Monday, February 28, 2011

SBP lahirkan pemimpin berkarisma


SEBAHAGIAN ketua dan penolong ketua pelajar mendaftar untuk Kursus Kepimpinan SBP di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.


Seramai 120 ketua dan penolong ketua pelajar dari 60 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara mengikuti kursus kepimpinan untuk dibentuk menjadi pemimpin pelapis yang mempunyai personaliti unggul dan ulung.

Ketua Unit Kepimpinan dan Pembangunan Profesionalisma Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Norizah Juberi berkata, kursus kepimpinan kali kelima itu diadakan selama empat hari demi mencapai hasrat melahirkan bakal pemimpin yang berkarisma pada masa hadapan daripada kalangan pelajar SBP.

"Pakej kursus kepimpinan itu diharap akan dapat membina jati diri dan sifat kepimpinan yang mantap dan sesuai dengan visi dan misi SBP serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut beliau, objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memperkasakan gaya kepemimpinan pelajar SBP serta memantapkan kemahiran kepemimpinan sedia ada untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin pelajar.

"Ia juga adalah untuk memberi pendedahan pengurusan peringkat tertinggi dan bertaraf antarabangsa serta melahirkan pemimpin pelajar yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan mempunyai misi serta visi yang jelas," ujarnya.

Katanya lagi, kursus itu merupakan tapak bagi melahirkan pemimpin bertaraf dunia yang berilmu, boleh dicontohi, berwibawa, berkarisma, dihormati serta matang dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

"Pelbagai program menarik diisi sepanjang berlangsungnya kursus kepimpinan ini dalam usaha untuk memberikan pengisian terbaik dan bernilai kepada para peserta kursus.

"Antaranya ialah Program Jejak Kepimpinan yang bertujuan memberikan pengalaman sebenar mengenai aspek kepimpinan kepada bakal-bakal pemimpin bagi melahirkan ketua yang berilmu, serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik dan boleh dicontohi," terang beliau.

Norizah memberitahu, dalam Program Jejak Kepimpinan itu, para peserta diberi peluang untuk merasai pengalaman dan melihat sendiri bagaimana perjalanan sesebuah syarikat atau agensi serta ciri-ciri kepimpinan yang boleh dicontohi di syarikat tersebut.

"Tahun ini, sebanyak 15

buah syarikat atau agensi di sekitar Lembah Klang bersedia menawarkan diri untuk bekerjasama bagi menjayakan program tersebut," ujarnya.

Syarikat yang terlibat ialah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Kumpulan Karangkraf, Jobs Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Hospital Putrajaya, Management & Science University (MSU), Sunway Lagoon, Fakulti Pengajian Pendidikan dan Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain Program Jejak Kepimpinan, para pelajar turut menjalani beberapa aktiviti seperti pembentangan laporan Program Jejak Kepimpinan, pengucapan awam, bengkel serta sesi ceramah dan bicara tokoh daripada ketua-ketua syarikat atau agensi yang merupakan bekas pelajar SBP.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: