidak boleh dipertikaikan.

Syarikat Jepun yang pernah menjadi pembekal tayar untuk perlumbaan Formula Satu (F1) sejak 1997 (berakhir tahun lalu), kini menempuh satu lagi evolusi.

Baru-baru ini, syarikat itu yang merupakan pesaing Michelin SCA dari Perancis dalam perniagaan pembuatan tayar terbesar dunia, melancarkan tayar barunya dikenali sebagai Ecopia EP100A.

Produk baru itu dihasilkan khusus untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar sehingga menyebabkan pemanasan global yang sebelum ini disebabkan oleh tayar kenderaan.

Pembuatan tayar itu menggunakan teknologi terkini dan mempunyai banyak keistimewaan berbanding tayar biasa yang biasanya membebaskan gas karbon dioksida dalam kuantiti besar.

Menurut Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn. Bhd., Takashi Aoki, antara kelebihan utama Ecopia ialah mampu mengurangkan pembebasan gas tesebut.

Katanya, para peringkat awal pembuatan tayar itu, pihaknya terpaksa berdepan dengan cabaran apabila perlu mencari asas dan formula sebatian baru tanpa mengorbankan prestasinya.

"Melalui Ecopia kita telah memperkenalkan formula sebatian baru. Silika dan agen penggandaan tambahan dicampurkan kepada sebatian tayar biasa yang terdiri daripada karbon.

"Karbon itulah yang menyumbang kepada pembebasan haba melalui geseran tinggi pada tayar. Kini dengan Ecopia, masalah berkenaan dapat diatasi," katanya kepada Wow! baru-baru ini.

Jelasnya, teknologi pembuatan Ecopia direka khas untuk mengurangkan kesan pergeseran yang memberi impak secara langsung terhadap kecekapan penggunaan minyak.

Aoki berkata, selain kesan pergeseran dan pembebasan haba minimum, produk itu tetap memberi keselesaan kepada pemanduan dan pemandu tidak perlu risau dengannya.

Menurutnya, walaupun dengan sebatian baru tetapi ia sama sekali tidak menjejas atau mengganggu cengkaman brek. Ia masih berfungsi dengan baik termasuk dalam keadaan jalan basah.

Ecopia yang mempunyai corak bunga baru itu ujarnya, tetap menitikberatkan aspek keselamatan dan sasaran pelanggan adalah kereta-kereta mewah.

Menurut Aoki, ramai yang tidak menyedari bahawa tayar kenderaan memberi impak besar terhadap alam sekitar sekali gus menyumbang kepada pemanasan global hari ini.

Beliau berkata, langkah Bridgestone dalam memperkenalkan Ecopia adalah tepat pada masanya dan sedikit sebanyak mampu menyumbang kepada pengurangan pemanasan global.

"Ini yang cuba dilakukan Ecopia, sebuah produk tayar mesra alam tanpa perlu mengorbankan mutu atau kualitinya selain harganya yang juga berpatutan," katanya.

Dalam pada itu katanya, serentak dengan pelancaran Ecopia, Bridgestone menjalankan kempen satu Tayar Satu Kebaikan bagi memenuhi tanggungjawab sosialnya.

Setiap RM1 daripada tayar Bridgestone Ecopia, Turanza dan B-Series yang dijual akan didermakan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Pusat Alam Sekitar Global.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: