Monday, February 28, 2011

Yes luas rangkaian ke Pulau Pinang




Perkhidmatan internet mudah alih terpantas 4G, Yes yang dikuasakan YTL kini meluaskan rangkaiannya ke Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn Bhd, Wing K Lee berkata, sejak pelancaran rasminya November tahun lalu, cawangan Yes dan rakan kongsi ITnya menerima sambutan hangat orang ramai yang inginkan pengalaman menggunakan rangkaian terpantas 4G di dunia.

“Kami gembira dapat berkongsi wawasan kami dalam memandu perubahan yang positif sekali gus membuktikan prestasi rangkaian kami yang mengagumkan.

“Dengan Yes, di mana saja anda berada, sama ada berada dalam keadaan pegun atau dalam kenderaan yang bergerak, anda hanya perlukan ID Yes untuk mengakses perkhidmatan dan produk Yes 4G, membuat panggilan telefon atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Lee berkata, kemudahan tersebut merupakan faedah langsung yang disediakan oleh YTL untuk semua pelanggannya dan tiada lagi rangkaian lain yang menyediakan perkhidmatan seperti itu.

Setakat ini, Yes menyediakan liputan 4G yang paling meluas di Pulau Pinang, merangkumi kebanyakan kawasan di pulau dan tanah besar.

Yes menawarkan kadar terendah dalam industri, iaitu sehingga sembilan kali lebih rendah daripada internet mudah alih prabayar semasa dan pakej suara.

Selain itu, pengguna hanya perlu membayar setiap kali menggunakan perkhidmatan tersebut hanya pada kadar sembilan sen untuk tiga megabit data, satu minit panggilan atau satu SMS.

Beliau berkata, Yes juga menawarkan rebat sehingga 30 peratus bagi pelanggan yang menggunakan data sehingga lebih empat gigabait sebulan.

Pada Januari lepas, Yes memperkenalkan rangkaian 4G di kampus utama Universiti Sains Malaysia (USM) yang membolehkan lebih 20,000 pelajar menggunakan rangkaian terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: