Monday, February 28, 2011

Discovery berlabuh di ISS


Imej dari NASA TV menunjukkan kapal angkasa lepas, Discovery selamat bercantum dengan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), kelmarin.


CAPE CANAVERAL, Florida 27 Feb. – Kapal angkasa lepas, Discovery tiba di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam dalam misi terakhirnya sebelum Amerika Syarikat (AS) menamatkan khidmat tiga kapal angkasanya tahun ini.

Discovery yang membawa 10 tan bekalan kargo dan enam krew itu, berlepas Khamis lalu untuk misi selama 11 hari yang juga penerbangan ke-39 dan terakhirnya.

Dua lagi kapal angkasa lepas milik AS, Endeavour dan Atlantis dijadual mengadakan misi terakhir dalam tempoh enam bulan akan datang.

Sebelum bercantum dengan ISS pada pukul 2.14 petang (4 pagi waktu Malaysia), komander Steven Lindsey memusingkan kapal angkasa itu bagi membolehkan krew di stesen ISS yang diketuai oleh angkasawan NASA, Scotty Kelly mengambil gambar perisai haba Discovery.

NASA menganalisis gambar itu untuk memeriksa kerosakan akibat kesan hentakan serpihan ketika pelancaran Khamis lalu, pemeriksaan rutin sejak Discovery menyambung semula perkhidmatannya selepas terlibat dengan kemalangan pada 2003 di Colombia.

Agensi angkasa lepas AS itu tidak mengeluarkan sebarang laporan mengenai kerosakan Discovery, kapal angkasa tertua yang masih beroperasi, walaupun empat keping bahan penebat berbusa tertanggal daripada tangki bahan bakarnya semasa pelancaran.

Krew Discovery termasuk juruterbang Eric Boe serta angkasawan Michael Barratt dan Nicole Stott membawa tempat penyimpanan baru, modul penyelidikan, sebuah platform simpanan luaran, alat ganti radiator dan robot prototaip seperti manusia digelar Robonaut 2, atau R2 yang dibina hasil kerjasama dengan General Motors Co.

NASA dijangka akan membuat keputusan Selasa ini sama ada akan melanjutkan misi kali ini sehari lagi untuk sesi penggambaran yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Selepas misi ini selesai, Discovery yang buat pertama kalinya melakukan penerbangan pada 1984, akan ditempatkan di muzium.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: