|
|
RATA-RATA wanita pada hari ini khususnya remaja gemar tampil dengan teknik solekan mata smokey eyes memandangkan aplikasi solekan tersebut tampak serasi dipadankan bersama busana konsep ranggi dan funky.
Menurut jurusolek bebas, Vee Muhammad, tidak dinafikan pada hari ini kebanyakan anak-anak muda lebih cenderung pada solekan smokey eyes berbanding solekan romantis dan natural.
Teknik sedemikian yang banyak menggunakan warna-warna terang membantu elemen tata rias yang kelihatan dramatik, segar dan menarik.
"Sememangnya diakui teknik solekan smokey eyes sesuai dengan imej remaja yang lincah, ceria, funky dan ranggi. Ia bukan sahaja sesuai dipraktikkan untuk menghadiri parti atau majlis makan malam, malah ideal diaplikasi tatkala bersantai. Apa yang penting ialah teknik aplikasinya.
"Bagi menampil solekan yang lebih versatil, jangan tertumpu kepada penggunaan pembayang mata rona hitam saja. Sebaliknya, pelbagaikan dengan pembayang mata rona biru, ungu, hijau atau coklat. Misalnya, aplikasi lapisan pertama dengan ungu lembut dan diikuti lapisan kedua ungu gelap serta adunkan bersama warna hitam di ekor mata," jelas Vee sambil menunjukkan cara-cara solekan itu pada salah seorang model.
Sementara itu menurut perunding kecantikan jenama kosmetik 4U2, Vie Xanddra, walaupun smokey eyes membantu menyerlahkan wajah tetapi, ia tidak sesuai ke pejabat. Seperti yang diketahui teknik solekan tersebut banyak bermain dengan pembayang mata warna gelap.
|
|
"Bagi saya solekan ke pejabat sudah memadai dengan pembayang mata rona lembut. Sebab itu, apabila wanita memilik solekan smokey eyes, maka di bahagian pipi dan bibir perlu menggunakan kosmetik warna-warna lembut. Contohnya, apabila bahagian mata sudah gelap pastikan anda memilih pemerah pipi dan gincu warna merah jambu lembut atau coklat tanah.
"Selain itu, jangan sesekali menyapu pembayang mata warna gelap di bawah mata dengan alasan untuk menampakkan mata yang lebih besar. Kesannya, mata anda tampak terlalu sarat. Sudah memadai jika sekadar menggunakan penggaris mata," katanya ketika ditemui Stailo.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: